Sunday 27 November 2016

Kebakaran di Israel dapat dikawal selepas lima hari

DUNIA AHAD, 27 NOVEMBER 2016 @ 8:50 PM


ANGGOTA bomba memadam kebakaran di Hadera, Israel. - Foto AP

BAITULMAQDIS: Anggota bomba dapat memadam kebakaran yang memusnahkan sebahagian besar Israel dan di Tebing Barat sejak lima hari lalu.

Kebakaran yang didakwa pihak berkuasa berpunca perbuatan khianat menyebabkan puluhan ribu penduduk terpaksa meninggalkan kediaman mereka. Tiada kematian namun 122 orang dirawat kerana cedera, terutama menyedut asap, kata pegawai perubatan.

Kira-kira 700 rumah rosak atau musnah ketika kebakaran yang diburukkan lagi angin kencang dan cuaca kering. Pesawat bomba daripada sejumlah negara dilihat menyembur bertan-tan air dan bahan kalis api di kawasan bukit dan jajahan Tebing Barat. Pada satu ketika minggu lalu, api marak di kawasan berhampiran bandar ini dan penduduk hanya mampu melihat rumah dan premis perniagaan rentung.

"Tiada lagi kawasan kebakaran aktif yang tertinggal. Sejak malam semalam, suasana agak tenang. Tiada aktiviti baharu," kata jurucakap perkhidmatan bomba dan penyelamat Yoram Levy. Menurut Levy, anggota bomba menangani kira-kira 2,000 kebakaran di Israel dan Tebing Barat, dengan 20 daripadanya kebakaran besar.

Pihak berkuasa Israel mengesyaki, sesetengah kebakaran dimulakan dengan sengaja dan dikaitkan dengan konflik Israel-Palestin. Menteri Pertahanan, Avigdor Lieberman, hari ini dilaporkan berkata 17 daripada 110 kebakaran di Tebing Barat dikenal pasti perbuatan khianat, tanpa memberi butiran lanjut. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/217476

No comments:

Post a Comment