AMMAN - JORDAN. Kerajaan Jordan, kelmarin memaklumkan ia akan memasang kamera keselamatan di pekarangan Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis dalam masa beberapa hari lagi untuk memantau 'perlanggaran' rejim Zionis selepas ketegangan meningkat di kawasan itu sejak beberapa bulan lalu.
Menteri Hal Ehwal Islam, Hayel Daoud berkata, sebuah pusat kawalan akan turut ditubuhkan untuk melakukan pemantauan rakaman video selama 24 jam.
"Ia akan disiarkan secara dalam talian untuk mendokumentasikan segala perlanggaran dan pencerobohan dilakukan Israel di sekitar kawasan masjid yang menjadi kiblat pertama orang Islam," katanya.
Sebelum ini, pentadbir kawasan Haram al-Sharif, Waqf di Amman yang turut menempatkan Masjid Kubah Batu pernah mendakwa pihak berkuasa rejim Zionis bertindak menghalang usaha mereka untuk memasang kamera di sekitar al-Aqsa.
Oktober lalu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry meluluskan rancangan pemasangan kamera di kawasan sekitar al-Aqsa yang menjadi pertikaian di wilayah itu selepas berunding dengan pemerintah Jordan, Raja Abdullah II dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas. - AFP