Saturday 13 February 2016

Isteri Netanyahu bersalah dera pembantu rumah


BENJAMIN Netanyahu bersama isternya Sara Netanyahu. - Foto REUTERS
TEL AVIV: Isteri Perdana Menteri Israel, Sara Netanyahu, disabitkan kesalahan mendera pembantu rumahnya oleh Mahkamah Buruh negara itu.
Mahkamah di Baitulmaqdis itu juga mendapati persekitaran kediaman pemimpin Israel itu tidak memberi keselesaan kepada pembantu rumah disebabkan sikap dan tindakan Sara terhadap mereka.
Menurut mahkamah, Wanita Pertama Israel itu suka menuntut perkara tidak masuk akal, menghina, memalukan dan panas baran.
Pekerja di kediaman Perdana Menteri, Meni Naftali, memfailkan saman terhadap Sara kerana penderaan yang dialami.
Pada sidang akhbar, Naftali mendakwa beliau pernah dihubungi Sara pada jam 3.00 pagi waktu tempatan untuk memarahinya kerana membeli susu dalam beg plastik, bukan dalam kotak.
Beliau juga menegaskan dalam satu kes lagi, Sara menghempas pasu berisi bunga ke lantai, memarahinya kerana ia tidak lagi segar.
Sara juga kerap mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.
Naftali menerima pampasan berjumlah AS$42,000 (RM174,000).
Pasangan Netanyahu tidak membuat sebarang ulasan mengenai sabitan itu tetapi pejabat Perdana Menteri sebelum ini menolak dakwaan Naftali.
Sara kerap menjadi bahan berita dan dikenali dengan gaya hidup mewah.
Beliau mula terkenal pada lewat 1990-an apabila suaminya, Benjamin Netanyahu menjadi Perdana Menteri.
Beliau dikritik kerana mendera seorang pengasuh selain campur tangan dalam hal ehwal negara.
Laporan juga menyebut, seorang lagi pembantu rumah menuduh Sara suka memaki hamun dan memaksa beliau mandi beberapa kali sehari untuk memastikan persekitaran bersih. - Agensi

No comments:

Post a Comment