Friday 25 December 2015

Gaza: NGO Malaysia bina kilang roti


25 DISEMBER 2015

GEORGETOWN - Persatuan Muafakat Kesejahteraan Rakyat (Permuafakat) berjaya membina sebuah kilang roti untuk penduduk Gaza. Kilang roti yang terletak di Salahuddin Street berhampiran kawasan Al Shajaya’a iaitu di Timur Gaza, Palestin, itu dibina sejak setahun lalu sudah siap Disember ini.
Penyelaras Bantuan Kemanusiaan Gaza Permuafakat, Mazzan Mat Desa berkata, kilang roti itu dibina bagi membekalkan makanan kepada penduduk Islam yang ditindas Israel.
Menurutnya, kilang roti itu dinamakan Makhbaz Salahuddin sempena nama pahlawan Islam yang membebaskan Baitul Maqdis dan Masjid Al Aqsa daripada cengkaman empayar Rom.
Katanya, kilang itu dibina dari sebuah bangunan wakaf dan dilengkapi dengan mesin pembuat roti serta pekerja yang akan menguruskannya bermula dari proses penyediaan, pembungkusan dan pengedaran roti untuk penduduk Gaza.
"Kilang ini mempunyai keluasan seluas 250 meter persegi dengan tiga bahagian utama iaitu ruangan pameran, jualan dan ruangan pemprosesan serta ruangan simpanan bahan-bahan mentah.
"Tenaga kerja yang diperlukan untuk mengendalikan kilang ini hanya 10 orang sahaja kerana semua mesin yang digunakan adalah semi automatik,” katanya kepada Sinar Harian.
Permuafakat yang berpusat di Pulau Pinang ditubuhkan pada 2010 bagi membantu masyarakat dalam dan luar negara dari segi kebajikan, pendidikan dan juga kesihatan.

Kumpul dana dalam masa setahun
Mazzan berkata, pihaknya mengambil masa selama hampir setahun untuk mengumpul dana dan menyiapkan kilang berkenaan.
“Alhamdulillah dengan kerjasama dan sumbangan masyarakat negara ini, kami berjaya mengumpul dana keseluruhan sebanyak AS$ 54,000 untuk membina kilang tersebut.
"Terima kasih diucapkan kepada semua penyumbang sama ada orang perseorangan mahupun organisasi di Pulau Pinang serta dari seluruh negara atas kepercayaan menyalurkan sumbangan kepada badan bukan kerajaan (NGO) kecil seperti kami,” katanya.
Dalam pada itu katanya, pihaknya kini masih mengumpul dana bagi melengkapkan kilang roti ini dan menaiktaraf peralatan.
"Banyak lagi keperluan lain yang diperlukan bagi melengkapkan operasi kilang itu. Namun yang paling diperlukan adalah kenderaan untuk mengedarkan roti kepada golongan memerlukan," katanya.

Kilang mampu hasilkan 50,000 unit roti 
Mazzan berkata, kilang roti itu mampu mengeluarkan 50,000 unit roti dalam satu-satu masa.
"Kami bukan sahaja menghasilkan roti semata-mata, malah turut membuat pastri, kek dan pelbagai produk yang berasaskan roti.
"Harga roti juga berpatutan di mana kami hanya jual roti sekadar untuk menampung kos operasi sahaja," katanya.
Katanya, pihaknya juga akan memberikan roti secara percuma kepada keluarga yang dikenal pasti oleh Palestin General Federation of Trade Union.
Beliau berkata, kilang berkenaan membekalkan roti kepada sekurang-kurangnya 1,000 keluarga setiap hari.

Sentiasa komited bantu penduduk Gaza
Menurutnya, Gaza dianggap antara penjara terbesar di dunia dan kerana itulah pihaknya sentiasa komited membantu penduduk di situ terutamanya kanak-kanak.
“Jangan sesekali kita lupakan Palestin khasnya kanak-kanak kerana merekalah pewaris untuk membebaskan Palestin serta Masjid Al Aqsa.
“Bayi dan kanak-kanak ini sememangnya masih rapuh, namun jika kita bimbing jiwanya pasti mereka akan kuat. Tidak mudah menjadi anak Gaza kerana mereka perlu bertarung dari segi mental dan juga fizikal.
“Kita perlu kuat untuk menyokong mereka, bukannya memberikan bantuan makanan semata-mata, sebaliknya sokongan mental dan fizikal amat diperlukan,” katanya.
Bagi yang ingin menyumbang boleh terus salurkan ke akaun Maybank di atas nama Tabung Gaza 557344059089.

No comments:

Post a Comment