Thursday 13 November 2014

Masjid dibakar di Ramallah


Kejadian didalangi peneroka haram Yahudi
13 November 2014 1:57 AM


ANTARA kerosakan yang dikesan selepas sebuah masjid dibakar peneroka haram Yahudi di Al Mueir, utara Ramallah, Tebing Barat, semalam. – AGENSI

RAMALLAH 12 Nov. - Sebuah masjid di Tebing Ba­rat diserang sebelum dibakar dalam satu kejadian yang di­percayai dilakukan peneroka haram Yahudi, di sini, awal pagi ini.
Datuk Bandar Ramallah, Faraj al-Naasan berkata, kejadian sebelum Subuh itu memusnahkan tingkat bawah masjid berkenaan yang terletak di bandar Al Mueir, utara Ramallah.
“Hanya peneroka haram Yahudi yang akan melakukan serangan ini,’’ katanya sambil merujuk kepada serangan penduduk Yahudi sebelum ini ke atas sebuah masjid lain di bandar sama dua tahun lalu serta serangan secara kerap kumpulan tersebut ke atas kenderaan dan kebun zaitun di kawasan berkenaan.
Jurucakap polis Israel, Micky Rosenfeld berkata, polis dikerahkan ke luar kawasan masjid namun ‘kekacauan’ yang sedang berlaku di bandar itu menghalang siasatan dijalankan.
Dalam perkembangan berasingan, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menuduh Israel mencetuskan ‘perang agama’ dengan membenarkan penganut Yahudi melawat Baitulmaqdis.
Bercakap pada sebuah majlis bagi memperingati kematian bekas pemimpin Palestin, Yasser Arafat, Mahmoud berkata, lawatan oleh penganut Yahudi itu merupakan provokasi dan umat Islam Palestin akan mempertahankan kawasan berkenaan.
“Penduduk Palestin akan mempertahankan al-Aqsa daripada pe­neroka dan pelampau Yahudi,’’ ka­ta Mahmoud sebagaimana lapor portal berita Al-Jazera.
Mahmoud pada masa sama mengulangi hasratnya untuk menghantar draf resolusi kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada hujung bulan ini bagi menggesa penjajahan Israel ke atas wilayah Palestin dihentikan pada November 2016.
Beliau turut berikrar, Palestin akan memohon untuk menyertai pelbagai organisasi antarabangsa sekiranya resolusi itu disekat oleh kuasa veto Amerika Syarikat (AS).
“Kita tidak akan bertolak ansur kepada sebarang tekanan,’’ kata Mahmoud merujuk usaha AS untuk menghalang Palestin daripada mendekati Majlis Keselamatan PBB. – AP/AGENSI
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/masjid-dibakar-di-ramallah-1.24008#sthash.bALJtNhF.dpuf

No comments:

Post a Comment