Thursday 11 September 2014

PBB rayu bantuan AS$550j untuk Gaza


RAMALLAH 10 Sept. - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kerajaan Palestin, semalam merayu penderma antarabangsa menyediakan bantuan sebanyak AS$550 juta (RM1.7 bilion) bagi membantu beribu-ribu penduduk Palestin Gaza yang terjejas teruk akibat serangan Israel, bulan lalu.
Rayuan itu dibuat dua minggu selepas Israel menghentikan serangan ke atas Gaza selama 50 hari, yang meragut lebih 2,100 penduduk Palestin dengan kebanyakan korban adalah orang awam, lebih awal daripada persidangan negara penderma yang dijadual diadakakan di Kaherah, Mesir pada 12 Oktober ini.
"Skop kerosakan dan kemusnahan ini tidak pernah berlaku sebelum ini di Genting Gaza. Krisis ini masih jauh untuk berakhir,'' kata penyelaras kemanusiaan PBB bagi wilayah Palestin, James Rawley dalam satu kenyataan.
Rawley dan Timbalan Perdana Menteri Palestin, Mohammed Mustafa menggariskan keperluan-keperluan kemanusiaan pasca perang Gaza dengan meminta sebanyak AS$550 juta (RM1.7 bilion) bagi keperluan bantuan makanan, akses kepada air bersih, penjagaan kesihatan dan pendidikan.
"Kami mencabar dunia supaya lebih bercita-cita tinggi dan berani membantu kami merealisasikan pemulihan, pembinaan semula dan masa depan yang lebih baik untuk Gaza.
"Satu langkah segera adalah bagi menamatkan sekatan ke atas Gaza dan memastikan rakyat kami (Palestin) tidak lagi mengalami mimpi ngeri semasa musim panas ini,'' kata Mohammed.
Rawler pada masa sama mengulangi gesaan supaya 'kesemua sekatan ke atas Palestin ditarik balik'.
Mesir terdahulu menerusi Menteri Luarnya, Sameh Shoukri mengesahkan negaranya akan menganjurkan persidangan pertama penderma di Kaherah pada 12 Oktober ini.
Beliau berkata demikian semalam pada satu mesyuarat dengan rakan sejawatannya dari Norway, Boerge Brende yang menjadi negara yang mempengerusikan jawatankuasa antarabangsa bagi menyelaras bantuan kepada penduduk Palestin di Gaza.
Pada Ogos lalu, Brende berkata, wang yang dikumpul di bawah naungan Mesir dan Norway akan diserahkan kepada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dengan menggesa bantuan itu tidak disalurkan kepada pergerakan Hamas. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140911/lu_07/PBB-rayu-bantuan-AS550j-untuk-Gaza#ixzz3CxHREMrl
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment