Tuesday 5 August 2014

Israel cabuli lagi gencatan senjata


SEORANG penduduk menggali celah runtuhan sebuah bangunan untuk mencari mayat mangsa-mangsa serangan tentera Israel di bandar Gaza semalam.- REUTERS


BANDAR GAZA - Penduduk Palestin menuduh Israel melanggar gencatan senjata selama tujuh jam semalam dengan melancar serangan bom ke atas sebuah kem pelarian di Bandar Gaza yang menyebabkan kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun serta mencederakan 29 orang yang lain.
Ia merupakan cabulan gencatan senjata yang kedua dilakukan tentera Israel.
Sebelum ini, tentera Israel mencabuli gencatan senjata dengan pergerakan Hamas pada Jumaat lalu.
Jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Ashraf Al-Qidra berkata, serangan ke atas sebuah rumah di kem pelarian Shati itu berlaku selepas gencatan senjata itu dijadual bermula pada pagi semalam.
Jurucakap tentera Israel pula berkata, pihaknya masih menyiasat mengenai laporan serangan itu.
Israel sebelum ini mengumumkan gencatan senjata selama tujuh jam bagi membolehkan pasukan bantuan kemanusiaan memasuki kawasan peperangan.
Rejim Zionis juga membenarkan ratusan ribu penduduk Palestin yang berpindah sejak empat minggu lalu kembali ke rumah mereka.
Seorang pegawai pertahanan Israel berkata, gencatan senjata itu dijadualkan bermula dari pukul 10 pagi hingga 5 petang waktu tempatan.
Seorang anggota pergerakan Hamas mendakwa terdapat kemungkinan wujud tipu muslihat dalam pengumuman gencatan senjata kemanusiaan Israel itu.
Beberapa pegawai Gaza menyatakan, 1,804 penduduk Palestin terbunuh kebanyakannya orang awam manakala lebih satu pertiga daripada 1.8 juta penduduk hilang tempat tinggal.
Israel turut mengesahkan 64 orang askarnya terbunuh dalam pertempuran tersebut.
Pertempuran semalam memasuki hari ke-28 selepas tentera Israel melancarkan serangan bagi menangani serangan roket ke dalam wilayah Yahudi. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0805&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz39SpO1p4C 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment