Sunday 24 November 2013

Tribunal putus Israel, jeneral boleh kena tuduhan jenayah


2013/11/24
Kuala Lumpur: Tribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur (KLWCT) memutuskan wujud kes prima facie terhadap Israel dan Amos Yaron, jeneral tentera bersara Israel, atas tuduhan jenayah perang ke atas rakyat Palestin di Kem Sabra dan Shatila di Beirut pada 1982.

Presiden KLWCT, Tan Sri Lamin Mohd Yunus berkata, berdasarkan keterangan saksi, pihaknya berpendirian Israel dan Yaron perlu menjawab tuduhan itu.


Beliau mengumumkan keputusan berkenaan selepas mendengar penghujahan pihak pendakwaan diketuai Prof Gurdial Singh Nijar, di akhir kes pendakwaan di pejabat Yayasan Menjenayahkan Perang Kuala Lumpur (KLFCW) di sini, semalam.

Dalam penghujahan itu, Gurdial menggesa tribunal itu memutuskan Israel bersalah mengikut Konvensyen Genosid Antarabangsa 1948 dan Piagam Jenayah Perang Kuala Lumpur selepas pihaknya menunjukkan bukti melampaui keraguan munasabah.

“Dengan cara ini, rintihan rakyat Palestin untuk keadilan di Gaza, Tebing Barat dan diaspora yang lama diabaikan masyarakat dunia akan terbela akhirnya.

“Ini akan membawa satu bentuk penyelesaian kepada bahagian pertama usaha mereka menuntut keadilan...batu loncatan untuk negara bertamadun dalam dunia bertamadun ini melaksanakan bidang kuasa sejagat,” katanya.

Yaron didakwa terbabit secara langsung dalam kapasitinya sebagai jeneral yang memerintah pembunuhan beramai-ramai pelarian Palestin di kem Sabra dan Shatila.
Kuorum hakim tribunal pada persidangan semalam ialah Tunku Datuk Sofiah Jewa, Prof Salleh Buang, Prof Datuk Shad Saleem Faruqi, Datuk Mohd Saari Yusof, John Philpot dan Tunku Intan Mainura, manakala pembelaan diketuai Jason Kay Kit Leon.

Seramai 11 saksi memberi keterangan kepada tribunal itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment