Friday, 7 October 2016

AS kutuk pelan penempatan baharu Israel

KHAMIS, 6 OKTOBER 2016 @ 10:34 PM

AMERIKA Syarikat mengutuk keras tindakan Israel meluluskan pelan pembinaan penempatan baru di Tebing Barat yang diduduki. - Foto AFP

WASHINGTON: Amerika Syarikat mengutuk keras tindakan Israel meluluskan pelan pembinaan penempatan baharu di Tebing Barat yang diduduki.

Rumah Putih dan Jabatan Negara menyatakan rancangan untuk sehingga 300 rumah baharu dan zon industri secara tidak langsung memudarkan prospek bagi penyelesaian dua negara berhubung konflik Israel-Palestin.

 Namun Israel menegaskan kurang daripada 100 rumah diluluskan.

Menurut Kementerian Luar Israel, perumahan baharu itu akan dibina di dalam kawasan penempatan sedia ada. Jurucakap Pihak Berkuasa Palestin, Saeb Erekat berkata pihaknya mengalu-alukan kritikan Washington dan berharap ia akan benar-benar bertindak.

 "Selepas hampir 50 tahun penjajahan Israel secara sistematik dan pendudukan tentera di negara Palestin, Amerika Syarikat perlu melaksanakan langkah yang diperlukan untuk menamatkan penempatan Israel, termasuk melalui Majlis Keselamatan PBB, menghentikan bantuan kewangan kepada Israel, dan berhenti membiayai penempatan melalui organisasi yang berpangkalan di AS yang mencetus keganasan dan diskriminasi terhadap rakyat Palestin," katanya. - Agensi

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/199599

11 anggota WBG termasuk Dr Fauziah dibebaskan

Dr Fauziah Mohd Hasan

Dr Fauziah Mohd Hasan
KUALA LUMPUR - Wakil tunggal Malaysia dalam misi kemanusiaan 'Women's Boat to Gaza' (WBG) Dr Fauziah Hasan bersama 10 anggota misi itu yang ditahan Israel Rabu lepas, telah dibebaskan.
Jurucakap Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) ketika dihubungi Bernama berkata kesemua mereka sedang diuruskan penerbangan pulang ke negara masing-masing dalam masa terdekat.
Beliau berkata menurut sumber Freedom Flotilla Coalition yang mengasaskan kempen WBG itu, kesemua anggota misi yang menaiki kapal Zaytouna-Oliva berkenaan telah dipindahkan dari Penjara Givon di Ramla (Bandar di tengah Israel) ke pusat tahanan sementara di Lapangan Terbang Ben-Gurion, Israel.
Sementara itu, dua anggota misi yang dibebaskan semalam iaitu wartawan Al-Jazeera dari United Kingdom, Mina Harballou dan Hoda Rakhme dari Rusia telah selamat tiba ke negara masing-masing.
Kapal itu yang dalam perjalanan menuju ke Gaza dikepung rejim Zionis sebelum ditahan dan ditunda tentera Israel ke Pelabuhan Ashdod. - Bernama

Dua Anggota Misi Ke Gaza Dibebaskan

Diterbitkan: Jumaat, 7 Oktober 2016 9:53 AM


Dr. Fauziah Mohd Hassan

KUALA LUMPUR: Dua anggota misi kemanusiaan 'Women's Boat to Gaza' (WBG) yang ditahan Israel semalam, telah dibebaskan.
Menurut jurucakap Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), mereka yang dibebaskan ialah wartawan Al-Jazeera dari Britain, Mina Harballou dan Hoda Rakhme dari Rusia.
"Bagaimanapun, wakil tunggal Malaysia dalam misi itu, Dr Fauziah Mohd Hasan  masih ditahan di pusat tahanan dekat Lapangan Terbang Ben Gurion (Tel Aviv)," katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata menurut sumber Freedom Flotilla Coalition yang mengasaskan kempen WBG itu, peguam hak asasi manusia sedang cuba berhubung dengan kesemua anggota misi yang menaiki kapal Zaytouna-Oliva berkenaan dalam usaha membebaskan mereka.
Tentera Israel menahan kapal itu bersama tiga kru dan 10 aktivis wanita termasuk Dr Fauziah pada 2.58 petang semalam waktu tempatan (9.58 malam waktu Malaysia).
Kapal itu yang dalam perjalanan menuju ke Gaza dikepung rejim Zionis sebelum ditahan dan ditunda tentera Israel ke Pelabuhan Ashdod.

MyCARE kutuk tindakan rejim Zionis


1

KUALA LUMPUR 6 Okt. - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) mengutuk tindakan rejim Zionis memintas dan merampas sebuah kapal yang membawa aktivis misi Women Boat to Gaza (WBG) yang turut disertai oleh seorang rakyat Malaysia, semalam.
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd. Noor berkata, tindakan merampas kapal Zaytouna-Olivia itu tidak wajar dilakukan kerana kapal tersebut datang secara aman tanpa sebarang provokasi dan tidak membawa senjata atau bantuan kemanusiaan.
Katanya, tindakan Israel menghalang kapal tersebut di perairan antarabangsa daripada memasuki Gaza juga jelas mencabuli undang-undang maritim antarabangsa.
“Bagaimanapun kesemua anggota misi sebanyak 10 orang termasuk rakyat Malaysia iaitu Dr. Fauziah Mohd. Hasan serta tiga orang anak kapal berada dalam keadaan selamat dan kini dilaporkan ditempatkan di Pelabuhan Ashdod,” katanya dalam sidang akhbar khas di sini hari ini.
Kapal Zaytouna-Olivia dirampas tentera rejim Zionis semalam kira-kira pukul 3.58 petang waktu tempatan (9.58 malam waktu Malaysia) ketika berada kira-kira 42 batu nautika dari pantai Gaza. - UTUSAN ONLINE

Video oleh MOHD. HAZLI HASSAN
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/mycare-kutuk-tindakan-rejim-zionis-1.391358#sthash.uIjbCBGh.dpuf

Mahmoud Abbas jalani ujian jantung


(FILES) This file photo taken on April 11, 2016 shows Palestinian president Mahmud Abbas reacting during an exclusive interview with AFP reporters in his office in the West Bank city of Ramallah.Palestinian president Mahmud Abbas was in hospital on October 6, 2016 for a heart test but the 81-year-old's health was reported to be normal, officials said. / AFP PHOTO / THOMAS COEX
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh agensi berita rasmi Palestin, WAFA, keadaan jantung Abbas, 81, berada dalam keadaan normal dan dibenarkan keluar pada hari yang sama.
Tambah kenyataan itu, doktor telah melakukan ujian tiub yang dimasukkan ke dalam saluran darah untuk memeriksa kekuatan jantung Abbas dan hasilnya adalah normal.
“Syukur kepada Tuhan kerana semuanya baik. Saya telah melakukan pembedahan dan selamat,” kata Abbas sejurus sebelum meninggalkan hospital.
Abbas dikenali sebagai seorang perokok tegar serta mempunyai masalah berat badan selain menghadapi isu kesihatan. - AGENSI
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/mahmoud-abbas-jalani-ujian-jantung-1.391549#sthash.AsPmevp7.dpuf

Amerika tuduh Israel khianati kepercayaan


sebahagian projek penempatan haram Yahudi yang dibina rejim Zionis

Sebahagian projek penempatan haram Yahudi yang dibina rejim Zionis Israel di Tebing Barat. AGENSI
WASHINGTON 6 Okt. – Amerika Syarikat (AS) menuduh Israel mengkhianati kepercayaan mereka kerana tetap mahu meneruskan rancangan membina ratusan penempatan haram baharu Yahudi di Tebing Barat.
Beberapa hari selepas Presiden AS, Barack Obama meluluskan pakej bantuan ketenteraan kepada Israel berjumlah AS$38 bilion (RM 157.12 bilion) dan menghadiri majli pengebumian bekas Presiden Israel, Shimon Peres di Baitulmaqdis, White House mengutuk sekeras-kerasnya pembinaan 300 unit penempatan haram Yahudi yang terletak lebih dekat dengan Jordan berbanding Israel.
Setiausaha Akhbar AS, Josh Earnest berkata, White House memberi amaran tersebut ekoran bakal menjejaskan prospek run­dingan damai antara Asia Barat serta keselamatan Israel.
“Kami ada menerima jaminan daripada Israel yang bercanggah dengan pengumuman ini. Saya rasa apabila kita berbicara mengenai bagaimana seorang rakan melayan sahabatnya, itu boleh menjadi punca kita bimbang terhadap mereka,” kata Earnest.
Komen luar biasa yang dilontarkan oleh White House itu adalah sebagai salah satu usaha terakhir untuk menghidupkan semula rundingan damai sebelum Obama meninggalkan jawatan Presiden pada Januari ini.
Nada keras AS terhadap penem­patan haram Yahudi berkenaan turut meletakkan Israel dalam situasi bahaya bahawa hubungan masa hadapan mereka dengan AS akan berisiko dan Washington lebih mempercayai Palestin serta sekutu Arab mereka.
Selain itu, Washington telah lama membantah rancangan Israel untuk membina penempatan haram Yahudi di Tebing Barat yang boleh dituntut oleh Palestin dalam sebarang perjanjian damai antara kedua-dua pihak.
Dalam pada itu, Kementerian Luar Israel menafikan tuduhan berkenaan dan menegaskan penempatan itu hanya akan dibina di kawasan sedia ada.
“Israel terus komited kepada penyelesaian pembentukan dua negara untuk dua suku bangsa, di mana sebuah negara Palestin yang bebas tentera mengiktiraf Israel,” kata kementerian itu. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/amerika-tuduh-israel-khianati-kepercayaan-1.391609#sthash.XLAgtasg.dpuf

Thursday, 6 October 2016

Kapal Zaytouna-Oliva ditahan Pelabuhan Ashdod

SEMASA KHAMIS, 6 OKTOBER 2016 @ 8:44 AM

Oleh Siti Azila Alias sitiazila@bh.com.my


Kapal kemanusiaan Zaytouna-Oliva dibawa ke pelabuhan Ashdod di selatan Israel selepas ditawan tentera laut Israel di laut Mediterranean kira-kira jam 6 pagi tadi (waktu Malaysia). - Foto REUTERS


KUALA LUMPUR: Kapal kemanusiaan Zaytouna-Oliva bersama 13 ahli misi 'Women's Boat to Gaza' (WBG), yang ditawan tentera laut rejim Israel malam semalam, dilaporkan sudah tiba dan ditahan di Pelabuhan Ashdod, di negara itu, kira-kira jam 6 pagi tadi (waktu Malaysia). Perkembangan itu dimuat naik menerusi akaun Facebook Rose2Rose, sejam lalu. Akaun Facebook rasmi misi wanita Malaysia menaiki kapal ke Gaza itu memaklumkan, perkembangan itu diperoleh melalui laporan yang disiarkan di beberapa media Israel seperti The Jewish Press.

Rakyat negara ini juga tidak ketinggalan melahirkan kebimbangan terhadap perkembangan terbabit selain berdoa supaya semua yang terbabit dalam misi itu selamat.

Seorang pengguna Facebook, Wan Nor Hanisah dalam komennya berdoa supaya Allah melindungi dan membantu semua delegasi yang sedang berjihad. Zalika Yahaya pula berkata, "Semoga Allah mempermudahkan dan menjaga keselamatan mereka. Aamiin".

Kapal dengan 13 aktivis wanita pelbagai latar belakang dari 12 negara itu berlepas dari Barcelona, Sepanyol, 21 hari lalu.

Ia dilaporkan terputus hubungan pada 8.50 malam, kurang 50 batu nautika dari Gaza. Misi pelayaran kemanusiaan dengan mesej keamanan itu adalah simbolik penentangan masyarakat antarabangsa, khususnya wanita, ke atas kepungan haram rejim Israel ke atas Gaza sejak 2007.

Kapal itu membawa tiga kru dan 10 penumpang termasuk seorang wakil tunggal Malaysia dan Asia, Dr Fauziah Mohd Hasan. Sementara itu, AFP melaporkan Israel hari ini mengesahkan memintas sebuah kapal yang membawa sekumpulan aktivis wanita yang didakwa mereka mahu menceroboh masuk ke Semenanjung Gaza dan mereka kini dibawa ke pantai dalam keadaan selamat.

Tentera Laut Israel berkata, mereka sudah menunda kapal berkenaan untuk memastikan ia tidak melanggar undang-undang maritim yang menyekat kemasukan ke perairan Gaza. Berikut adalah senarai nama 13 delegasi kapal Zaytouna:

1. Mairead Maguire, Ireland (Penerima Hadiah Nobel Keamanan tahun 1976, Aktivis kapal MV Rachel Corrie 2010)

2. Marama Davidson, New Zealand (Ahli Parlimen New Zealand Green Party, Aktivis Alam Sekitar & Hak Asasi Manusia)

3. Jeannette Escanilla, Sweden (Ahli Parlimen Sweden Left Party, Aktivis kapal Estelle 2012)

 4. Samira Douaifia, Algeria (Ahli Parlimen Algeria, Aktivis Kanak-Kanak dan Wanita)

5. Leigh-Ann Naidoo, South Africa (Peserta Bola Tampar Olimpik 2004 Athens)

6. Ann Wright, United States (Pesara askar Kolonel AS, Bekas Diplomat AS, Aktivis Kapal Challenge 1 2010, penganjur US Boat to Gaza 2011, Boat Leader Gaza Freedom Flotilla 2015, Boat Leader Women's Boat to Gaza 2016)

7. Yudit Barbara Ilany, Israel (Aktivis Hak Asasi Wanita, wartawan bebas Israel Social TV)

 8. Dr. Fauziah Hasan, Malaysia (Pakar O&G, Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Penasihat Rose2Rose)

9. Mina Harballou, United Kingdom (Koresponden Al-Jazeera)

10. Hoda Rakhme, Russia (Jurukamera/editor Al-Jazeera)

11 Sandra Barrilaro, Spain (Jurugambar, Co-Founder Namblee.com)

12 Synne Sofie Reksten, Norway (Kru Kapal, Pelajar dari Norway) 13 Emma Ringqvist, Sweden (Kru Kapal, Guru Muzik)

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/199329

Kapal Zaytouna-Oliva ke Gaza ditawan Israel

RABU, 5 OKTOBER 2016 @ 11:49 PM

 Oleh Mohd Iskandar Ibrahim dan Syed Azwan Syed Ali bhnews@bh.com.my

KAPAL Zaytouna-Oliva yang memulakan pelayaran 21 hari lalu dari Barcelona, Sepanyol itu terputus hubungan pada jam 8.50 malam tadi, kurang 50 batu nautika dari pantai Gaza.  - Foto Facebook

 KUALA LUMPUR: Kapal kemanusiaan Zaytouna-Oliva 'Women's Boat to Gaza' (WBG) dalam misi memecahkan kepungan Israel ke atas Gaza, ditawan tentera laut rejim jam 8.58 malam tadi waktu Malaysia.

Kapal yang membawa 13 aktivis kemanusiaan, termasuk wakil tunggal Malaysia, Dr Fauziah Mohd Hassan, dipintas tentera laut rejim dan dijangka ditunda ke Pelabuhan Ashdod, Israel. Insiden itu disahkan Pusat Krisis WBG Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) kepada BH. Dr Fauziah yang bertindak sebagai doktor di atas kapal itu adalah Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE.

Kapal dengan 13 aktivis wanita pelbagai latar belakang dari 12 negara itu berlepas dari Barcelona, Sepanyol, 21 hari lalu. Ia dilaporkan terputus hubungan 8.50 malam, kurang 50 batu nautika dari Gaza. Misi pelayaran kemanusiaan dengan mesej keamanan itu adalah simbolik penentangan masyarakat antarabangsa, khususnya wanita, ke atas kepungan haram rejim Israel ke atas Gaza sejak 2007.


Aktivis lain di atas kapal pemenang Hadiah Nobel 1976, Mairead Maguire dari Ireland dan Ahli Parlimen dari New Zealand, Marama Davidson; pengarah dan penulis skrip Amerika Syarikat, Naomi Wallace; atlet dan ahli akademik dari Norway, Gerd Von Der Lippe; serta jurulatih dan atlet Turki, Cigdem Topçuoglo.

Usaha memecahkan kepungan Israel ke atas Gaza bermula pada 2010 melalui Freedom Flotilla yang menyaksikan sembilan aktivis Turki ditembak mati komando Israel yang menawan kapal Mavi Marmara. Ketika insiden, kapal kemanusiaan yang turut dinaiki 12 aktivis dari Malaysia itu berada pada kedudukan 70 batu nautika dari pantai Gaza.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/199228

Israel sahkan pintas kapal Zaytouna-Oliva

DUNIA KHAMIS, 6 OKTOBER 2016 @ 7:33 AM

BAITULMAQDIS: Israel hari ini mengesahkan memintas sebuah kapal yang membawa sekumpulan aktivis wanita yang didakwa mereka mahu menceroboh masuk ke Semenanjung Gaza dan mereka kini dibawa ke pantai dalam keadaan selamat.

 Tentera Laut Israel berkata, mereka sudah menunda kapal berkenaan untuk memastikan ia tidak melanggar undang-undang maritim yang menyekat kemasukan ke perairan Gaza.

Kapal Zaytouna-Oliva belayar dari Barcelona sejak September lalu bersama 13 wanita pelbagai warga negara, termasuk pemenang Hadiah Nobel Keamanan 1976, Mairead Maguire dari Ireland Utara. Misi itu turut disertai wakil tunggal Malaysia, Dr Fauziah Mohd Hassan.

 Dinamakan sebagai "Women's Boat to Gaza", ia adalah sebahagian daripada misi Freedom Flotilla Coalition yang menyokong kapal pro-Palestinian yang cuba memasuki Gaza dan cuba menentang sekatan haram Israel ke atas Gaza sejak tahun 2007. - AFP

 Bot Palestin kelihatan mengibarkan bendera kebangsaan di pelabuhan Bandar Gaza bagi menyokong konvoi kemanusiaan ke Gaza. - Foto AFP  

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/199316

Ini pesanan mereka [METROTV]


Mahaizura Abd Malik
mahaizura@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Selepas kapal Zaytouna-Olive dan ahli misi Women's Boat to Gaza (WBG) sah ditahan tentera Israel, Freedom Flotilla Coalition (FFC) menyiarkan video semua ahli misi itu bagi mendapatkan bantuan dan sokongan dunia.

Video berkenaan dirakam lebih awal ketika delegasi WBG berada di pelabuhan ketiga di Messina, Itali sebelum belayar ke Gaza, Palestin minggu lalu.

Ia sebahagian daripada persediaan FFC sekiranya 13 wanita yang berada di atas kapal berkenaan ditahan Israel sebagai usaha menggesa pihak berkaitan mengambil tindakan ke atas penahanan mereka.

Penahanan mereka dijangka lebih awal ketika media Israel melaporkan tentera Israel akan menggagalkan misi berkenaan dan menunda kapal itu ke pelabuhan Ashdod.

Dalam rakaman video itu, rakyat Malaysia, Dr Fauziah Mohd Hasan meminta kerajaan Malaysia, pemimpin dunia dan pencinta keamanan melakukan semampu yang boleh bagi menyelamatkan mereka dari penahanan tidak sah dilakukan Israel.

Perkembangan terkini di https://wbg.freedomflotilla.org/
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2016 @ 2:16 AM

Wajah 13 ahli misi WBG yang ditahan tentera Israel.

DISYORKAN

Israel geledah, paksa kapal ke Ashdod




Wanita Palestin menaiki bot sambil mengibarkan bendera tanda sokongan kepada kapal Women's Boat to Gaza (WBG) yang ditawan tentera Israel. - Foto EPA
prevnext


AFP
Baitulmaqdis: Kapal aktivis kemanusiaan, Zaytouna-Olive, yang membawa 13 wanita dalam misi Women's Boat to Gaza (WBG) yang dipintas dan ditawan tentera laut Israel kini dipercayai menuju pelabuhan Israel, Ashdod.

Tentera laut Israel mengesahkan ia memintas, menaiki dan menahan kapal yang turut membawa wakil tunggal Malaysia, Dr Fauziah Mohd Hasan, 35 batu nautika dari pantai.

Menurut kenyataan tentera laut Zionis itu, anggota tentera menaiki dan memeriksa kapal berkenaan tanpa berlaku kejadian buruk sebelum diarah ke pantai.

“Selaras dengan arahan kerajaan dan selepas usaha melalui diplomatik yang tidak berjaya, tentera laut Israel mengubah haluan kapal itu supaya tidak melanggar undang-undang sekatan maritim.

“Lawatan dan penggeledahan kapal itu berjalan lancar,” kata kenyataan itu,

Menurut Pusat Krisis WBG Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), kapal itu terputus hubungan dengan mereka pada 8.50 malam tadi.

“Kami mengesahkan kapal Zaytouna-Olive beserta tiga kru dan 10 orang anak kapal termasuk wakil tunggal Malaysia, Dr Fauziah Mohd Hasan ditawan tentera Israel sekitar jam 8:58 malam,” kata kenyataan MyCARE.

Misi itu diterajui pemenang Hadiah Nobel 1976 Mairead Maguire, berlepas Barcelona menuju Semenanjung Gaza sebagai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition untuk penduduk Palestin yang terkepung.

Menurut tentera laut Israel, ia beberapa kali mengarahkan kapal itu mengubah haluan.

“Selepas didapati enggan, tentera laut menaiki dan menggeledah kapal itu di perairan antarabangsa,” kata kenyataan.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2016 @ 2:03 AM

Ditawan tentera Israel




Kapal Zaytouna-Olive yang membawa 13 wanita dalam misi Women's Boat to Gaza (WBG) ditawan tentera Israel kira-kira 9 malam tadi ( waktu Malaysia) di perairan Gaza, Palestin.


Mahaizura Abd Malik
mahaizura@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Ketika penduduk Palestin menanti di pantai Gaza, Kapal Zaytouna-Olive yang membawa 13 wanita dalam misi Women's Boat to Gaza (WBG) ditawan tentera Israel kira-kira 9 malam tadi ( waktu Malaysia) di perairan Gaza, Palestin.

Perkara itu disahkan Pusat Krisis WBG Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) yang terputus hubungan dengan ahli misi WBG.

Menurut MyCARE, kapal berkenaan terputus hubungan dengan mereka pada 8.50 malam tadi dan gagal dihubungi sehingga kini.

"Kami mengesahkan kapal Zaytouna-Olive beserta tiga kru dan 10 orang anak kapal termasuk wakil tunggal Malaysia, Dr Fauziah Mohd Hasan telah ditawan oleh tentera Israel sekitar jam 8:58 malam hari ini.

"Kami terputus hubungan dengan kapal itu pada 8.50 malam (waktu Malaysia) dan koordinat kedudukan terakhir mereka ialah di +31.975642, +33.640163; kurang 50 batu nautika dari Gaza.

"Laporan selanjutnya akan menyusul selepas kami mendapatkan maklumat lanjut dari pihak Freedom Flotilla Coalition (FFC)," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2016 @ 11:33 PM

Wednesday, 5 October 2016

Penduduk Gaza menanti kehadiran Kapal Zaytouna


MOHD. HAZLI HASSAN  |  05 Oktober 2016 7:04 PM


KUALA LUMPUR 5 Okt. - Penduduk Semenanjung Gaza di Palestin kini menanti ketibaan misi sukarelawan wanita Women's Boat To Gaza (WBG) yang menggunakan kapal layar Zaytouna-Olivia di Pelabuhan Gaza ketika Israel menghantar bot-bot tentera bagi menghalang kemasukan kapal layar berkenaan.
Pengarah Media Aman Palestin Gaza, Hamza Deirawi yang dihubungi Utusan Online berkata, ramai penduduk tidak kira umur kini memenuhi Pelabuhan Gaza yang terletak di daerah Rimal, Gaza City bagi meraikan kehadiran WBG yang menggunakan kapal Zaytouna-Olivia.
Walaupun tahu tentera Zionis Israel sedang mengerahkan bot-bot perang mereka bagi menghalang kemasukan kapal layar WBG itu, penduduk Gaza tidak menghiraukannya.
"Kami amat mengharapkan agar kapal layar Zaytouna-Olivia berjaya memasuki Gaza tanpa ada sebarang masalah kerana hanya dalam 10 jam lagi mereka akan tiba ke sini," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Misi WBG yang juga merupakan Anggota Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Dr. Fauziah Mohd. Hasan yang menguhubungi Pusat Krisis WBG berkata, kedudukan terkini Zaytouna-Olivia sudah melepasi garisan 60 batu nautika ke arah pantai Gaza pada pukul 12.00 tengahari waktu tempatan (5 petang waktu Malaysia).
"Kesemua anggota misi dalam keadaan baik. Mereka sedang memasak untuk hidangan tengahari dengan tenang," katanya. - UTUSAN MALAYSIA
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/penduduk-gaza-menanti-kehadiran-kapal-zaytouna-1.391022#sthash.1xN2PJD8.dpuf

Wednesday, 28 September 2016

Shimon Peres mati pada usia 93 tahun


28 September 2016 10:47 AM
SHIMON PERES

SHIMON PERES
TEL AVIV 28 Sept. - Bekas Presiden Israel, Shimon Peres yang menderita penyakit angin ahmar meninggal dunia di sini hari ini pada usia 93 tahun.
Pemimpin rejim Israel itu dimasukkan ke hospital dua minggu lalu dan kelihatan semakin pulih namun semalam kesihatannya secara tiba-tiba mulai merosot.
Maklumat lanjut berhubung pengebumiannya tidak dimaklumkan. - REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/shimon-peres-mati-pada-usia-93-tahun-1.388114#sthash.mfeCwdDO.dpuf

Tuesday, 27 September 2016

Palestin terancam?


27 SEPTEMBER 2016
Palestin terancam?

Palestin terancam? Trump (kiri) dan Clinton menyatakan komitmen masing-masing untuk menyokong sekutu kuat AS itu.
NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT . Dua calon utama Presiden Amerika Syarikat (AS) dilihat sependapat untuk menolak penyelesaian dua negara membabitkan konflik Palestin-Israel.

Kelmarin, dalam satu pertemuan bersama dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di sebuah hotel di Manhattan, calon Parti Demokrat, Hillary Clinton menyatakan komitmennya untuk menentang sebarang cubaan yang mahu menafikan hak Tel Aviv termasuk kempen Boikot, Lupus dan Sekat (BDS) yang dilancarkan  oleh lebih 170  pertubuhan di Palestin pada 2005.

Bekas Setiausaha Negara AS itu juga menyokong bantuan ketenteraan ke atas sekutu kuat mereka itu.

Beberapa jam sebelum itu, Netanyahu turut bertemu selama hampir 90 minit dengan calon kontroversi dari Parti Republikan di Trump Tower di New York.

Donald Trump dalam satu kenyataan berikrar untuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel jika beliau menang dalam perlumbaan untuk merebut jawatan di Rumah Putih pada November depan.  

Jutawan hartanah terbabit menyifatkan Baitulmaqdis Timur yang diduduki Tel Aviv sejak 1967 adalah 'ibu negara kekal' bagi penduduk Yahudi di wilayah itu.

Dalam rundingan damai sebelum ini, Pihak Berkuasa Palestin (PA) pernah menyuarakan hasrat untuk menjadikan wilayah yang menempatkan Masjid al-Aqsa itu sebagai ibu negara selain menentang keras sebarang rancangan Israel untuk mengenakan kawalan sepenuhnya ke atas Baitulmaqdis. - Agensi

Baitulmaqdis ibu negara Israel jika Trump Presiden AS


27 September 2016 12:26 AM
DONALD TRUMP

DONALD TRUMP
NEW YORK 26 Sept. – Calon Pre­siden Amerika Syarikat (AS) daripada Parti Republikan, Donald Trump terus mencetuskan rasa marah khususnya dalam kalangan umat Islam apabila kekal dengan janji untuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel jika beliau memenangi pilihan raya November ini.
Kenyataan itu dibuat selepas beliau menerima kunjungan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di pejabatnya di Wisma Trump dekat sini, sehari sebelum berdepan saingan daripada Parti Demokratik, Hillary Clinton untuk sesi debat pertama mereka.
“Di bawah Trump, AS akan terima mandat Kongres untuk pengiktirafan itu,” kata pejabat kempen beliau.
Menurut kenyataan itu, Trump memberitahu AS akan menyediakan Israel kerjasama strategik serta teknologi ketenteraan luar biasa jika dipilih sebagai Presiden.
Pada Mac lalu, Trump mene­gaskan perkara sama di samping rancangan memindahkan kedutaan AS ke sana ketika berucap di depan kumpulan pelobi pro-Israel, AIPAC.
Dalam pada itu, Hillary memberitahu Netanyahu bahawa beliau menolak penyelesaian yang diusahakan PBB terhadap konflik antara Israel dan Palestin.
Clinton menekankan penyelesaian dua negara dan menolak sebarang cubaan oleh pihak luar termasuk Majlis Keselamatan PBB untuk membuat keputusan. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/baitulmaqdis-ibu-negara-israel-jika-trump-presiden-as-1.387651#sthash.F2cUR77A.dpuf

Monday, 26 September 2016

Sikap Trump, Hillary ketika bertemu PM Israel


26 SEPTEMBER 2016
Sikap Trump, Hillary ketika bertemu PM Israel

Sikap Trump, Hillary ketika bertemu PM Israel
WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Calon Presiden Amerika Syarikat (AS) daripada Parti Republik, Donald Trump menegaskan sekiranya beliau terpilih untuk menjadi Presiden AS, dia akan mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel tanpa dikongsi dengan sesiapapun.

Memetik laporan Reuters, kenyataan itu disampaikan Trump dalam pertemuannya bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang berlangsung di Trump Tower, New York Ahad lalu.

Dalam pertemuan tertutup itu, Trump berkata, beliau sependapat dengan Netanyahu bahawa isu pendamaian di Timur Tengah hanya akan  tercapai sekiranya negara Palestin dapat membuang sikap kebencian dan kekerasan mereka terhadap Israel.

"Trump menyatakan Israel dan rakyatnya telah menderita terlalu lama kerana berdepan dengan isu keganasan, Trump setuju bahawa masyarakat Israel mahukan kedamaian, namun matlamat itu hanya akan muncul sekiranya Palestin meninggalkan sifat kebencian mereka terhadap Israel sebagai sebuah negara Yahudi," jelas jurucakap kempen Trump.

Pertemuan yang berlangsung selama 90 minit itu memperlihatkan, kedua-dua pihak turut membahasakan mengenai tembok yang dibina Israel di Palestin yang dilihat cukup 'membuahkan hasil' apabila berjaya membawa keamanan di sempadan, oleh itu Trump menegaskan jika beliau terpilih nanti dia juga akan turut membangunkan tembok di sempadan AS-Mexico dan akan melarang umat Islam daripada memasuki AS.

Pada hari yang sama selepas pertemuan bersama Trump, Netanyahu melanjutkan pertemuannya dengan calon Presiden Amerika Syarikat daripada Parti Demokrat  Hillary Clinton, pertemuan diadakan di W Hotel, Union Square.

"Clinton menegaskan adalah amat penting untuk Israel kekal utuh, kerana AS berkongsi banyak plan strategik bersama negara itu," kata pembantu kempen Hillary.

Sementara itu ketika menyentuh mengenai isu Israel dan Palestin, Hillary menegaskan semula komitmennya untuk kedua-dua pihak kembali ke meja rundingan.

"Konflik Israel-Palestin perlu dirunding secara langsung oleh pihak-pihak yang terbabit, agar dapat menjamin masa hadapan Israel sebagai sebuah negara Yahudi yang aman serta dalam masa yang sama memberikan rakyat Palestin ruang kedaulatan," jelas pembantu kempen Hillary.

Pertemuan Hillary dan Netanyahu berlangsung lebih singkat berbanding pertemuan PM Israel itu dengan Trump.

Kunjungan Netanyahu ke New York ini bertujuan untuk menghadiri persidangan PBB di ibu kota AS itu.

Pertemuan Hillary dan Trump bertemu Netanyahu menjelang debat perdana antara kedua-dua calon Presiden AS ini yang akan  berlangsung pada 26 September  di Hofstra University, Hemstead, New York.

Friday, 23 September 2016

2017 Tahun Israel Akhiri Penjajahan - Abbas


Diterbitkan: Jumaat, 23 September 2016 3:47 PM

SEBUAH jentolak tentera Israel mengangkut tanah di pintu masuk kampung penduduk Palestin di Bani Naim, timur Tebing Barat pada 21 September 2016. - AFP

NEW YORK: Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengisytiharkan tahun 2017 sebagai tahun berakhirnya penjajahan Israel.

Dalam ucapannya pada Persidangan Agung PBB di sini, Khamis, Abbas dengan lantang menyeru masyarakat antarabangsa menyokong usaha untuk menubuhkan sebuah negara Palestin yang bebas dan merdeka.

Israel mula menjajah kawasan penduduk Palestin sejak Jun 1967 dan tahun depan merupakan ulang tahun ke-50 detik-detik hitam tersebut.

"Bagi pihak yang percaya dengan jalan penyelesaian dua negara, mereka perlu mengiktiraf kedua-dua negara yang terlibat (Palestin dan Israel), bukannya satu sahaja negara.

"Selain itu, rejim Zionis juga perlu mengiktiraf Palestin dan menghentikan penjajahan di wilayah kami supaya negara Palestin boleh wujud bersebelahan Israel dengan aman dan selamat.

"Kami sentiasa menghulurkan tangan kepada mereka yang mahu membina keamanan tetapi persoalannya, adakah pemimpin Israel yang mengetuai penjajahan, mahu keamanan dicipta," kata beliau seperti dilaporkan portal Al Jazeera.

Kebanyakan negara-negara anggota PBB telah mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara tetapi Israel dan beberapa negara lain termasuk Amerika Syarikat, Britain dan Jerman enggan berbuat demikian.

Terdahulu, Abbas berkata, aktiviti pembinaan penempatan haram di kawasan Tebing Barat yang dijajah rejim Zionis, hanya akan menghancurkan sebarang usaha penubuhan dua buah negara.

Perkara yang sama pernah dibangkitkan sekutu kuat Israel, Washington pada Ogos lalu yang menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan rejim meluluskan projek pembinaan rumah untuk pendatang haram Yahudi di wilayah Palestin.

Abbas juga meminta Britain meminta maaf kerana memainkan peranan dalam perjanjian Balfour pada 1917 yang membenarkan orang Yahudi tinggal di Palestin.

"Britain perlu mengiktriraf Palestin bagi membetulkan kesilapan mereka itu.

"Setidak-tidaknya mereka perlu memohon maaf atas perkara tersebut," kata Abbas.

Friday, 16 September 2016

Rejim Zionis bedil Genting Gaza


16 SEPTEMBER 2016
Rejim Zionis bedil Genting Gaza

Rejim Zionis bedil Genting Gaza
GENTING GAZA - PALESTIN. Tentera Israel melancarkan tiga serangan udara di sekitar Gaza di bawah satu lagi tindakan pencerobohan terbaru ke atas wilayah itu.

Agensi berita Safa melaporkan, serangan pertama menyasarkan kawasan terbuka milik kumpulan sayap bersenjata Hamas, Briged al-Qassam di Beit Lahia, awal pagi semalam.

Bedilan kedua mengenai kawasan Shima'a di bandar barat laut itu hingga mencetuskan kebakaran dan disusuli serangan ketiga di pangkalan Yarmouk di kawasan kejiranan Shujaiyya di bandar Gaza.

Bagaimanapun, tiada laporan kematian atau kecederaan dilaporkan.

Difahamkan, insiden serangan balas itu berlaku beberapa jam selepas Tel Aviv mendakwa mortar dibedil ke kawasan terbuka di Eshkol, namun ia tidak menyebabkan sebarang kemusnahan.

Selasa lalu, pesawat pejuang Israel turut menyasarkan kedudukan artileri kerajaan Syria selepas mendakwa serangan mortar dilancarkan dari Bukit Golan, lapor Press TV.