Wednesday, 14 October 2015

Wilayah Gaza dan Tebing Barat semakin bergolak


REUTERS - SEORANG tentera Israel mengacukan senapangnya ke arah penunjuk perasaan Palestin ketika pertempuran Gaza kelmarin.



BAITULMUQADDIS – Seorang remaja Palestin ditembak mati di Tebing Barat, manakala empat warga Israel ditikam kelmarin selepas keganasan memuncak susulan serangan udara Rejim Zionis yang membunuh seorang wanita hamil dan anak kecilnya di Gaza.
Tentera Israel membunuh remaja berkenaan yang dikenal pasti Kementerian Kesihatan Palestin sebagai Ahmad Sharake, 13, dalam pertempuran dekat bandar Ramallah, Tebing Barat.
Pasukan perubatan memberitahu, berpuluh-puluh penduduk Palestin ditembak dan cedera dalam beberapa pertempuran lain di seluruh Tebing Barat.
Dalam masa beberapa jam selepas Ahmad dibunuh, empat warga Yahudi ditikam di utara Israel, seorang daripadanya parah, oleh seorang warganegara Israel berbangsa Arab yang melanggar mereka dengan keretanya sebelum menyerang mangsa.
Pada Jumaat lalu, dua buah roket ditembak ke Israel dengan sebuah roket mengenai tanah lapang di selatan Israel dan sebuah lagi berjaya dipintas. Rejim Zionis melancarkan serangan balas keesokan harinya dan menyasarkan fasiliti pembuatan senjata Hamas.
Serangan balas Israel di Gaza pada Sabtu lalu itu membunuh seorang wanita hamil, Nur Hassan, 30, dan anak perempuannya yang berusia dua tahun, Rahaf.
Keganasan terbaharu itu menyusul selepas lebih 10 hari pertempuran antara tentera Israel dan warga Palestin di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis yang diduduki rejim Zionis.
Gaza mula terlibat dalam pergolakan itu pada Jumaat lalu dengan pertempuran di sepanjang sempadan yang ­menyebabkan sembilan warga Palestin terbunuh. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1013&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3oVL3Vv8H 
Hakcipta terpelihara 

Pisau jadi simbol perjuangan rakyat Palestin



REUTERS. - SEORANG penunjuk perasaan Palestin memegang sebilah pisau ketika satu perarakan di timur laut Gaza, Jumaat lalu.



BAITULMUQADDIS – Pisau yang disorok di dalam beg atau baju kini menjadi senjata pilihan dan simbol penentangan rakyat Palestin terhadap pendudukan Israel dengan 19 kes penduduk Yahudi ditikam direkodkan sejak 3 Oktober lalu.
Gelombang serangan itu meragut nyawa dua warga Israel dan mencederakan 20 lagi termasuk seorang remaja 13 tahun yang parah kelmarin. Ia meninggalkan trauma yang mendalam kepada penduduk Yahudi.
“Keganasan menggunakan pisau tidak akan mengalahkan kita,” kata Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu dalam satu ucapan di Parlimen Israel kelmarin.
Imej pelbagai jenis pisau seperti pisau dapur dan pisau Rambo menghiasi laman-laman sosial di samping menjadi paparan media Palestin serta Israel sejak 10 hari lalu.
“Pisau ialah barangan harian yang boleh dibeli dan dimiliki sesiapa sahaja. Objek itu mudah disorokkan.
“Tujuan utama serangan menggunakan pisau adalah bukan untuk membunuh tetapi bagi menyebarkan ketakutan dan matlamat itu sudah dicapai,” kata pakar psikologi Israel, Shaul Kimhi.
Israel memiliki teknologi dan keupayaan bertindak balas terhadap ancaman dari luar seperti sistem antipeluru berpandu Iron Dome, tetapi mereka menghadapi kesukaran berdepan serangan menggunakan senjata ringkas itu. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1014&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3oVJpfKcg 
Hakcipta terpelihara 

Korban terus meningkat


27 terbunuh akibat kekejaman rejim Zionis
14 Oktober 2015 12:38 AM



RAMALLAH 13 Okt. - Angka korban penduduk awam Palestin akibat keganasan Israel meningkat kepada 27 orang selepas Intifada Baitulmaqdis memasuki hari ke-12 dan sekurang-kurangnya 1,400 orang lagi dilaporkan cedera.
Tiga rakyat Palestin termasuk dua remaja merupakan mangsa terbaharu kekejaman askar rejim Zionis yang melakukan serangan di Baitulmaqdis, semalam.
Remaja berkenaan dikenali sebagai Hasan al-Manasra, 14, ditembak mati oleh pasukan keselamatan Israel selepas mangsa tidak mendapat rawatan sewajarnya apabila terkena tembakan.
Selain itu, seorang lagi remaja, Mustafa Aadel al-Khatib, 18, dibunuh dengan kejam apabila askar Israel melepaskan lebih 10 tembakan ke arah mangsa di selatan Baitulmaqdis selepas dia keluar daripada kereta untuk sesi pemeriksaan.
Menurut laporan portal Palestinian Information Center, seramai 16 rakyat Palestin terbunuh di Tebing Barat dan 11 lagi di wilayah Genting Gaza.
Menteri Kesihatan Palestin, Jawad Awad berkata, satu pertiga mangsa yang terbunuh sejak awal Oktober lalu merupakan kanak-kanak iaitu lapan yang ditembak mati oleh askar Israel dan seorang bayi yang maut dalam kandungan apabila ibunya dan seorang anak perempuannya maut dalam serangan bom di Gaza.
Jawad turut mengecam keganasan terancang Israel terhadap kanak-kanak Palestin apabila dengan sengaja mensasarkan tembakan di bahagian atas badan mangsa.
Semalam, 25 penduduk Pa­lestin cedera akibat kekejaman tentera Israel yang menggunakan peluru hidup untuk bertempur dengan penunjuk perasaan di Tebing Barat.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/korban-terus-meningkat-1.146240#sthash.OFNVqPrg.dpuf

Israel langgar undang-undang


Tentera Israel tanpa rasa bersalah menggunakan senjata api untuk menembak penduduk Palestin semasa satu pertempuran di Baitulaham, Tebing Barat, kelmarin. AFP
BAITULMAQDIS 13 Okt. – Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNRWA) memberi amaran bahawa penggunaan peluru hidup oleh tentera Israel mengakibatkan jumlah kematian yang tinggi, sekali gus melanggar piawaian antarabangsa dalam pelaksanaan undang-undang.
Berdasarkan undang-undang antarabangsa, pasukan keselamatan mempunyai had tertentu untuk menggunakan senjata sama ada dalam konteks operasi pelaksanaan undang-undang atau konflik, lebih-lebih lagi di kawasan awam yang dikuasai oleh tentera.
Portal Palestinian Information Center yang memetik kenyataan URNWA melaporkan, agensi PBB itu menyuarakan kebimbangan terhadap keganasan yang semakin merebak dan peningkatan angka kematian dalam kalangan orang awam di wilayah Palestin, terutamanya di Baitulmaqdis Timur.
Jelas agensi tersebut, hanya penyelesaian politik dapat mengekang situasi menjadi lebih buruk yang boleh menjejaskan kehidupan penduduk Palestin dan Israel.
“Kami mengutuk pembunuhan dan kecederaan yang dialami oleh pelarian Palestin terutamanya kes tragik pada 5 Oktober lalu apabila remaja berusia 13 tahun, Abd El Rahman ditembak mati oleh tentera Israel di kem pelarian Aida.
“Jika ada dakwaan tentang pe­langgaran undang-undang antarabangsa, siasatan mesti dilakukan dengan adil bagi mengheret pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan,” tambah laporan itu.
Sementara itu, Pengarah Pusat Hal Ehwal Demokrasi dan Hak Asasi Manusia Geneva, Anwar al-Gharbi menggesa sebuah pasukan pemantau antarabangsa dikerah untuk melindungi penduduk Palestin di Tebing Barat daripada menjadi mangsa keganasan Israel.
Anwar berkata, rejim Zionis terus mencabul undang-undang antarabangsa dan mencabar dunia apabila mengabaikan resolusi yang dikuatkuasakan di Baitulmaqdis.
Malah, beliau mengecam masyarakat dunia yang masih membisu terhadap penindasan dan jenayah yang dilakukan Israel di wilayah Palestin tersebut sehingga menyebabkan ramai orang terbunuh dan cedera.
“Kami mempunyai bukti yang menunjukkan jenayah Israel terhadap penduduk awam Palestin termasuk kes pembunuhan, operasi menembak hendap, dan beberapa jenayah lain yang memerlukan siasatan bagi membuktikan pengli­batan askar rejim Zionis,” kata beliau.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/israel-langgar-undang-undang-1.146242#sthash.vLk9MZry.dpuf

Tuesday, 13 October 2015

Bersatu menentang penjajahan Israel – Hamas


Keganasan di Tebing Barat bertambah buruk
13 Oktober 2015 12:55 AM


Mousa Abu Marzouk

BEIRUT 12 Okt. - Pergerakan Hamas dilihat memulakan langkah apabila meminta semua penduduk Pa­lestin di wilayah Tebing Barat dan Semenanjung Gaza untuk bersatu dan bangkit menentang penjajahan Israel, sekali gus menyokong gerakan intifada atau kebangkitan.
Anggota biro politik Hamas, Mousa Abu Marzouk dalam kenyataannya dalam laman sosial Facebook, berkata, rakyat Palestin perlu me-nerapkan semangat perpaduan, persaudaraan dan kerjasama bagi menghadapi penjajahan rejim Zionis.
Jelas beliau, sebarang perbincangan antara kumpulan Pa­lestin perlu menumpukan perhatian tentang perjuangan menentang Israel dan mencari jalan yang terbaik bagi mencapai matlamat tersebut.
“Israel perlu menghentikan pe­nin­dasan dan penjajahan secara halus di Baitulmaqdis selain melarang orang bukan Islam memasuki Masjid Al-Aqsa dan membatalkan semua sekatan.
“Kerajaan rejim Zionis juga perlu mengambil tindakan terhadap keganasan pendatang haram Yahudi yang mengganggu keselamatan dan ketenteraman penduduk Pa­lestin di Tebing Barat,” kata beliau seperti dilaporkan portal Palestinian Information Center.
Selain Mousa, jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri berkata, keganasan Israel di kedua-dua wilayah Pa­lestin membuktikan rejim Zionis cuba memperluaskan kawasan jajahan.
Beliau turut memberi amaran bahawa tindakan Israel tersebut hanya memburukkan keadaan dan mengundang konflik yang lebih besar serta teruk.
“Tindakan penjajahan secara berterusan ini merupakan perbuatan orang bodoh dan kerajaan Israel perlu menghentikan segala provokasi dengan segera,” katanya.
Dalam pada itu, keganasan di Tebing Barat semakin buruk apabila seorang lagi penduduk Palestin lagi ditembak mati.
Remaja yang dikenal pasti oleh Kementerian Kesihatan Palestin sebagai Ahmad Sharake, 13, mati ketika pertempuran berlaku berhampiran bandar Tebing Barat Ramallah.
Pasukan perubatan berkata, berpuluh-puluh rakyat Palestin telah ditembak dan cedera dalam pertempuran lain di seluruh Tebing Barat. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/bersatu-menentang-penjajahan-israel-8211-hamas-1.145880#sthash.aA53UI6s.dpuf

Lagi remaja Palestin maut ditembak


Lagi remaja Palestin maut ditembak

13 OKTOBER 2015
Lagi remaja Palestin maut ditembak Penunjuk perasaan Palestin bertempur dengan pasukan keselamatan Israel di pusat pemeriksaan Hawara, di selatan Tebing Barat. - Foto AFP

TEBING BARAT - PALESTIN. Seorang remaja Palestin maut ditembak tentera Israel dalam pertempuran di pusat pemeriksaan berhampiran bandar Ramallah, kelmarin, kira-kira seminggu selepas keganasan berterusan di wilayah itu.

Ahmad Sharaka, 13, ditembak ketika rejim Zionis melepaskan tembakan rambang ke arah penunjuk perasaan di luar Beit El, sebuah penempatan haram berhampiran Ramallah.

Pegawai di Hospital Ramallah memberitahu, mangsa mempunyai kesan luka di bahagian leher akibat peluru hidup ketika tiba di bilik kecemasan, dan tidak dapat diselamatkan kerana kecederaan parah dialami.

Keganasan terbaharu itu menyusul sehari selepas Israel membunuh seorang wanita hamil dan anaknya dalam satu serangan udara di Genting Gaza.

Kelmarin, satu pertempuran sengit berlaku di bandar dan kampung di seluruh Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis Timur, berikutan desakan rakyat yang dicetuskan ketegangan berhubung insiden di Masjid al-Aqsa. - al Jazeera

Monday, 12 October 2015

Pemuda Palestin lancar hashtag intifada


ANGGOTA tentera melepaskan gas pemedih mata ke arah sekumpulan remaja yang membaling batu di sebuah penempatan di Bet El, utara Ramallah pada Isnin lalu. - AFP


RAMALLAH – Golongan muda Palestin kini melancarkan hashtag intifada me­lalui laman-laman sosial sebagai salah satu kebangkitan menentang kezaliman rejim Zionis di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis.
Sebuah video tersebar secara meluas dalam media sosial yang menunjukkan beberapa pemuda Palestin menikam penduduk Israel serta membaling batu ke arah anggota tentera selepas beberapa hari berlakunya pertempuran.
Satu halaman Facebook yang dibuka me­nunjukkan satu logo dan seorang pemuda melindungi sebahagian wajahnya dengan melilit sehelai kain sambil membaling batu dan tertera tulisan Intifada yang berwarna merah dan hitam serta bendera Palestin.
Malah, hashtag #Jerusalem intifada turut dikongsi secara meluas dalam media sosial.
Pertempuran dengan tentera Israel sema­kin merebak di beberapa kawasan walaupun pemimpin Palestin dan Israel menggesa supaya semua pihak bertenang.
Ketegangan dan kebangkitan penentangan terhadap Israel akhir-akhir ini semakin me­ningkat selepas intifada kedua yang dilancarkan pada September tahun 2000.
Rakyat Palestin kini memiliki pelbagai alat media sosial untuk menyebarkan gambar mengenai penunjuk perasaan dan pertempuran.
Malah, gambar dan klik video beberapa remaja Palestin termasuk Dia al-Talahmeh, Mohannad Halabi dan Samir Alloun yang ditembak mati oleh tentera Palestin turut dimuat naik di Facebook.
Video berkenaan kini mencatatkan lebih 100,000 kali tontonan. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1010&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3oIpxknHv 
Hakcipta terpelihara 

Kekejaman Israel ke atas Palestin semakin berleluasa



RAKAMAN video menunjukkan tentera Israel mengacukan senjata api mereka ke arah Isra yang cuba bersenjatakan pisau. - AGENSI


BAITULMUQADDIS – Sebuah klip video kekejaman Israel tersebar luas di dalam internet yang menunjukkan beberapa anggota polis Israel menembak seorang wanita Palestin di sebuah terminal bas di Afula kelmarin.
Mangsa berusia 28 tahun yang dikenali sebagai Isra Abed itu dikatakan ditembak kerana dia cuba menikam seorang pengawal keselamatan Israel dengan sebilah pisau.
Rakaman video menunjukkan dia ditembak beberapa kali oleh beberapa tentera Israel yang mengepungnya meskipun Isra jelas tidak mampu memberi ancaman besar.
“Dia tidak pun memberi sebarang ancaman kepada sesiapa,” kata seorang doktor, Belal Dabour yang dikatakan memuat naik video itu menerusi laman sosial, Twitter.
Ada laporan menyebut wanita itu terbunuh, manakala ada sumber menyatakan Isra kini dalam keadaan kritikal dan dirawat di sebuah hospital.
Sementara itu, ketegangan semakin merebak di Gaza, Baitulmuqaddis dan Tebing Barat semalam apabila sebanyak 17 penduduk Palestin terbunuh dalam tempoh 11 hari keganasan berlaku.
Kebanyakan mereka terbunuh selepas ditembak oleh tentera Israel dalam gerakan baharu menikam pendatang haram Yahudi dan tentera Zionis.
“Lebih 80 penduduk Palestin cedera, 10 daripada mereka parah,” kata anggota perubatan itu.
Golongan muda Palestin kini me­lancarkan intifada ketiga selepas kebangkitan intifada pe­rtama pada 1987 dan tahun 2000. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1011&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3oIpJ1M4u 
Hakcipta terpelihara 

Israel bom wanita hamil, anak kecil


SEORANG bapa, Yehya Hasan menangisi pemergian anak perempuannya, Rahaf yang maut dalam serangan udara rejim Zionis semalam. - AFP


BANDAR GAZA, Wilayah Palestin - Satu serangan udara Israel membunuh seorang wanita mengandung dan anak kecilnya di Gaza, manakala seorang wanita Palestin meletupkan sebuah bom kereta di Tebing Barat semalam.
Keganasan yang meningkat sejak beberapa hari lalu menimbulkan kebimbangan gelombang kebangkitan atau intifada ketiga akan meletus di Palestin.
Gaza dilanda keganasan sejak Jumaat lalu dengan pertempuran di sempadan menyebabkan sembilan warga Palestin maut terkena bedilan rejim Zionis termasuk beberapa remaja. Tentera Israel kelmarin mengebom dua fasiliti pembuatan senjata Hamas selepas pejuang-pejuang di Gaza melepaskan dua bedilan roket disusuli percubaan untuk menyeberangi sempadan oleh pejuang Hamas.
Sebuah roket itu mengenai kawasan padang di selatan Israel sementara roket kedua berjaya dipintas.
Serangan balas Israel pula memusnahkan sebuah rumah di Zeitun, utara Gaza dan membunuh Nur Hassan, 30 serta anak perempuannya yang berumur dua tahun, Rahaf, kata pasukan perubatan Gaza.
Pertempuran di sempadan yang bermula Jumaat lepas berlaku selepas ketua Hamas di Gaza, Ismail Haniyeh menggesa penduduk Palestin melancarkan gelombang intifada ketiga.
Sementara itu, satu letupan bom dekat Baitulmuqaddis berlaku selepas seorang anggota polis melihat sebuah kenderaan mencurigakan dekat kawasan penempatan haram Yahudi di Maale Adumin dan mengarahkan wanita berusia 31 tahun itu supaya berhenti.
“Dia keluar dari kereta dan meletupkan bahan letupan di dalam kenderaan itu.
“Penyerang parah sementara anggota polis itu cedera ringan dalam serangan tersebut,” kat jurucakap polis Israel, Micky Rosenfeld. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1012&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3oIoJ8dTz 
Hakcipta terpelihara 

2 warga Palestin terbunuh serangan udara Israel di Gaza

 2 warga Palestin terbunuh serangan udara Israel di Gaza ANTARA mangsa yang terkorban dikenal pasti Rahaf Hassan, 2. - Foto AFP
AHAD, 11 OKTOBER 2015 @ 10:46 AM



 GAZA, Palestin: Seorang ibu mengandung dan anaknya terbunuh dalam serangan udara Israel yang memusnahkan rumah mereka di Semenanjung Gaza, kata sumber perubatan hari ini. Mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai Nur Hassan, 30, dan anak perempuannya, Rahaf Hassan, 2. Pasukan perubatan berkata, tiga lagi masih terperangkap di bawah runtuhan rumah mereka di kawasan Zeitun, selatan Gaza. Dalam pada itu, Israel berkata, ia menyasarkan 'dua kemudahan pengeluaran senjata Hamas' sebagai tindak balas kepada dua serangan roket Hamas semalam serta pelbagai cubaan warga Palestin untuk masuk ke Israel dari Gaza. Satu daripada roket berkenaan jatuh ke kawasan lapang di selatan Israel dan satu lagi dipintas, manakala sembilan rakyat Palestin terbunuh ketika pertempuran di sempadan dengan tentera Israel. Kematian terbaru itu dilihat menyemarakkan lagi keganasan antara Israel dan Palestin, yang bermula di timur Jerusalem di Tebing Barat beberapa hari lalu, akan merebak menjadi tidak terkawal. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/88117

Sunday, 11 October 2015

Serangan udara Israel korbankan 2 warga Palestin


GAZA 11 Okt. - Seorang wanita mengandung serta anaknya terbunuh dalam insiden serangan udara Israel yang memusnahkan rumah mereka di Semenanjung Gaza selepas konflik antara Palestin dan Israel semakin meruncing.
Menurut sumber perubatan, mangsa yang dikenali sebagai Nur Hassan,30, serta anak perempuannya, Rahaf Hassan, 2, manakala tiga lagi masih lagi dipercayai masih lagi terperangkap selepas rumah mereka dibedil semalam di Zeitun, selatan Gaza.
Dalam pada itu, Israel berkata, mereka telah menyasarkan dua kemudahan pengeluaran senjata Hamas sebagai tindak balas kepada dua serangan roket Hamas selain daripada pelbagai cubaan warga Palestin untuk masuk ke Israel dari Gaza.
Salah satu daripada roket itu didakwa jatuh ke kawasan lapang di selatan Israel dan satu lagi dipintas, manakala sembilan rakyat Palestin terbunuh ketika pertempuran di sempadan dengan tentera Israel semalam.
Angka korban keganasan yang tercetus sejak 11 hari lalu terus meningkat manakala lebih 1500 orang disahkan cedera setakat ini. - REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/serangan-udara-israel-korbankan-2-warga-palestin-1.145144#sthash.4fTq3RHy.dpuf

Keganasan merebak di Gaza


Keganasan merebak di Gaza

11 OKTOBER 2015
Keganasan merebak di Gaza Tentera rejim Zionis bertempur dengan penduduk Palestin di Beit El berhampiran Ramallah, kelmarin. - Foto AFP

GENTING GAZA - PALESTIN.Keganasan didakwa merebak ke wilayah Gaza selepas tentera Israel menembak mati enam penduduk Palestin yang menyertai protes sebagai membantah tindakan pelampau Yahudi menikam empat lelaki Arab hingga mati di bandar Dimona.

Saksi memberitahu rejim Zionis bertindak melepaskan tembakan rambang sejurus kumpulan penunjuk perasaan tersebut menghampiri sempadan Israel dan turut mencederakan 50 mangsa.

Susulan daripada itu, pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh memberi amaran keganasan di utara dijangka mencetuskan gelombang Intifada baharu di Palestin.

Dalam kejadian berasingan di Ramallah, seorang pembaling batu cedera selepas dirempuh jip tentera Israel.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan melaporkan kira-kira 14 penduduk Palestin terbunuh manakala 1,000 lagi cedera dalam beberapa siri pertempuran di Genting Gaza dan Tebing Barat sejak awal bulan lalu. - Press TV

Wanita Hamil Dan Anaknya Terbunuh Selepas Rumah Diserang Rejim Yahudi


Diterbitkan: Ahad, 11 Oktober 2015 10:33 AM

GAZA: Seorang wanita hamil dan anak perempuanya terbunuh dalam serangan udara yang dilakukan Israel bagi merampas penempatan Islam di semenanjung Gaza pada Ahad.
Mangsa kekejaman rejim Yahudi itu ialah Nur Hassan, 30, dan anaknya, Rahaf hassan, 2.
Pihak perubatan melaporkan, mayat kedua-dua beranak itu terperangkap di bawah runtuhan rumah mereka yang dibedil bom.
Israel memberi alasan, serangan itu dilakukan bagi mensasarkan pejuang Hamas yang menyimpan senjata dan melancarkan dua roket ke arah penempatan Yahudi.
Roket tersebut dilancarkan selepas tentera Israel membunuh sembilan rakyat Palestin dalam pertempuran di sempadan.

Saturday, 10 October 2015

Kembali tegang


Baitulmaqdis: Keganasan terbaru kembali menggegarkan bandar ini semalam selepas dua kejadian serangan menyebabkan seorang lelaki Palestin maut ditembak polis Israel dan seorang wanita cedera.

Kejadian berlaku ketika pemimpin Palestin dan Israel cuba meredakan ketegangan di bandar itu yang berlarutan sejak beberapa minggu lalu.

Dalam kejadian terbaru, seorang wanita berusia 18 tahun cedera parah akibat ditembak selepas dia menikam seorang lelaki Yahudi berhampiran Masjid Al-Aqsa.

Lelaki Yahudi berkenaan bersenjata api menembak wanita itu yang menikam belakangnya dengan pisau.

Lelaki berusia 35 tahun itu dilaporkan cedera ringan manakala wanita terbabit parah.

Dalam satu kejadian berasingan di Kiryat Gat, tengah Israel, polis menembak mati lelaki Arab yang menikam seorang askar dan merampas senjatanya.

Satu lagi insiden berhampiran Baitullaham di Tebing Barat, pendatang haram Yahudi menembak dan mencederakan seorang pemuda Palestin berusia 18 tahun.

Kejadian berlaku apabila sekumpulan pemuda Palestin melontar batu ke arah pendatang haram Yahudi.

Di kawasan yang sama, sekumpulan pemuda Palestin didakwa cuba memaksa seorang wanita Yahudi keluar dari keretanya.

Wanita itu terselamat selepas beberapa pendatang haram Yahudi melepaskan tembakan amaran di udara.

Keganasan terbaru itu menyebabkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menangguhkan lawatannya ke Jerman bagi meredakan ketegangan yang masuk minggu ketiga.

Pegawai keselamatan Israel dan Palestin bertemu kelmarin selepas Presiden Palestin, Mahmud Abbas mahu keganasan itu dihentikan.

Pihak berkuasa Israel semalam juga menarik balik had umur terhadap penduduk Palestin yang mahu bersolat di Masjid Al-Aqsa bagi meredakan ketegangan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2015 @ 9:03 AM

TENTERA Israel menahan penunjuk perasaan Palestin yang cedera dalam pertempuran berhampiran penempatan Yahudi Bet El di Ramallah, Tebing Barat, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/83440#sthash.yfMJjzZh.dpuf

Lima terbunuh di Gaza


Gaza: Tentera Israel semalam melepaskan tembakan di sempadan Gaza menyebabkan lima penduduk Palestin terbunuh dan sekurang-kurangnya 13 yang lain cedera ketika mereka menunjuk perasaan menyokong bantahan diadakan di Baitulmaqdis, kata pihak berkuasa hospital di Gaza.

Demonstrasi itu diadakan sebagai menyokong penduduk Palestin di Tebing Barat dan Baitulmaqdis, susulan beberapa serangan dilancarkan terhadap penduduk Israel yang turut dibalas orang Yahudi terhadap penduduk Arab.

Tentera Israel berkata, kira-kira 200 penduduk Palestin tiba di kawasan kurang 100 meter dari pagar sempadan di timur laut Gaza dan melontar batu serta menggolekkan tayar terbakar ke arah tentera Israel di seberang pagar sempadan itu.

Jurucakap tentera berkata: “Askar kami melepaskan tembakan terhadap mereka untuk menghalang kemaraan dan menyuraikan kumpulan Palestin itu. Lima penduduk Palestin ditembak.”

Pihak berkuasa hospital berkata, empat orang terbunuh dan 13 cedera. Saksi mendakwa ditembak penembak curi di pos kawalan sepanjang pagar sempadan, kira-kira 400 meter dari lokasi protes diadakan.

Israel mewujudkan zon keselamatan sepanjang 300 meter dari sempadan memasuki Gaza. Hamas dan kumpulan pejuang Palestin lain pula mempunyai menara tinjau serta pos kawalan tidak jauh dari zon penampan itu.

Pemimpin Hamas di Gaza, Ismail Haniyeh, menggesa penduduk Palestin meningkatkan tentangan terhadap Israel dengan menganggap peningkatan pertempuran di Baitulmaqdis dan Tebing Barat sebagai permulaan intifada baru.

“Ini hari Jumaat, hari kemarahan. Hari ini mewakili permulaan intifada baru di seluruh Palestin.

“Kita menyerahkan jiwa dan raga demi Baitulmaqdis. Baitulmaqdis dan Aqsa sebahagian daripada agama kita dan mereka yang menyerang orang Yahudi adalah wira.

“Gaza menyokong penuh perjuangan di Baitulmaqdis. Gaza sangat bersedia. Penduduk Palestin mesti bersatu mempertahankan pekarangan Masjid Al-Aqsa,” katanya selepas solat Jumaat, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Oktober 2015 @ 5:06 AM

SEORANG penunjuk perasaan Palestin dibantu rakannya selepas cedera dalam pertempuran dengan tentera Israel di pagar sempadan di Semenanjung Gaza, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/83932#sthash.a6UFKv6h.dpuf

Aktivis Palestin isytihar intifada 3

sebahagian penuntut universiti mengibarkan bendera sambil melaungkan

Sebahagian penuntut universiti mengibarkan bendera sambil melaungkan bantahan terhadap Israel di hadapan sebuah mural memaparkan wajah bekas Presiden Palestin, Yasser Arafat dan pemimpin Jihad Islam, Fathi Shaqaqi semasa satu protes di Gaza City, kelmarin. AFP
BAITULMAQDIS 9 Okt. - Sebuah laman sosial Facebook yang didakwa milik aktivis Palestin, mengisytiharkan intifada atau kebangkitan ketiga telah bermula bagi menentang penindasan dan kekejaman Israel di Tebing Barat.
Laman tersebut yang turut mempunyai logo sendiri yang menunjukkan seorang belia bertopeng melontar batu dan dibayangi warna hitam, merah dan hijau yang merujuk kepada bendera Palestin.
Selain itu, video yang menunjukkan aktivis belia Palestin bertempur dengan askar Israel, mula tersebar dalam laman sosial bagi membangkitkan semangat intifada dan perkongsian slogan #intifada Baitulmaqdis.
Perkembangan terbaharu juga menunjukkan pertempuran antara penduduk Palestin dan pihak keselamatan Israel merebak di timur Baitulmaqdis dan Tebing Barat, sekali gus menunjukkan intifada ketiga semakin hampir menjadi kenyataan.
Keganasan yang semakin meningkat mencetuskan kebimbangan kepada pucuk pimpinan Palestin yang tidak mahu intifada tercetus semula seperti yang berlaku pada 1987 dan 2000.
Berbanding kedua-dua intifada sebelum ini, penduduk Palestin mempunyai kelebihan rangkaian media sosial untuk menyebarkan keganasan yang dilakukan Israel dengan pantas.
Sebuah kumpulan pejuang Palestin, Jihad Islam turut memuat naik sebuah video yang menggalakkan serangan berani mati pada intifada kedua bagi mengekang keganasan Israel.
Video yang telah ditonton lebih 40,000 kali itu merakamkan seorang belia sedang membetulkan tali pinggang yang dipasang bom sebagai persediaan melancarkan serangan berani mati. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/aktivis-palestin-isytihar-intifada-3-1.144757#sthash.TYVD4fYk.dpuf

Friday, 9 October 2015

Israel guna taktik baharu


Israel guna taktik baharu

9 OKTOBER 2015
Israel guna taktik baharu Ejen provokasi Israel menahan seorang pemuda Palestin yang membaling batu semasa pertempuran di Beit El, kelmarin.

BAITULMAQDIS - PALESTIN. Tentera Israel dikatakan sengaja melancarkan provokasi berterusan terhadap penduduk Palestin di Tebing Barat.

Menurut laporan Press TV, tindakan provokasi itu dilihat taktik Israel bagi menghidupkan peluang mereka melakukan penindasan lebih teruk terhadap penduduk Palestin.

Perkara itu didedahkan menerusi satu rakaman video yang jelas menunjukkan beberapa askar yang menyamar sebagai penduduk Palestin menghasut penunjuk perasaan membaling batu ke arah pasukan keselamatan Israel.

Kejadian itu berlaku semasa tunjuk perasaan di sekitar penempatan haram yang dibina Israel di Beil El dekat Ramallah, Rabu lalu.

Dalam kejadian itu, seorang pemuda Palestin cedera di kaki akibat luka tembakan yang dilepaskan ejen provokasi Israel.

Sementara itu, agensi berita Ma'an melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 13 rakyat Palestin cedera terkena peluru getah yang dilepaskan tentera Israel semasa pertempuran di sekitar Ramallah.

Ketegangan di rantau ini meningkat sejak beberapa hari lalu selepas Israel bertindak menyekat kemasukan rakyat Palestin ke Kota Lama dan melarang mereka menjejakkan kaki ke Masjid Al-Aqsa.

Kekejaman Israel


1,289 penduduk Palestin cedera sejak pertempuran tercetus
09 Oktober 2015 12:51 AM

Seorang lelaki Palestin yang cedera akibat ditembak tentera Israel, terpaksa diberikan rawatan selepas insiden tersebut berlaku di pusat pemeriksaan Zaim berhampiran kawasan penempatan Maale Adumim, di Baitulmaqdis, kelmarin. REUTERS

BAITULMAQDIS 8 Okt. - Sekurang-kurangnya 1,289 penduduk Palestin cedera dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan Israel di Tebing Barat dan Baitulmaqdis susulan keganasan terbaharu sejak lima hari lalu.
Menurut data rasmi yang dikeluarkan Palang Merah Palestin, sebanyak 76 orang daripada jumlah tersebut cedera ditembak dengan peluru, manakala 344 orang lagi akibat ditembak peluru getah.
Selain itu, sebanyak 84 orang daripada mereka mengalami masalah pernafasan akibat gas pemedih mata, dan 20 orang lagi dipukul dengan teruk.
Sementara itu, keganasan terbaharu menggegarkan Israel dan Tebing Barat hari ini melibatkan tiga kejadian tikam dan seorang penduduk Palestin ditembak mati polis ketika Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu menggesa penduduk Israel lebih berhati-hati terhadap keganasan.
Di Tebing Barat, lelaki-lelaki dipercayai polis perisik Israel melepaskan tembakan terhadap sekumpulan penduduk Palestin didakwa melontar batu, yang menyaksikan tiga orang cedera.
Kejadian itu turut disaksikan oleh wartawan AFP yang melihat seorang mangsa cedera parah di belakang kepalanya.
Pegawai Israel dan Palestin dilaporkan bertemu bagi mengadakan rundingan keselamatan di Tebing Barat malam tadi dan Kesatuan Eropah (EU) hari ini menggesa keamanan dikembalikan dan dialog politik diadakan.
Seorang gadis Palestin berumur 18 tahun mati ditembak selepas menikam seorang lelaki Israel berumur 35 tahun di Old City.
Di bandar Kiryat Gat, Israel, polis menembak mati seorang lelaki Palestin selepas dia didakwa mencederakan seorang askar dengan pisau.
Rusuhan di timur Baitulmaqdis dan Tebing Barat sejak beberapa hari lalu menyaksikan belia melemparkan batu dan bom petrol terhadap pasukan keselamatan Israel.
Dalam pada itu, Netanyahu turut mengharamkan ahli-ahli Parlimen daripada memasuki kawasan Masjid al-Aqsa dalam usaha mengurangkan ketegangan.
“Penduduk Israel kini di barisan hadapan perang terhadap keganasan dan perlu berada dalam keadaan berjaga-jaga,’’ katanya. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/kekejaman-israel-1.144441#sthash.CF3fjnU2.dpuf

Thursday, 8 October 2015

Israel terus mengganas


Remaja Palestin membaling batu ke arah anggota keselamatan Israel semasa mengadakan tunjuk perasaan membantah tindakan Israel menceroboh Masjid al-Aqsa di pusat pemeriksaan Hezma di Tebing Barat pada 30 September lalu. - AFP
BAITULMAQDIS 5 Okt. - Seorang remaja Palestin ditembak mati, manakala beratus-ratus lagi penduduk Palestin cedera dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan Israel dan pendatang haram Yahudi di Tebing Barat, semalam.
Keganasan terbaharu itu tercetus selepas rejim Zionis menguatkuasakan larangan terhadap penduduk Palestin daripada memasuki kota lama Baitulmaqdis, tindakan yang disifatkan oleh pergerakan Hamas sebagai perkauman dan penindasan.
Menurut portal Al-Jazeera yang memetik kenyataan Persatuan Palang Merah Palestin (PRCS), tentera Israel menggunakan peluru hidup dan peluru getah yang bersalut besi untuk menyuraikan penunjuk perasaan Palestin yang berang terhadap larangan itu.
PRCS berkata, remaja Palestin berusia 18 tahun, Huthaifa Suleiman ditembak mati oleh tentera rejim Zionis di pusat pemeriksaan dekat Tulkarm.
Jelas persatuan itu, hampir 400 penduduk Palestin lagi mengalami kecederaan teruk termasuk 150 orang yang cedera akibat terkena tembakan.
“Seramai 200 orang dirawat akibat menerima kesan gas pemedih mata yang dilepaskan oleh anggota keselamatan Israel.
“Perintah darurat diisytiharkan di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur susulan serangan ganas tentera penjajah (rejim Zionis) dan pendatang haram Yahudi,” tambah kenyataan itu.
Selain itu, PRCS melaporkan, tentera Israel turut menyerang ambulans yang digunakan untuk membawa penduduk Palestin yang cedera dan lima anggota perubatan turut diserang ketika mereka menjalankan tugas.
“Tindakan kejam rejim Zionis itu secara jelas melanggar Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa (IHL) terutamanya melibatkan Perkara Keempat Konvensyen Geneva 1949 yang menyebut tentang perlindungan terhadap orang awam semasa perang,” jelas PRCS.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/israel-terus-mengganas-1.143373#sthash.OrnTRNvk.dpuf

Israel rancang intifada

Sengaja cetus provokasi terhadap penduduk Palestin

Seorang penduduk Palestin ditahan tentera Israel semasa satu pertempuran

Seorang penduduk Palestin ditahan tentera Israel semasa satu pertempuran tercetus di Shuafat, pinggir Baitulmaqdis, kelmarin. REUTERS
CALIFORNIA 6 Okt. - Israel sengaja melancarkan provokasi secara berterusan terhadap penduduk Palestin di Tebing Barat dengan harapan dapat mencetuskan intifada atau kebangkitan ketiga, bagi memperluaskan kawasan jajahan rejim Zionis itu.
Berdasarkan satu wawancara antara portal Press TV dan pengasas bersama Pergerakan Kebebasan Palestin, Paul Larudee, beliau mengulas lanjut tentang isu penahanan beramai-ramai penduduk Palestin oleh rejim Israel di Tebing Barat sejak beberapa bulan lalu.
Menurut Larudee, tindakan penahanan secara besar-besaran itu merupakan satu provokasi bagi menghidupkan peluang Israel melakukan penindasan yang lebih teruk terhadap penduduk Palestin.
Secara jelas katanya, rejim Zionis mahu menghapuskan rakyat Palestin melalui tindakan memusnahkan rumah, memenjarakan lebih ramai penduduk, dan memisahkan ahli keluarga selain mencetuskan keganasan yang lebih besar seperti intifada.
“Malah Israel tidak mempedulikan pihak antarabangsa yang mengutuk tindakan mereka termasuk resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mahu rejim itu menghormati undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia,” katanya.
Ketegangan di Tebing Barat semakin memuncak ekoran pertempuran antara penduduk dan pihak keselamatan rejim Zionis susulan pembunuhan dua remaja Palestin dalam tempoh 24 jam dan tindakan kontroversi Israel melarang penduduk Palestin memasuki Kota Lama Baitulmaqdis.
Sementara itu, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mengarahkan Pihak Berkuasa Palestin (PA) untuk mengekang sebarang kejadian yang lebih buruk di Tebing Barat, sekali gus mengelakkan berlakunya intifada ketiga.
Seorang penasihat kanan Abbas, Nimer Hammad berkata, pucuk kepimpinan PA tidak mahu kebangkitan tersebut tercetus dan tindakan Israel hanya menunjukkan kerajaan Palestin yang mencetuskan keganasan.
Beliau turut menyalahkan Hamas berhubung ketegangan di Tebing Barat walaupun pergerakan Islam itu menguasai wilayah Palestin di Semenanjung Gaza.
Dalam perkembangan terbaharu, Israel memusnahkan dua buah rumah penduduk Palestin dan menyita sebuah lagi rumah kerana mendakwa penghuninya terlibat dalam serangan terhadap penda­tang haram Yahudi pada tahun lalu.
Intifada Pertama
• Tercetus pada Disember 1987 sehingga 1993 bagi menentang penjajahan Israel

Intifada Kedua
• Berlaku pada hujung September 2005 dan berakhir lima tahun kemudian.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/israel-rancang-intifada-1.143735#sthash.il67sJoi.dpuf