Wednesday, 15 April 2015

MBM Kecam Serangan IS Terhadap Kem Pelarian Palestin


Diterbitkan: Rabu, 15 April 2015 3:14 PM

KUALA LUMPUR: Majlis Belia Malaysia (MBM) mengecam sekeras-kerasnya serangan terkini kumpulan militan IS ke atas Kem Pelarian Palestin di Yarmouk, Syria.
Presiden Belia Malaysia Mua'mar Ghadafi Jamal Jamaludin berkata serangan tersebut jelas menggambarkan wajah sebenar kekejaman IS terhadap pelarian Palestin yang tertindas di kem tersebut selain mereka sudah terkepung selama lebih 600 hari di bawah pemerintahan kejam Rejim al-Assad.
"Kem pelarian itu didiami seramai 18,000 orang sebahagian besarnya adalah kanak-kanak dan wanita. Selepas mereka menjadi pelarian akibat kekejaman Zionis puluhan tahun yang lalu, kini mereka berhadapan pula dengan serangan IS dan pertempuran konflik Syria," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Mua'mar menggesa PBB dan masyarakat antarabangsa untuk melakukan campurtangan kemanusiaan bagi menyelamatkan nasib 18,000 pelarian Palestin yang masih terperangkap di kem tersebut.
Beliau turut menyeru rakyat Malaysia agar terus menyumbang melalui Tabung Pelarian Syria-Palestin yang dilancarkan bersama MBM dan Malaysia Line for Syria (MLLFS) di Akaun Salam Suriah Resources, Maybank (5645-5733-8496), (Bank Islam 12-133-01-005343-3) dan CIMB Bank (8602041215).
MBM konsisten dalam memerangi ideologi IS semenjak Kempen Belia Tolak Ekstremisme yang dilancarkan MBM pada 4 April lalu.

Tuesday, 14 April 2015

Kambing jantan keluar susu disembelih

Gaza: Pihak berkuasa Palestin di sini menyembelih seekor kambing jantan yang dianggap ajaib kerana boleh mengeluarkan susu selepas orang ramai percaya susu haiwan itu boleh menyembuhkan penyakit.
Media melaporkan, pihak berkuasa membayar pampasan kira-kira AS$680 (RM2,523) kepada pemilik kambing itu, Jassir Abu Al Saeed.
Pegawai di Kementerian Pertanian, Zakaria Al Kafarna berkata, kambing jantan itu disembelih selepas terdapat laporan mengatakan susu haiwan berkenaan boleh menyembuhkan banyak penyakit.
Katanya, selepas disembelih daging haiwan itu dijual kepada seorang penduduk kaya.
“Kami mengambil keputusan menyembelih kambing ini selepas ia mencetuskan kegemparan dan kekeliruan dalam kalangan penduduk,” katanya.
Menurutnya, kambing jantan itu mengeluarkan susu akibat masalah hormon.
“Susu yang dikeluarkan oleh kambing jantan ini tidak menyembuhkan sebarang penyakit sebaliknya ia boleh membahayakan kesihatan,” tegasnya.
Tambahnya, kementerian mengambil keputusan menyembelih kambing itu bagi menamatkan kekeliruan selepas haiwan berkenaan menjadi berita hangat akhbar dan media sosial sejak beberapa minggu lalu.
Sementara itu, Jassir, 45, berkata, dia membeli kambing berkenaan daripada seorang petani yang mengimport haiwan itu dari sebuah ladang di Israel. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2015 @ 9:49 AM


JASSIR dan kambing jantannya yang mengeluarkan susu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/43626#sthash.7bIgtUO6.dpuf

Bantuan kewangan Gaza belum diterima

Keadaan di Genting Gaza, tidak banyak berubah selepas sembilan
Keadaan di Genting Gaza, tidak banyak berubah selepas sembilan bulan serangan Israel di wilayah berkenaan. Pembinaan semula Gaza terbantut berikutan kegagalan penderma menyalurkan wang yang dijanjikan. AFP
PARIS 13 April – Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa hari ini mengecam negara-negara dunia atas kelewatan pemberian bantuan kepada penduduk Palestin seperti mana yang dijanjikan mereka semasa persidangan Kaherah enam bulan lalu.
Menurut laporan oleh gabungan NGO itu, kebanyakan wang bantuan masih disekat dan pembangunan semula Genting Gaza yang terjejas teruk akibat serangan Israel tahun lalu dilihat berlangsung agak perlahan.
Gabungan NGO itu terdiri daripada Persatuan Agensi-Agensi Pembangunan Antarabangsa (AIDA), CARE International, Oxfam, Save the Children, dan Majlis Pelarian Norway.
Malah laporan NGO itu turut mengecam masyarakat antarabangsa kerana gagal menamatkan kepungan di wilayah Palestin oleh rejim Zionis terutamanya bagi mengaturkan satu gencatan senjata berpanjangan dengan Israel.
“Sekiranya kita tidak menangani isu-isu utama ini, situasi di Gaza hanya akan terus buruk.
“Tanpa kestabilan ekonomi, sosial, dan politik, konflik di wilayah itu akan berulang dan kitaran kerosakan dan penderma yang membiayai semula pembangunan semula di Gaza tidak dapat dielakkan,’’ kata laporan gabungan iwtu.
Laporan itu dibuat enam bulan selepas peserta dalam persidangan negara penderma di Kaherah berikrar untuk memberi bantuan sebanyak AS$5.4 bilion (RM20 bilion) untuk Gaza, yang musnah akibat serangan Israel 50 hari yang mengorbankan 2,200 penduduk Palestin.
“Enam bulan kemudian, pembangunan dan pemulihan semula Gaza hampir tidak bermula.
“Penderma perlu jelas tentang janji yang dibuat dalam persidangan di Kaherah itu dan terus bergerak bagi membantu pembinaan semula dan projek pemulihan Gaza,’’ jelas laporan itu.
Menurut laporan itu, serangan Israel mengakibatkan sebanyak 12,400 buah rumah musnah dan lebih 160,000 rumah rosak. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/bantuan-kewangan-gaza-belum-diterima-1.80694#sthash.INyuL5Ih.dpuf

Monday, 13 April 2015

Warga Palestin bersatu pertahan Yarmouk


Warga Palestin bersatu pertahan Yarmouk
Seorang pejuang Palestin mengambil kedudukan di sebuah pos kawalan di kem pelarian Yarmouk.
DAMSYIK - SYRIA. Warga Palestin di Syria bergabung tenaga dengan puak bersenjata dalam usaha mempertahankan kem pelarian Yarmouk selepas kumpulan militan IS menguasai sebahagian besar kawasan itu.

Difahamkan, pelarian Palestin dari beberapa kem di Syria menyerbu ibu pejabat kumpulan Fatah al-Intifada untuk menawarkan diri memerangi IS.

Wakil kumpulan terbabit, Tayseer Mousa berkata, sukarelawan turut membantu mereka membina halangan.

IS menyerbu kem pelarian yang menempatkan kira-kira 18,000 pelarian Palestin dan warga Syria itu, pada 1 April lalu.

Kelmarin, Ketua Agensi Bantuan dan Pemulihan PBB (UNRWA), Pierre Krahenbuhl mengumumkan pihaknya bakal ke Syria bagi membincangkan bantuan kepada orang awam yang terperangkap di kem tersebut.

Difahamkan, terdapat kira-kira 3,500 kanak-kanak masih terperangkap di situ.

Dalam pada itu, ketua delegasi Palestin di PBB, Riyad Mansour merayu bantuan antarabangsa dalam apa jua bentuk untuk menjamin keselamatan di laluan pemindahan pelarian Yarmouk. - Press TV

Sunday, 12 April 2015

Tentera Israel mengganas


Tentera Israel mengganas
Pertempuran tercetus antara tentera rejim Zionis dan penduduk Palestin yang membantah projek pembinaan Tembok Pemisah di Tebing Barat.
RAMALLAH - PALESTIN. Sekurang-kurangnya 12 penduduk Palestin cedera selepas tentera rejim Zionis bertindak ganas menyerang kumpulan penunjuk perasaan di wilayah Tebing Barat.

Kelmarin, puluhan penduduk Palestin menyertai protes di kem pelarian al-Jalazoun sebagai membantah projek pembinaan tembok pemisah di sepanjang Tebing Barat.

Keganasan tercetus selepas pihak berkuasa Israel melepaskan tembakan peluru hidup dan getah ke arah kumpulan protes tersebut.

Dalam insiden berasingan, satu lagi kekecohan berlaku selepas tentera rejim Zionis bertempur dengan penduduk Palestin yang menghadiri majlis pengebumian bekas tahanan, Jaafar Ibrahim Awad di bandar Beit Ummar.

Pihak berkuasa Israel bertindak melepaskan tembakan dan gas pemedih mata untuk menyuraikan kumpulan penunjuk perasaan tersebut hingga menyebabkan seorang ahli keluarga Jaafar terbunuh manakala beberapa lagi cedera dalam kejadian itu.

Sementara itu, Pejabat Hak Asasi Manusia PBB menyuarakan kebimbangan terhadap penahanan pentadbiran yang dikenakan ke atas tahanan Palestin di penjara Israel.

"Penahanan tanpa dakwaan atau perbicaraan melanggar Konvensyen Geneva Ke-4 kerana Israel sewenang-wenangnya memindahkan tahanan ke penjara di luar wilayah Palestin," jelas jurucakapnya, Ravina Shamdasani. - Press TV

Saturday, 11 April 2015

Budak warga Israel maut terperangkap dalam tandas


Bangkok: Seorang budak perempuan warga Israel berusia 12 tahun yang dilaporkan hilang selepas kebakaran memusnahkan sebuah feri yang padat dengan pelancong di selatan Thailand ditemui mati, kata polis semalam.
Mayat mangsa dijumpai terperangkap di dalam tandas oleh sekumpulan penyelam.
Mangsa ditemui sehari selepas lebih 100 pelancong asing terjun ke dalam Laut Andaman bagi menyelamatkan diri selepas feri yang dinaiki mereka dari Krabi menuju ke Phuket terbakar kelmarin.
“Penyelam menjumpai mayat mangsa di dalam tandas di belakang feri berkenaan kira-kira jam 11 pagi,” kata jurucakap polis, Decha Butnampetch.
Ujarnya, kanak-kanak itu adalah satu-satunya penumpang yang maut dalam kejadian berkenaan dan keluarganya sudah dimaklumkan.
Pada mulanya polis memberitahu bahawa semua penumpang feri berkenaan terselamat sebelum mangsa dilaporkan hilang.
Usaha mencari dan menyelamat dihentikan kelmarin akibat arus deras serta cuaca gelap sebelum disambung semula awal pagi semalam.
Feri berkenaan membawa pelancong asing dari Britain, Switzerland, Amerika Syarikat dan China.
Kemalangan membabitkan pengangkutan awam seperti bas dan feri sering berlaku di Thailand akibat standard keselamatan yang lemah.
Feri atau bot pelancongan juga sering karam akibat sikap tamak operator yang mahu mengaut keuntungan dengan membawa penumpang berlebihan ketika kemuncak musim pelancongan.
Pada 2013, tiga pelancong asing antara enam yang maut selepas feri yang sarat dengan penumpang karam berhampiran pusat pelancongan Pattaya. - AFP
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/42764#sthash.Nst1cUs8.dpuf

Zoo Gaza jual haiwan sebab tak mampu tanggung kos


Zoo Gaza jual haiwan sebab tak mampu tanggung kos
RAFAH - PALESTIN. Konflik di Palestin menyebabkan sebuah zoo di Rafah menjual sepasang anak singa jantan dan betina kepada sebuah keluarga pelarian di kem Al-Shabura.

Menurut Metro.uk, Saad al-Jamaal merancang untuk membela dan membiakkan pasangan anak singa itu dan membina sebuah zoo untuk orang ramai.

"Mereka tinggal di dalam rumah seperti manusia. Mereka makan dan minum dalam sebuah bilik dan mereka juga ada katil mereka sendiri," kata Saad merujuk kepada pasangan anak singa berkenaan.

"Sudah tentu mereka akan dipindahkan ke dalam ruang yang lebih besar dan dikurung dalam sangkar apabila mereka menjadi semakin besar nanti," tambahnya.

Pemilik zoo, Mohammad Juma memberitahu, jumlah haiwan yang banyak, keadaan ekonomi yang tak menentu, tidak berduit dan kekurangan makanan memaksa beliau menjual haiwan untuk menyelamatkan mereka.

Kebanyakan haiwan di zoo Gaza sudah dipindahkan ke sebuah kawasan terpencil.

PLO enggan sertai Syria perangi IS


Sebahagian penduduk Palestin di luar ibu pejabat PLO di Ramallah,
Sebahagian penduduk Palestin di luar ibu pejabat PLO di Ramallah, Tebing Barat, melaungkan slogan solidariti menyokong pelarian Palestin yang terkepung di kem pelarian Yarmuk, Syria, kelmarin. AFP
RAMALLAH 10 April – Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) semalam menolak untuk menyertai operasi ketenteraan bersama tentera Syria bagi memerangi kumpulan militan Negara Islam (IS) yang menawan kem pelarian Yarmuk di luar Damsyik, sekali gus menarik balik kenyataan awal anggotanya yang menyokong operasi tersebut.
IS merampas kawalan hampir keseluruhan kem Yarmuk sejak beberapa hari lalu selepas menewaskan kumpulan militia yang menyokong Presiden Syria, Bashar al-Assad.
“Kami enggan terbabit dalam sebarang kempen bersenjata tanpa mengira apa puncanya dan kami mahu cara lain diambil bagi mengelak pertumpahan darah, selain menghalang lebih banyak kemusnahan dan kehilangan tempat tinggal,’’ kata PLO dalam satu kenya­taan yang dikeluarkan di Ramallah.
Terdahulu, anggota jawatankuasa eksekutif yang dihantar ke Damsyik oleh PLO untuk membincangkan krisis tersebut, Ahmad Majdalani berkata, beliau menyokong sera­ngan tentera Syria untuk mengambil balik kawalan kem tersebut.
Kelmarin, sebanyak 14 sayap pergerakan Palestin yang mengadakan pertemuan di Damsyik, men­yatakan sokongan untuk menyertai operasi ketenteraan dengan kerajaan Syria bagi memerangi IS.
Dalam pada itu, Setiausaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon melahirkan kebimbangan berhubung ke­se­lamatan kira-kira 18,000 penduduk Palestin yang masih terperangkap di kem pelarian tersebut.
Beliau menggesa tindakan diambil bagi menghalang pembunuhan penduduk di kem tersebut.
“Kita tidak boleh hanya berdiam diri dan menyaksikan pembunuhan besar-besaran berlaku,’’ katanya di New York. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/plo-enggan-sertai-syria-perangi-is-1.79776#sthash.koSezdYh.dpuf

Thursday, 9 April 2015

Warga Palestin maut tikam askar Israel

Baitulmuqadis: Seorang warga Palestin menikam dua askar Israel di luar sebuah penempatan di Tebing Barat semalam sebelum seorang daripada tentera itu menembak mati penyerang berkenaan.
Menurut tentera Israel, seorang askarnya cedera parah selepas ditikam di leher sementara seorang lagi cedera ringan sebelum dia menembak mati lelaki Palestin itu.
Serangan seumpama itu meningkat di Tebing Barat dan Baitulmaqdis menjelang akhir tahun lalu tetapi ia berkurangan hingga perayaan besar Yahudi di kedua-dua kawasan itu berlangsung tanpa sebarang keganasan.
Rakyat Palestin menuntut Tebing Barat yang ditawan Israel dari Jordan pada Perang 1967 sebagai sebahagian negara mereka dan membantah kehadiran penduduk Israel di situ.
Penduduk Palestin militan sering menyasarkan askar dan pendatang haram Yahudi di situ, menyerang mereka dengan senjata api, pisau dan juga batu. - AP
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2015 @ 7:17 AM


TENTERA dan polis Israel memeriksa mayat lelaki Palestin yang ditembak mati.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/42466#sthash.xAR3VB6G.dpuf

Syria tawar senjata kepada Palestin


Timbalan Menteri Luar Syria, Faisal Meqdad (tiga dari kanan) mengadakan
TIMBALAN Menteri Luar Syria, Faisal Meqdad (tiga dari kanan) mengadakan pertemuan dengan delegasi PLO yang diketuai Ahmad Majdalani (tiga dari kiri) di Damsyik, kelmarin. AFP

DAMSYIK 8 April – Kerajaan Syria cuba meraih sokongan baharu apabila menawarkan bantuan senjata kepada kumpulan Palestin yang berlindung di kem pelarian di negara ini untuk memerangi ancaman militan Negara Islam (IS).
Tawaran itu dikemukakan apabila Timbalan Menteri Luar Syria, Faisal Meqdad mengadakan pertemuan dengan delegasi dari Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) yang diketuai oleh Ahmad Majdalani di Dasmyik.
Menurut Faisal, kerajaan Syria dan PLO mempunyai tekad yang sama untuk memerangi keganasan militan IS yang kini menular di kem pelarian Palestin di negara ini terutamanya di Yarmuk.
“Selain itu, kerajaan telah menggunakan segala usaha bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan dan perubatan kepada pelarian Pa­lestin selepas mengeluarkan mereka dari kem Yarmuk dengan selamat.
“Pihak berkuasa Syria juga sedia menyokong pejuang Palestin de­ngan cara tertentu termasuk kekuatan tentera bagi mengusir militan IS dari kem terbabit,” jelasnya.
Mengulas tentang pertemuan dengan Faisal, Ahmad berkata, kedua-dua pihak bersetuju tentang keperluan satu pasukan bersekutu melibatkan pejuang Palestin dan kerajaan Syria.
Jelasnya, kerjasama pe­mimpin Syria dan Palestin akan diteruskan bagi memastikan keganasan militan IS dapat dihentikan di Yarmuk.
Satu pertemuan membabitkan kumpulan Palestin di Syria berlangsung hari ini bagi membincangkan perkara itu dengan lebih lanjut.
Sebarang persetujuan yang dicapai bakal memulihkan hubungan Damsyik dan kumpulan Palestin di Yarmuk selepas pertempuran sengit yang tercetus di kawasan itu sejak hujung 2012 membabitkan tentera kerajaan dan kumpulan penentang kerajaan yang disokong pejuang Palestin.– AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/syria-tawar-senjata-kepada-palestin-1.79025#sthash.GztgklxW.dpuf

Wednesday, 8 April 2015

Penggodam serang laman sesawang Israel


Baitulmaqdis: Penggodam pro-Palestin semalam menyerang laman sesawang Israel berikutan ancaman daripada kumpulan penggodam Anonymous yang berkata mereka akan melakukan ‘Holokos elektronik.’
Bagaimanapun, pakar siber Israel berkata, serangan yang dilancarkan serentak itu hanya memberi kesan sedikit saja.
Kempen menggodam berkenaan yang berlaku setiap 7 April sejak 2013 bertujuan membantah dasar Israel terhadap rakyat Palestin.
Pada 2013, penggodam itu melancarkan serangan pertama yang dinamakan OpIsrael, sehari sebelum hari memperingati Holokos.
Pasukan Kecemasan Komputer Israel, sebuah kumpulan keselamatan siber awam berkata, Anonymous semalam menyerang beberapa puluh laman sesawang milik pemuzik Israel dan pertubuhan kebajikan.
Anonymous sebelum ini berikrar memusnahkan laman sesawang kerajaan, bank dan institusi awam Israel.
Bagaimanapun, tidak ada gangguan teruk dilaporkan.
Penggodam itu menggantikan laman utama laman sesawang berkenaan dengan gambar kawasan suci umat Islam di Baitulmaqdis dan militan memegang bendera Negara Islam serta memuatnaik mesej yang ditandangani oleh ‘AnonGhost.’
“Kami akan sentiasa berada di sini untuk menghukum kamu! Kami ialah suara Palestin dan tidak akan berdiam diri!” bunyi mesej berkenaan. - Reuters
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/42225#sthash.B3u84T42.dpuf

Palestin mahu kemuka dokumen baharu


Palestin mahu kemuka dokumen baharu
Mahmoud (kanan) bersama Riyad ketika menerima salinan Statut Rom yang merupakan asas perjanjian ICC pada minggu lalu.
RAMALLAH - PALESTIN. Pihak Berkuasa Palestin (PA) mahu mengemukakan dokumen baharu kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk mempercepatkan siasatan awal ke atas jenayah perang yang dilakukan Israel.
Menteri Hal Ehwal Luar, Riyad al-Maliki memberitahu mereka turut menghubungi pejabat pendakwa raya ICC, Fatou Bensouda berhubung prosedur yang perlu diambil untuk mengambil langkah tersebut.

"Siasatan tersebut tidak hanya memfokuskan serangan yang dilancarkan rejim Zionis pada Julai lalu malah ICC akan meneliti segala aspek jenayah perang atau jenayah kemanusiaan yang dilakukan oleh mereka selama ini," jelasnya.

Menurutnya lagi, PA telah mengadakan rundingan dengan Rusia dan China yang merupakan anggota tetap Majlis Keselamatan PBB untuk memastikan siasatan ke atas Israel berjalan lancar serta tidak lagi ditangguhkan.

Pada Februari lalu, Presiden Mahmoud Abbas mengeluarkan dekri menuntut penubuhan jawatankuasa baharu yang akan memantau perjalanan proses untuk mengheret Israel ke muka pengadilan. - Press TV

PBB bantu pelarian Yarmuk


SEORANG lelaki melalui sebuah bangunan yang telah musnah di kem pelarian Yarmuk kelmarin.


NEW YORK – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam memberitahu, pihaknya akan melihat bagaimana boleh membantu sebahagian 18,000 pelarian Palestin dan rakyat Syria di Kem Yarmuk yang kini dikuasai oleh kumpulan militan Negara Islam (IS).
Salah seorang pegawai tertinggi PBB mencadangkan langkah memindahkan pelarian di kem tersebut perlu dilaksanakan secepat mungkin.
Ketua Agensi Bantuan dan Pemulihan PBB (UNRWA), Pierre Krahenbuhl telah memberi taklimat kepada Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon dan 15 ahli majlis PBB mengenai situasi di Kem Yarmuk di pinggir Damsyik yang terletak kira-kira lima kilometer dari istana Presiden Syria, Bashar al-Assad.
“Apa yang paling dibimbangi pelarian di Yarmuk sekarang ialah kehidupan yang terdedah kepada ancaman. Ia sangat mudah kerana berkait dengan isu keselamatan,” kata Krahenbuhl kepada pemberita melalui pautan video dari Jordan.
IS telah menguasai hampir keseluruhan Yarmuk, manakala tentera Syria pula mengelilingi daerah itu, menurut Badan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria.
Krahenbuhl berkata, negara yang mempunyai pengaruh ke atas pihak yang bertelagah perlu memberi perlindungan kepada orang awam dan menggesa PBB mencari satu langkah bagi memudahkan pemindahan pelarian secara teratur dan selamat.
Sementara itu, Majlis Keselamatan PBB dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akan meneliti langkah seterusnya yang boleh diambil dalam usaha memberi bantuan dan perlindungan yang diperlukan.
Yarmouk kini telah menjadi medan pertempuran termasuklah serangan di darat dan udara antara IS, tentera Syria dan pejuang Palestin.
PBB memberitahu, seramai 94 orang awam telah dibawa keluar dari Yarmuk, namun kira-kira 3,500 kanak-kanak lagi masih terperangkap di situ.
Dalam pada itu, ketua delegasi Palestin di PBB, Riyad Mansour merayu bantuan antarabangsa dalam apa jua bentuk untuk menjamin keselamatan di laluan pemindahan pelarian Yarmuk.
Yarmuk kini menjadi rumah kepada lebih setengah juta rakyat Palestin sebelum konflik di Syria bermula pada 2011. Perang saudara di Syria pula telah membunuh lebih 220,000 orang dan menyebabkan jutaan rakyatnya kehilangan tempat tinggal. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0408&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3WfeqWzAB 
Hakcipta terpelihara 

Tuesday, 7 April 2015

IS sasar pelarian Palestin

Beirut: Sebuah kem pelarian Palestin di Damsyik terus menjadi sasaran serangan militan Negara Islam semalam, kejadian yang diselar sebagai tidak berperikemanusiaan oleh pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Aktivis Hatem al-Dimashqi yang berpangkalan di selatan Damsyik berkata, kem Yarmouk diserang semalam. Hatem dan Badan Pemerhati Hak Asasi Syria (SOHR) berkata, tentera kerajaan Syria turut melepaskan bom tong di kem itu sejak Ahad.
Militan Negara Islam (IS) menyerbu kem itu Rabu lalu. Pihak berkuasa Palestin dan aktivis Syria berkata IS turut bekerjasama dengan Barisan al-Nusra.
Dua kumpulan itu sebelum ini bersaing, namun nampaknya bekerjasama dalam serangan ke atas Yarmouk.
Barisan al-Nusra dalam satu kenyataan berkata, ia berkecuali berhubung isu kem itu.
Sementara itu, jurucakap Agensi Bantuan dan Pekerjaan bagi pelarian Palestin (UNRWA) Chris Gunness berkata, sehingga lewat kelmarin pihaknya tidak dapat menghantar makanan atau konvoi ke kem berkenaan sejak pertempuran bermula.
“Mereka di kem itu tiada makanan, air dan kekurangan bekalan ubat.
“Keadaan di kem itu terlalu menyedihkan, orang ramai terpaksa berlindung di dalam rumah sementara pertempuran berlaku di jalanan.
“Keadaan tidak berperikemanusiaan ini mesti dihentikan dan orang awam dipindahkan,” katanya.
Menurutnya, 93 orang sudah dipindahkan dari kem itu setakat ini.
PBB berkata, kira-kira 18,000 orang awam termasuk sebahagian besarnya kanak-kanak kini terperangkap di Yarmouk.
Kem itu dikepung tentera kerajaan sejak dua tahun lalu dan penduduknya diselubungi kebuluran serta penyakit.
Kem terbabit turut melihat pertempuran sengit antara tentera kerajaan dan militan.
“Keadaan sudah sedia teruk namun semakin buruk selepas pertempuran mula memasuki kem,” kata Gunness. - AP
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2015 @ 7:05 AM


KEMUSNAHAN yang berlaku di kem pelarian Palestin Yarmouk, berhampiran Damsyik selepas diserang oleh militan IS sejak beberapa hari lalu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/41958#sthash.ha9ElhcP.dpuf

Israel berasa terancam


Israel berasa terancam
Ketua Dasar Luar EU, Federica Mogherini (kiri) bersama Menteri Luar Iran, Javad Zarif bercakap ketika sidang media di Lausanne. Foto: AFP
TEL AVIV - ISRAEL. Rejim Israel didakwa berasa terancam selepas rundingan nuklear Iran bersama negara P5+1 (China, Perancis, Rusia, Britain, Amerika Syarikat (AS) dan Jerman) di Switzerland akhirnya mencapai persetujuan bersejarah selepas ia tertangguh selama hampir 12 tahun.

Menurut laporan Press TV, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu mendakwa rangka kerja tersebut kononnya akan mengancam Israel dan beliau turut menggunakan retorik agresif ketika menghubungi Presiden AS, Barack Obama.

Bagaimanapun, Obama menolak kenyataan beliau dan menyifatkan persetujuan tersebut yang dicapai selepas lapan hari berunding adalah satu penyelesaian komprehensif.

Di bawah rangka kerja itu, Teheran dilaporkan bersetuju  menghentikan program nuklear mereka bagi membolehkan sekatan ke atas ekonomi negara terbabit ditarik balik.

Palestin bertegas kepada Israel


Mahmoud Abbas
Mahmoud berucap ketika majlis perasmian sebuah acara di Ramallah, kelmarin.
RAMALLAH - PALESTIN. Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, kelmarin mendakwa Israel hanya memindahkan sebahagian daripada hasil cukai kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA).

"Tel Aviv telah menolak sebahagian hasil cukai tersebut untuk membayar hutang Palestin kepada syarikat utiliti mereka.

"Kami akan memulangkan wang tersebut kerana jumlahnya tidak mencukupi. Israel mempunyai dua pilihan sama ada mengembalikan kesemua wang tersebut atau perkara ini akan dikemukakan kepada timbang tara atau ICC," tegas Mahmoud.

Pada Disember lalu, Tel Aviv bertindak membekukan hasil cukai berjumlah kira-kira AS$130 juta (RM472 juta) selepas Palestin mengumumkan rancangan mereka untuk menyertai Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang dimuktamadkan pada 1 April lalu.
Bagaimanapun, Israel akhirnya akur dengan gesaan negara antarabangsa supaya menyambung semula pemindahan hasil cukai bernilai AS$400 juta (RM1.4 bilion) pada minggu lalu.

Sementara itu, jurucakap Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu memberitahu jumlah yang ditolak itu kononnya untuk menampung bayaran hutang bekalan kuasa elektrik, air dan bil kesihatan.

"Kami bersetuju untuk memindahkan semula kesemua wang seperti yang dituntut oleh PA," katanya.

Pada Februari lalu, Israel bertindak memotong bekalan kuasa elektrik ke beberapa bandar di Tebing Barat untuk memberi tekanan kepada kerajaan Palestin supaya membayar hutang berjumlah AS$492 juta (RM1.8 bilion) kepada mereka. - Reuters

Israel tahan Ahli Parlimen wanita

Khalida Jarrar
Khalida Jarrar


BAITULMAQDIS 6 April – Seorang Ahli Parlimen wanita Palestin, dikenakan hukuman penjara selama enam bulan oleh Israel, tanpa sebarang dakwaan dan perbicaraan.
Laman web The Electronic Intifada memetik kenyataan pertubuhan hak asasi manusia Addameer sebagai berkata, Khalida Jarrar yang ditahan oleh rejim Zionis pada 2 April lalu di rumahnya di Ramallah telah dijatuhi hukuman ‘perintah tahanan pentadbiran’.
Peguam kumpulan berkenaan Mahmoud Hassan yang melawat Khalida memberitahu, ahli Parlimen itu mengalami masalah kesihatan kronik yang memerlukannya mengambil ubat-ubatan mengikut jadual selain sangat memerlukan ‘penyeliaan perubatan berterusan’.
Khalida akan dihadapkan ke Tribunal Tentera Israel, Rabu ini bagi mengesahkan hukuman penahanan tanpa sebarang dakwaan dan perbicaraan yang dihadapinya.
Beliau merupakan seorang daripada 15 Ahli Parlimen Palestin serta 23 tahanan politik wanita yang kini berada dalam tahanan Israel.
Khalida adalah anggota politik terkenal Palestin dari Parti Popular Barisan Liberalisme dan sering terlibat dalam isu-isu berkaitan banduan dan tahanan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/israel-tahan-ahli-parlimen-wanita-1.78146#sthash.UFJ3Pm76.dpuf

Monday, 6 April 2015

PM Israel kecam perjanjian nuklear


BAITULMAQDIS 6 April - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu semalam sekali lagi mengecam perjanjian antara Teheran dan kuasa-kuasa dunia dengan menyifatkan sebagai ‘perjanjian buruk’ , yang mengukuhkan tentera Iran sehingga mampu membina infrastuktur nuklear yang lebih besar.
Perkara yang dicapai dalam rundingan di Switzerland, Khamis lalu itu membuka laluan kepada Teheran untuk mengurangkan aktiviti program nuklear sebagai pertukaran pihak barat akan menarik sekatan ekonomi ke atas Iran.
“Langkah itu tidak akan mendorong Iran untuk menghentikan program nuklear,” kata Netanyahu kepada CNN, salah sebuah stesen televisyen yang turut mengecam perjanjian tersebut.
Kerajaan Israel sebelum ini, menunjukkan kemarahan dengan perjanjian bersejarah itu yang bakal dimuktamadkan pada 30 Jun ini apabila Netanyahu menuntut Iran mengiktiraf hak negara Israel untuk dinyatakan dalam perjanjian tersebut. - AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pm-israel-kecam-perjanjian-nuklear-1.77694#sthash.EcCOgIJh.dpuf

Beribu pelarian Palestin terkepung

gambar yang dikeluarkan agensi berita Syria, SANA merakamkan sebahagian
Gambar yang dikeluarkan agensi berita Syria, SANA merakamkan sebahagian penduduk Palestin yang terperangkap di kem pelarian di Yarmuk menunggu kesempatan untuk meninggalkan kem itu ekoran pertempuran antara tentera kerajaan, penentang kerajaan dan kumpulan militan IS dekat Damsyik, kelmarin. AGENSI
DAMSYIK 5 April - Beribu-ribu pelarian Pa­lestin terkepung di kem perlindungan di Yarmuk, Syria ekoran pertempuran antara tentera kerajaan dan kumpulan penentang kerajaan termasuk kumpulan militan Negara Islam (IS) yang menguasai sebahagian besar kem tersebut.
Situasi meruncing itu, sekali gus menyukarkan bantuan kemanusiaan disalurkan kepada pelarian ketika agensi bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan keadaan yang berlaku di kem Yarmuk yang terletak di Damsyik itu sebagai ‘memalukan’.
Menurut laporan Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia bagi Syria, kumpulan militan IS dan kumpulan sayap al-Qaeda, Barisan Al-Nusra menguasai hampir keseluruhan kawasan kem pelarian yang dihuni kira-kira 18,000 orang.
Pengarah pertubuhan itu, Rami Abdel Rahman berkata, situasi di kem Yarmuk semakin rumit kerana terdapat tiga pihak yang bertelagah iaitu tentera kerajaan, Barisan Al-Nusra dan kumpulan militan IS.
“Pejuang Al-Nusra yang me­merangi kerajaan Syria tidak berjuang bersama militan IS, tetapi pada masa yang sama tidak menghalang kemaraan kumpulan militan IS,” katanya.
Sementara itu, ahli jawatan kuasa kerajaan sementara kumpulan pembangkang Syria, Ayman Abu Hashem menyuarakan kebimbangan tentang tindakan kumpulan militan IS membalas dendam terhadap kumpulan pejuang Palestin yang menentang kemaraan mereka, baru-baru ini.
Jelasnya, kumpulan bersenjata Palestin, Aknaf Beif al-Maqdis yang setia kepada pergerakan Hamas di Gaza, telah dikepung oleh militan IS dan kumpulan penentang kerajaan.
“Kem Yarmuk dikepung oleh tentera kerajaan, manakala dari dalamnya, hampir keseluruhan kawasan kem itu dikuasai militan IS,” katanya.
Dalam perkembangan sama, pegawai kerajaan Palestin mendakwa Barisan Al-Nusra membantu kemaraan militan IS di Yarmuk, meski pun kedua-dua kumpulan itu saling bermusuhan, tetapi berkongsi ideo­logi yang hampir sama.
Setakat ini, seramai 18 orang disahkan terbunuh iaitu enam orang awam dan 12 pejuang Palestin sejak pertempuran meletus di kem itu pada Rabu lalu. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/beribu-pelarian-palestin-terkepung-1.77644#sthash.jwp2EfKC.dpuf