Friday, 7 August 2015

Hamas mahu Israel hapus sekatan


AP - SEORANG wanita Palestin membaling gula-gula kepada pejuang bersenjata Hamas semasa majlis graduasi Belia Pembebasan Hamas di Bandar Gaza kelmarin.


BANDAR GAZA – Kumpulan Hamas kelmarin memberi amaran akan kembali melancarkan serangan melainkan Israel menarik balik sekatan ke atas Gaza.
Kata dua itu dikeluarkan pada ­majlis tamat latihan ketenteraan untuk 25,000 warga Gaza.
“Hari ini (kelmarin) mesej kami sangat jelas, kami tidak menerima sekatan (Israel),” ujar pemimpin kanan Hamas, Mahmud Zahar. Hamas yang memerintah Genting Gaza telah mengadakan rundingan tidak langsung dengan Israel berkaitan gencatan senjata jangka panjang sebagai balasan untuk menamatkan sekatan sembilan tahun itu.
“Hapuskan sekatan kerana kami tidak akan dapat menghalang pejuang Gaza yang ingin mempertahankan wilayah mereka daripada kumpulan yang telah memusnahkan kediaman dan membunuh anak-anak mereka (Israel),” ujarnya.
Sayap tentera Hamas, Briged Ezzedine al-Qassam memberitahu, para peserta menghabiskan masa dua minggu untuk menjalani latihan ketenteraan dan menembak peluru hidup. Mereka juga belajar teknik menyelamat.
Hamas sebelum ini mengadakan kem musim panas yang menumpukan kepada aktiviti kesukanan dan pengajian al-Quran di Gaza tetapi sepanjang musim sejuk tahun lepas, ia mengadakan latihan ketenteraan kepada remaja berusia 15 hingga 20 tahun.
“Kami akan membesar dan mampu mempertahankan diri dan penduduk kami,” ujar seorang peserta, Moatassem, 15, yang menyertai kem itu supaya dapat mempertahankan Gaza.
Perang selama 50 hari yang bermula pada Julai hingga Ogos 2014 telah membunuh 2,200 warga Pa­lestin dan 73 penduduk Israel. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0807&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3i4yUNckG 
Hakcipta terpelihara 

PBB digesa lindungi penduduk Palestin


Sebahagian kanak-kanak Palestin memegang lilin serta gambar Ali
Sebahagian kanak-kanak Palestin memegang lilin serta gambar Ali Dawabsheh, kanak-kanak berusia 18 bulan yang meninggal dunia selepas rumahnya dibakar penduduk haram Yahudi di Tebing Barat minggu lalu. REUTERS
KAHERAH 6 Ogos – Menteri-menteri luar Liga Arab menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melindungi penduduk Palestin daripada jenayah keganasan yang dilakukan oleh peneroka haram Israel, ketika pergerakan Hamas memberi amaran keganasan baharu akan berlaku selagi rejim Zionis tidak membatalkan sekatan terhadap Genting Gaza.
Gesaan daripada 15 menteri luar itu dinyatakan semalam susulan kematian seorang kanak-kanak Pa­lestin berusia 18 bulan yang dibakar hidup-hidup dalam tindakan dipercayai dilakukan oleh pelampau Yahudi, Jumaat lalu.
“Wakil negara Arab yang berada di PBB perlu bertindak dengan menghantar draf resolusi kepada Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) berhubung jenayah yang dilakukan oleh peneroka Israel terhadap penduduk Palestin.
“Kita perlu fikirkan tentang bagaimana untuk memberi perlindungan peringkat antarabangsa kepada penduduk terbabit kerana keputusan hanya boleh dibuat oleh UNSC,” kata Ketua Liga Arab, Nabil al-Araby.
Menteri-menteri Luar Liga Arab dalam kenyataan berkata, mereka sudah mencapai persetujuan untuk menghantar draf resolusi kepada UNSC.
Dalam perkembangan ini, Hamas memberi amaran lebih banyak ancaman baharu akan dilakukan ke atas Israel jika mereka berterusan mengenakan sekatan terhadap Gaza.
Seorang pemimpin pergerakan Hamas, Mahmud Zahar berkata, sekatan yang sudah berlanjutan selama sembilan tahun perlu ditamatkan segera.
“Mesej kami kepada peneroka haram amat jelas iaitu kami tidak boleh menerima sekatan yang dilakukan. Tamatkan sekatan kerana kami tidak lagi mampu menghalang penduduk Palestin yang berang jika mereka mahu mengambil tindakan terhadap pendatang haram yang membakar rumah dan membunuh anak-anak mereka,” ujarnya lagi.
– AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pbb-digesa-lindungi-penduduk-palestin-1.121425#sthash.ZW4tehFz.dpuf

Tahanan Palestin di penjara Israel lancar mogok lapar


Seramai 120 tahanan di beberapa penjara Israel melancarkan mogok
Seramai 120 tahanan di beberapa penjara Israel melancarkan mogok lapar sebagai bantahan kepada layanan buruk yang mereka terima. AGENSI
RAMALLAH 6 Ogos – Kira-kira 120 tahanan Palestin di beberapa buah penjara di Israel melancarkan mogok lapar, hari ini, demikian menurut Pertubuhan Palestin bagi Hal Ehwal Banduan.
Agensi berita Xinhua melaporkan pertubuhan itu yang merupakan agensi di bawah Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dalam satu kenyataan yang dihantar melalui e-mel kepada media berkata, semua tahanan itu melancarkan mogok lapar sebagai bantahan terhadap layanan buruk yang diterima.
“Tahanan meminta Israel menghentikan tindakan kejam seperti memecah masuk ke bilik tahanan mereka dan menjalankan pemeriksaan mengejut,” jelas kenyataan itu.
Tahanan juga meminta pihak penjara Israel menghentikan tindakan memindahkan mereka dari satu penjara ke penjara yang lain, selain memukul tahanan ketika membawa mereka keluar dari sel.
Sementara itu, Pengerusi pertubuhan itu, Eassa Qaraqe’e memberitahu Xinhua bahawa pihak penjara Israel, baru-baru ini bertindak memukul berpuluh-puluh tahanan Palestin di beberapa buah penjara, lokap dan kem tahanan.
“Tahanan memulakan mogok lapar hari ini berikutan keadaan di penjara yang semakin tegang apabila Israel mengetatkan langkah-langkah keselamatan yang menghalang keluarga melawat mereka setiap minggu,’’ ujarnya.
Berpuluh-puluh ahli keluarga tahanan dan wakil pelbagai organisasi, mengadakan demonstrasi di Gaza hari ini sehingga mendorong Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) menggesa Israel menghentikan tindakan yang tidak berperikemanusiaan itu.
Jurucakap pergerakan Hamas di Gaza, Mo’een Shadid berkata, tahanan Palestin kini berdepan ‘layanan buruk’ di penjara-penjara Israel.
Pada masa ini, terdapat kira-kira 7,000 banduan Palestin di beberapa penjara Israel dengan berpuluh-puluh daripada mereka telah ditahan lebih 20 tahun.
– BERNAMA
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/tahanan-palestin-di-penjara-israel-lancar-mogok-lapar-1.121436#sthash.LxDPAiLu.dpuf

Thursday, 6 August 2015

Obama beri amaran serangan roket ke atas Tel Aviv


BAITULMAQDIS 5 Ogos – Presiden, Barack Obama didakwa memberitahu seorang pemimpin Yahudi Amerika Syarikat (AS), serangan roket berkemungkinan dilancarkan ke Tel Aviv jika perjanjian nuklear bersama Iran dihalang atau berlaku tindakan ketenteraan.
Barack Obama
Greg Rosenbaum salah seorang daripada 20 pemimpin Yahudi yang mengadakan pertemuan dengan Obama di White House semalam berkata, Presiden Amerika Syarikat (AS) itu memberitahu mereka bahawa tiada guna mengambil tindakan ketenteraan ke atas kemudahan nuklear Iran jika perjanjian antara Teheran dengan kuasa-kuasa dunia tidak dicapai.
“Tindakan ketenteraan terhadap kemudahan nuklear Iran tidak akan mengubah keputusan Iran untuk menyerang AS.
“Kamu akan melihat lebih banyak pengganas menyokong mereka. Kamu juga akan melihat pergerakan Hezbollah melancarkan roket ke arah Tel Aviv, Itu yang beliau kata jika AS lancarkan serangan terhadap Iran,” jelas Rosenbaum.
Kaji selidik yang dijalankan ke atas penduduk Yahudi AS mendapati, mereka mempunyai pendapat yang berbeza-beza tentang perjanjian berkenaan yang disifatkan boleh merenggang hubungan Washington dan Tel Aviv.
Parti Republikan yang menguasai Dewan Perwakilan akan mengundi sama ada untuk menolak atau menerima perjanjian nuklear Iran pada September ini.
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengulangi pendiriannya bahawa perjanjian nuklear itu tidak cukup untuk menghalang projek nuklear Iran yang kemungkinan bertujuan membina bom berbahaya.
“Saya menentang perjanjian tersebut kerana saya mahu menghalang berlakunya peperangan. Bagi saya perjanjian ini akan membawa kepada peperangan,” dakwa Netanyahu.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/obama-beri-amaran-serangan-roket-ke-atas-tel-aviv-1.120964#sthash.OY3ZteCp.dpuf

Monday, 3 August 2015

Palestin kemuka aduan ke ICC


Penduduk Palestin membawa jenazah Ali Dawabsheh untuk dikebumikan
Penduduk Palestin membawa jenazah Ali Dawabsheh untuk dikebumikan di Kampung Duma, bandar Nablus, Tebing Barat, Jumaat lalu. AGENSI
RAMALLAH 2 Ogos – Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) akan mengemukakan aduan kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berhubung kematian seorang bayi berusia 18 bulan di Tebing Barat akibat tindakan ganas pendatang haram Yahudi, dan mahu Israel bertanggungjawab sepenuhnya terhadap insiden tragis itu.
Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dalam kenyataannya berkata, beliau telah mengarahkan Menteri Luarnya untuk mengemukakan aduan kepada ICC di The Hague, bagi menuntut keadilan sepenuhnya.
Jelas beliau, kejadian itu berlaku disebabkan tindakan rejim Zionis menggalakkan pembinaan penempatan haram Yahudi di wilayah Palestin, sekali gus memberi ‘lampu hijau’ kepada mereka untuk menyerang penduduk Palestin di Tebing Barat.
“Kami mahukan keadilan bagi keluarga mangsa, tetapi saya meragui Israel bersedia mengheret pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.
“Insiden ini merupakan jenayah perang dan satu tragedi buat semua penduduk Palestin,” kata beliau seperti dilaporkan rangkaian berita Al Jazeera.
Jumaat lalu, Ali Saad Dawabsheh, 18 bulan, terbunuh apabila rumahnya dibakar oleh pendatang haram Yahudi, sementara abangnya, 4, serta ibu bapanya melecur teruk.
Susulan kejadian itu, ratusan belia Palestin mengadakan tunjuk perasaan dan bertempur dengan pihak keselamatan Israel, menyebabkan seorang remaja maut akibat ditembak dengan peluru hidup.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sekurang-kurangnya 120 serangan dilakukan oleh pendatang haram Yahudi terhadap penduduk Palestin sejak awal tahun ini, tetapi tiada tindakan tegas diambil oleh Israel bagi mengekang kejadian itu.
Berdasarkan laporan pertubuhan hak asasi manusia Israel, Yesh Din, lebih 92.6 peratus aduan oleh penduduk Palestin telah dikemukakan kepada polis Israel, tetapi tiada individu ditahan setakat ini.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/palestin-kemuka-aduan-ke-icc-1.119816#sthash.lFwHULNw.dpuf

Sunday, 2 August 2015

Palestin bawa kes ke UNSC, ICC

Palestin bawa kes ke UNSC, ICC
Jenazah bayi 18 bulan yang menjadi mangsa kekejaman peneroka haram Yahudi diarak penduduk Palestin sebelum dikebumikan di Nablus, kelmarin.
TEBING BARAT - PALESTIN. Pihak Berkuasa Palestin (PA) berkata, mereka tidak bertolak ansur dan akan membawa kes serangan ganas peneroka haram Yahudi terhadap rakyat Palestin ke Majlis Keselamatan PBB (UNSC).

Dalam kejadian kelmarin, seorang bayi rentung dan empat ahli keluarganya cedera selepas kediaman mereka di kampung Duma dekat Nablus dibakar.

Serangan ganas itu berlaku dua hari selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu meluluskan pembinaan 300 kediaman baharu peneroka haram Yahudi di Tebing Barat.

"Saya telah mengarahkan Menteri Luar, Riyad al-Maliki untuk memfailkan tuntutan mahkamah di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC). "Kami mahukan keadilan, tapi saya ragu-ragu bahawa Israel akan memberi kerjasama penuh," kata Presiden Palestin, Mahmoud Abbas berhubung serangan terbabit.

Menurut beberapa pegawai keselamatan Palestin, seramai empat penyerang dipercayai peneroka haram Yahudi membakar rumah berkenaan ketika penghuninya sedang tidur.

Mereka turut menconteng dinding sebelum melarikan diri ke penempatan haram Yahudi berdekatan. - Al-Jazeera

Saturday, 1 August 2015

Bayi 18 bulan dibakar hingga mati

Bayi 18 bulan dibakar hingga mati
Penduduk melihat kemusnahan rumah mereka yang dibakar penduduk Yahudi di Tebing Barat. Foto: AFP

Bapa bayi malang berkenaan, Ali Saad Dawabsheh dan seorang lagi anaknya, turut cedera dalam serangan itu.
Menurut pasukan perubatan di hospital Rafidia, badan bayi tersebut melecur hampir 75 peratus lapor Al Jazeera.
Jurucakap Presiden Palestin Mahmoud Abbas, Nabil Abu Rdeineh berkata, kerajaan Israel bertanggungjawab sepenuhnya di atas jenayah itu kerana terus menyokong aktiviti penempatan haram dan melindungi penceroboh terbabit.
"Dua buah rumah penduduk Palestin dibakar di pintu masuk kampung dan penyerang turut menconteng dinding dalam bahasa Ibrani yang membawa maksud balas dendam serta hidup Messiah.
Sementara itu, pegawai tentera Israel Leftenan Kolonel Peter Lerner dalam satu kenyataan memberitahu, siasatan menyeluruh sedang dijalankan untuk memburu suspek dan mereka yang bertanggungjawab akan dihukum.

Rumah Palestin dibakar Yahudi



REUTERS - SUADARA MARA duduk di disisi jenazah anak kecil berusia 18 bulan yang rentung selepas kediaman keluarganya dibakar dekat Tebing Barat semalam.


NABLUS, Wilayah Palestin – Seorang bayi rentung dan empat ahli keluarganya cedera selepas dua kediaman di Tebing Barat dibakar semalam.
Serangan kejam itu disyaki dilakukan oleh peneroka haram Yahudi.
Menteri Pertahanan Israel, Moshe Yaalon melabel serangan tersebut sebagai perbuatan keganasan.
“Kami tidak akan membenarkan pengganas mengambil nyawa penduduk Palestin,” katanya.
Serangan di kampung Duma, dekat bandar Nablus itu meningkatkan lagi ketegangan antara penduduk Palestin dan peneroka haram Israel. Keganasan itu berlaku dua hari selepas Perdana Menteri Benjamin Netanyahu meluluskan pembinaan 300 kediaman baharu peneroka ha­ram Yahudi di Tebing Barat.
Menurut beberapa pegawai keselamatan Palestin, seramai empat penyerang dipercayai peneroka haram Yahudi membakar sebuah rumah di pintu masuk kampung berkenaan. Mereka turut menconteng dinding sebelum melarikan diri ke penempatan haram Yahudi berdekatan.
Tentera Israel menyatakan, dua kediaman dibakar dan seorang anak kecil serta empat anggota keluarganya maut dalam kejadian itu. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0801&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3hViaXV52 
Hakcipta terpelihara 

Bayi maut dalam serangan kebakaran di Palestin


01 Ogos 2015 1:14 AM


RAMALLAH 31 Julai – Seorang bayi Palestin terbunuh dan beberapa orang cedera apabila rumah mereka terbakar akibat bom api yang dilontarkan kumpulan bertopeng di utara Tebing Barat hari ini.
Pegawai Pihak Berkuasa Palestin, Ghassan Daghlas berkata, kumpulan bertopeng dipercayai pendatang haram Yahudi melontarkan bom mudah terbakar ke arah dua buah rumah di pinggir kampung Doma, selatan Nablus.
Namun, sebuah daripada rumah tersebut tidak berpenghuni.
Ali Dawabsheh, 18 bulan, meninggal dunia, sementara ibu bapa dan abangnya, 4, cedera parah.
Mereka dirawat di Hospital Rafidya di Nablus, jelas sumber perubatan.
Jurucakap Presiden Palestin Mah­moud Abbas, Nabil Abu Rudeineh berkata, contengan yang memaparkan kebencian turut dijumpai di kedua-dua dinding kediaman itu.
“Israel bertanggungjawab sepenuhnya atas pengeboman itu.
“Jenayah seperti ini tidak akan berlaku jika rejim Zionis menghentikan aktiviti penempatan haram dan menyediakan perlindungan,” jelasnya. – DPA
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/bayi-maut-dalam-serangan-kebakaran-di-palestin-1.119219#sthash.m5upmzjG.dpuf

Friday, 31 July 2015

Sekat tahanan Palestin mogok lapar



AFP - SEORANG warga Palestin, Khader Adnan yang melancarkan mogok lapar selama 56 hari dirawat oleh seorang doktor di sebuah hospital Makassed, Baitulmuqaddis Timur pada 15 Julai lalu. Dia dibebaskan pada 12 Julai selepas melancarkan mogok lapar ketika dalam tahanan Isreal.


BAITULMUQADDIS – Parlimen Israel semalam meluluskan satu undang-undang bagi membenarkan banduan yang melancarkan mogok lapar dipaksa untuk makan jika didapati tindakan itu membahayakan kesihatan mereka, kata seorang jurucakap.
Undang-undang yang bertujuan untuk menghalang banduan Palestin melakukan mogok lapar itu pada dasarnya telah diluluskan oleh Kabinet Isreal pada Jun 2014 berikutan mogok lapar yang dilakukan secara besar-besaran menyebabkan berpuluh-puluh orang dimasukkan ke hospital.
Biarpun, undang-undang itu tidak secara khusus menyebut tahanan Palestin, Menteri Keselamatan dalam Negeri, Gilad Erdan yang mengemukakan undang-undang itu berkata, tindakan tersebut perlu kerana pendekatan mogok semasa di dalam penjara menjadi salah satu ancaman kepada Israel.
“Undang-undang dengan sokongan 40 daripada 46 undi itu akan digunakan apabila doktor mengesahkan bahawa tindakan banduan terbabit boleh mendatangkan bahaya kepada kesihatan dan nyawanya,” kata anggota parti Likud, David Amselam.
Bagaimanapun, anggota parti pembangkang mengecam tindakan terbaharu itu dengan menyifatkan undang-undang berkenaan bertujuan menyeksakan lagi banduan Palestin sekali gus menghapuskan perjuangan sah mereka.
Malah, tindakan undang-undang itu mencerminkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu berusaha memutarbelitkan nilai-nilai demokratik bebas.
Undang-undang itu juga ditentang hebat oleh Persatuan Perubatan Israel.
Menurut Pertubuhan Hak Asasi Awam di Israel, majoriti banduan melancarkan mogok lapar adalah merupakan penduduk Palestin yang ditahan selama enam bulan tanpa sebarang perbicaraan.
“Memberi makan secara paksa, kekerasan atau menggunakan tekanan terhadap individu yang melancarkan mogok kerana membantah cara penahanan mereka adalah kejam dan tidak berperikemanusiaan,” kata pelapor khas bahagian penderaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Juan Mandez sambil mendesak Israel menangguhkan undang-undang berkenaan.
Sementara itu, seorang jurucakap Penjara Israel, setakat ini, terdapat seorang tahanan sivil warga Palestin dan empat banduan jenayah yang melancarkan mogok lapar lebih satu minggu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0731&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3hPob8nYX 
Hakcipta terpelihara 

Israel akan paksa tahanan mogok lapar untuk makan


seorang penduduk Palestin, Khader Adnan, yang ditahan di penjara
Seorang penduduk Palestin, Khader Adnan, yang ditahan di penjara Israel melancarkan mogok lapar selama 56 hari diberi rawatan di Hospital Makassed di timur Baitulmaqdis selepas dibebaskan pada 12 Julai lalu. AFP
BAITULMAQDIS 30 Julai – Parlimen Israel, hari ini meluluskan undang-undang kontroversi yang membenarkan pihak keselamatan Isarel memaksa banduan yang melancarkan kempen mogok lapar untuk makan, jika nyawa mereka dalam bahaya atau berdepan masalah kesihatan yang kronik.
Undang-undang itu, diluluskan bagi menghalang pejuang Palestin yang ditahan Israel untuk memberi tekanan kepada rejim Zionis itu dengan mengadakan mogok lapar, seperti yang berlaku sejak beberapa tahun lalu apabila tahanan Palestin melancarkan mogok lapar secara beramai-ramai.
Walaupun undang-undang itu tidak merujuk kepada penduduk Palestin, namun Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Gilad Erdan berkata, tindakan tersebut perlu diambil memandangkan kempen mogok lapar dalam kalangan pejuang Palestin menjadi ancaman kepada Israel.
Undang-undang yang diluluskan dengan undian 46 menyokong berbanding 40 menentang, hanya digunakan jika doktor mendapati aktiviti mogok lapar secara berterusan boleh menyebabkan nyawa banduan berada dalam bahaya atau memberi kesan kesihatan yang berpanjangan terhadap banduan terlibat.
Bagaimanapun pembangkang Israel mengkritik langkah terbaharu itu, yang disifatkan sebagai bentuk seksaan terbaharu terhadap tahanan Palestin dan cara untuk melemahkan perjuangan mereka.
Persatuan Perubatan Israel turut menentang undang-undang berkenaan dengan memberi amaran kepada kumpulan doktor agar mengamalkan etika perubatan dengan betul dan tidak memberi makan tanpa kerelaan banduan.
Kelmarin, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengingatkan Israel agar tidak meluluskan undang-undang itu yang disifatkan sebagai satu bentuk seksaan kepada banduan. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/israel-akan-paksa-tahanan-mogok-lapar-untuk-makan-1.118847#sthash.j3R1Lvz5.dpuf

Thursday, 30 July 2015

Hamas kritik UNRWA


Hamas kritik UNRWA
UNRWA memutuskan untuk mengurangkan bantuan kepada pelarian Palestin.
GENTING GAZA - PALESTIN. Gerakan Hamas mengkritik tindakan Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) kerana mengehadkan perkhidmatan mereka kepada pelarian Palestin.

Menurut Press TV, kritikan itu dibuat selepas agensi antarabangsa itu mengumumkan bahawa mereka telah mengurangkan bantuan kepada kumpulan pelarian termasuk yang tinggal di Genting Gaza akibat kekurangan dana pada Sabtu lalu.

Jurucakap Hamas menegaskan tindakan UNRWA itu hanya akan memburukkan lagi situasi di wilayah tersebut yang masih berdepan sekatan haram Israel.

Terdahulu, agensi di bawah PBB itu turut memaklumkan bahawa mereka mungkin terpaksa menangguhkan sesi persekolahan di kira-kira 700 sekolah di Timur Tengah akibat masalah kewangan tersebut.

"Langkah itu hanya permainan politik yang direka untuk menghapuskan sektor pendidikan dengan menjadikan masalah teknikal dan kewangan sebagai alasan semata-mata," katanya lagi.

Hamas turut menggesa Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) supaya memikul tanggungjawab untuk mengatasi masalah yang dihadapi pelarian Palestin.

Khamis lalu, Penyelaras Khas PBB, Nickolay Mladenov memberi amaran bahawa UNRWA kini mengalami masalah kekurangan dana berjumlah lebih AS$100 juta (RM381 juta) yang mungkin boleh membawa kepada penutupan ratusan sekolah di rantau Arab.  

Difahamkan, lebih 1,258,550 pelarian Palestin berdaftar ditempatkan di lapan kem penempatan di Genting Gaza manakala 762,280 lagi berada di 19 kem pelarian di Tebing Barat. - Press TV

Peneroka haram dihalau Zionis


Penduduk Yahudi diusir polis sempadan Israel

Seorang gadis bertengkar dengan polis sempadan Zionis selepas
Seorang gadis bertengkar dengan polis sempadan Zionis selepas Mahkamah Tinggi Israel mengarahkan perobohan bangunan serta kediaman-kediaman haram di kawasan penempatan Yahudi Beit El , berhampiran Ramallah, Tebing Barat, semalam. REUTERS
TEL AVIV 28 Julai - Beratus-ratus penduduk penempatan haram Yahudi bertempur dengan pihak polis sempadan Israel di Tebing Barat awal pagi ini berhubung pembinaan dua buah bangunan tanpa permit di utara Ramallah.
Menurut seorang saksi, pertempuran meletus selepas polis sempadan Israel mengepung dan mengambil alih dua buah bangunan berhampiran kawasan penempatan haram di Beit El di utara Ramallah yang dibina tanpa permit.
Seorang jurucakap tentera Israel berkata, pihaknya bertindak mengerahkan anggota polis sempadan ke Beit El menjelang operasi merobohkan bangunan-bangunan haram di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, rata-rata penduduk enggan keluar dari kediaman mereka sehingga memaksa anggota polis menggunakan kekerasan mengusir mereka keluar.
Dalam pada itu, ratusan penduduk haram turut bersembunyi di sebuah penempatan haram di Sanur, utara Tebing Barat yang telah dikosongkan kira-kira 10 tahun lalu sebagai sebahagian daripada pelan pengunduran Israel 2005.
Antara penduduk penempatan haram itu ialah kumpulan rahib, pemimpin utama pro-Yahudi, dan puluhan keluarga yang pernah dihalau keluar dari Sanur sedekad lalu.
Pihak berkuasa Israel telah memberikan tempoh sehingga 2 petang waktu tempatan agar mengosongkan lokasi tersebut atau berdepan dengan tindakan susulan. – DPA
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/peneroka-haram-dihalau-zionis-1.118065#sthash.9t5Ajy27.dpuf

Jenayah perang Israel


Amnesty ada bukti kukuh libatkan imej satelit, gambar
30 Julai 2015 1:41 AM


BAITULMAQDIS 29 Julai - Amnesty International me­nyatakan satu analisis se­rangan Israel di Genting Gaza ekoran penangkapan seorang askarnya dalam perang pada tahun lepas di wilayah Palestin, menunjukkan ‘bukti kukuh’ berlakunya jenayah perang.
Badan hak asasi manusia itu meminta mereka yang bertanggungjawab melakukan kesalahan tersebut didakwa ketika Amnesty International menerbitkan analisis terperinci operasi ketenteraan Israel melibatkan keterangan saksi, imej satelit, gambar, dan video.
“Terdapat bukti kukuh tentera Israel melakukan jenayah perang dalam serangan di kawasan perumahan di Rafah untuk menggagalkan penangkapan Leftenan Hadar Goldin, dan tidak mempedulikan nyawa orang awam.
“Rejim Yahudi melancarkan siri serangan tanpa melakukan siasatan terperinci,’’ kata Pengarah Program Asia Barat dan Afrika Utara, Amnesty International, Philip Luther dalam satu kenyataan.
Israel menafikan tuduhan tersebut dan menyifatkan laporan Amnesty International sebagai salah ekoran pendekatan, fakta, dan analisis perundangan yang cacat.
Analisis tersebut membabitkan kejadian yang berlaku pada 1 Ogos tahun lalu apabila Goldin ditangkap sejurus satu gencatan senjata diumumkan.
Goldin kemudian diumumkan mati.
Ekoran kematian Goldin, tentera Israel telah melaksanakan Arahan Hannibal yang merupakan satu prosedur membenarkan tindakan balas ketenteraan untuk menyelamatkan askar yang ditangkap.
Israel mengebom bandar Rafah dan kawasan sekitar di selatan Genting Gaza berdekatan sempadan Mesir.
“Tentera Zionis melancarkan serangan bom bertubi-tubi tanpa amaran ketika orang ramai berada di jalan raya dan di dalam kenderaan. Mereka ini menjadi sasaran.
“Saksi turut menceritakan keadaan huru-hara di lokasi serangan ketika api marak akibat bedilan jet-jet pejuang F-16. Helikopter dan drone turut melancarkan serangan udara ke jalan-jalan, mengenai orang ramai yang berjalan kaki ketika ambulans dan kenderaan lain membawa mangsa yang cedera ke hospital,” jelas Amnesty International. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/jenayah-perang-israel-1.118486#sthash.vj2IigtS.dpuf

Wednesday, 29 July 2015

Bincang isu al-Aqsa

Bincang isu al-Aqsa
Kekecohan tercetus selepas pihak berkuasa Israel menghalang penduduk Palestin daripada memasuki pekarangan al-Aqsa, Ahad Lalu. - Foto: AFP

RAMALLAH - PALESTIN. Menteri Luar Liga Arab akan mengadakan pertemuan di Kaherah, 5 Ogos depan bagi membincangkan insiden pertempuran di kawasan pekarangan Masjid al-Aqsa pada Ahad lalu.

Kelmarin, Ketua Perunding Palestin, Saeb Erakat berkata, kesemua wakil dari 15 negara Arab itu akan menyertai mesyuarat yang memfokuskan isu 'perkembangan berbahaya' di Baitulmaqdis tersebut.

"Kami akan turut berbincang mengenai pencabulan berterusan rejim Zionis ke atas al-Aqsa, projek penempatan haram Yahudi dan perlanggaran hak asasi penduduk Palestin.

"Mesyuarat itu juga akan membincangkan langkah perdamaian Palestin dan usaha baharu rantau Arab untuk menamatkan pendudukan Israel melalui PBB," jelasnya.

Difahamkan, kesemua 15 menteri luar itu turut terlibat dalam Inisiatif Keamanan Arab 2002 yang menuntut Tel Aviv berundur dari wilayah Palestin sebagai pertukaran untuk memulihkan semula hubungan dengan negara Arab.

Bagaimanapun, Israel terus berdegil sebaliknya melakukan pencabulan sewenang-wenangnya termasuk mengusir dan merampas tanah milik penduduk Palestin.

Dalam satu kenyataan lain, Imam Besar Masjid al-Azhar di Mesir, Sheikh Ahmed el-Tayeb turut mengutuk perbuatan biadab rejim Zionis kerana mencemar kesucian al-Aqsa.

"Tindakan provokasi pihak berkuasa Israel ke atas masjid ketiga paling suci itu jelas menyinggung perasaan umat Islam," katanya dalam laporan al-Arabiya.

Peneroka Yahudi halang roboh rumah



REUTERS - SEORANG peneroka muda dilihat bercakap dengan seorang anggota polis Yahudi berhampiran sebuah bangunan yang bakal dirobohkan atas arahan Mahkamah Tinggi Israel di penempatan haram Beit El semalam.


BAITULMUQADDIS – Peneroka haram Yahudi bertempur dengan polis Israel semalam ketika pihak berkuasa merampas beberapa kediaman yang sedang dibina di kawasan Tebing Barat yang diduduki, selepas sebuah mahkamah memutuskan bangunan-bangunan haram itu perlu dirobohkan.
Mahkamah Tinggi Israel bulan lalu mengarahkan dua bangunan di penempatan haram Beit El di utara Ramallah dirobohkan sebelum 30 Julai ini.
Sekitar 50 peneroka haram muda bertahan di dalam bangunan tersebut bagi membantah tindakan meroboh itu dan mereka terpaksa dialihkan anggota polis sebelum subuh semalam.
Rakaman video yang dipaparkan media tempatan menunjukkan anggota polis bergelut dengan penunjuk perasaan di tapak bangunan haram dikenali sebagai Dreinoff itu yang dibina atas tanah persendirian milik orang Palestin tetapi telah dirampas tentera Israel pada 1970-an.
“Satu unit polis sempadan mengambil alih bangunan Dreinoff semalam bagi mengelakkan berlakunya keganasan sebelum struktur itu dirobohkan seperti yang diarahkan Mahkamah Tinggi sebelum ini,” jelas tentera Israel melalui satu kenyataan.
Namun, masih ada usaha perundangan bagi menghalang tindakan meroboh struktur tersebut dan tidak dapat dipastikan sama ada arahan mahkamah itu akan dilaksanakan.
Kawasan perumahan Israel di kawasan Tebing Barat yang diduduki dianggap sebagai penempatan haram mengikut undang-undang antarabangsa tetapi tidak bagi kerajaan Israel.
Penempatan haram itu dilihat menyukarkan lagi usaha rundingan damai ke arah sebuah negara Palestin berdaulat yang telah tergantung sejak tahun lalu. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0729&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3hE7mRGzI 
Hakcipta terpelihara 

Peneroka haram dihalau Zionis


Penduduk Yahudi diusir polis sempadan Israel

Seorang gadis bertengkar dengan polis sempadan Zionis selepas
Seorang gadis bertengkar dengan polis sempadan Zionis selepas Mahkamah Tinggi Israel mengarahkan perobohan bangunan serta kediaman-kediaman haram di kawasan penempatan Yahudi Beit El , berhampiran Ramallah, Tebing Barat, semalam. REUTERS
TEL AVIV 28 Julai - Beratus-ratus penduduk penempatan haram Yahudi bertempur dengan pihak polis sempadan Israel di Tebing Barat awal pagi ini berhubung pembinaan dua buah bangunan tanpa permit di utara Ramallah.
Menurut seorang saksi, pertempuran meletus selepas polis sempadan Israel mengepung dan mengambil alih dua buah bangunan berhampiran kawasan penempatan haram di Beit El di utara Ramallah yang dibina tanpa permit.
Seorang jurucakap tentera Israel berkata, pihaknya bertindak mengerahkan anggota polis sempadan ke Beit El menjelang operasi merobohkan bangunan-bangunan haram di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, rata-rata penduduk enggan keluar dari kediaman mereka sehingga memaksa anggota polis menggunakan kekerasan mengusir mereka keluar.
Dalam pada itu, ratusan penduduk haram turut bersembunyi di sebuah penempatan haram di Sanur, utara Tebing Barat yang telah dikosongkan kira-kira 10 tahun lalu sebagai sebahagian daripada pelan pengunduran Israel 2005.
Antara penduduk penempatan haram itu ialah kumpulan rahib, pemimpin utama pro-Yahudi, dan puluhan keluarga yang pernah dihalau keluar dari Sanur sedekad lalu.
Pihak berkuasa Israel telah memberikan tempoh sehingga 2 petang waktu tempatan agar mengosongkan lokasi tersebut atau berdepan dengan tindakan susulan. – DPA
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/peneroka-haram-dihalau-zionis-1.118065#sthash.NUBvKsIh.dpuf

Tuesday, 28 July 2015

OIC kutuk tindakan Israel

OIC kutuk tindakan Israel
Pasukan keselamatan Israel menahan seorang wanita Palestin semasa kekecohan di Masjid al-Aqsa, kelmarin.

JEDDAH - ARAB SAUDI.Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengutuk keras tindakan ganas polis Israel menyerbu dan menyerang Masjid al-Aqsa kelmarin.

Akibat tindakan biadap rejim Zionis itu, sekurang-kurangnya 15 penduduk Palestin mengalami kecederaan dan tujuh lagi ditahan.

Setiausaha Agungnya, Iyad Ameen Madani berkata ia merupakan tindakan provokasi terhadap umat islam dan pelanggaran secara terang-terangan resolusi antarabangsa.

Katanya lagi, Israel dilihat sengaja mencetuskan konflik agama, menggalakkan keganasan dan cuba untuk mewujudkan ketidakstabilan di rantau ini.

"Mereka begitu kejam menyerang umat Islam yang sedang beribadah di dalam masjid. Jadi Israel bertanggungjawab sepenuhnya dengan serangan sistematik ini terhadap Masjid al-Aqsa.

"Tindakan seumpama ini akan memburukkan lagi keadaan di rantau berkenaan,” katanya.

Kelmarin, polis Israel memasuki tempat suci Islam itu dan melepaskan bom gas di dewan masjid dan kawasan sekitarnya kerana mendakwa bagi membenteras kumpulan perusuh Islam.

Kejadian berpunca apabila Israel menghalang umat Islam memasuki masjid bagi memberi laluan kepada sekumpulan masyarakat Yahudi berkumpul untuk mengadakan upacara keagamaan Tisha B'Av. - Press TV

Mati terjun elak ditangkap Zionis


Ramallah: Seorang remaja Palestin mati selepas jatuh ketika cuba melarikan diri daripada pasukan keselamatan Israel yang mahu menangkapnya di Tebing Barat, semalam.

Ia kematian ketiga ketika operasi penangkapan oleh Israel dalam tempoh seminggu.

Polis sempadan menyerbu kem pelarian Qalandia berhampiran Ramallah untuk ‘menangkap dua disyaki aktivis pengganas.’

Seorang daripadanya ditembak di kaki ketika melarikan di atas bumbung bangunan, namun maut selepas cuba melompat ke atas bumbung lain.

Mangsa dikenal pasti sebagai Mohammad Abu Latifa, 18.

Sumber berkata, pasukan keselamatan Israel menyerbu kem itu selepas Subuh menyebabkan pertempuran berlaku.

Polis mendakwa mereka mengarahkan Abu Latifa berhenti sebelum menembak kakinya.

“Namun, suspek terus melarikan diri dan cuba melompat ke bumbung bangunan lain sebelum jatuh ke tanah dan mati,” kata satu kenyataan.

Paramedik yang memberi rawatan mengisytiharkannya mati di tempat kejadian.

Kenyataan itu mendakwa dua suspek terbabit ‘merancang serangan pengganas di Israel.’

Khamis lalu, pasukan keselamatan Israel menembak mati seorang lelaki Palestin ketika menangkap anaknya.

Pihak berkuasa Israel mendakwa serbuan perlu dilakukan untuk menahan suspek dan anggotanya berdepan rusuhan berbahaya ketika melaksanakan operasi seumpama itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2015 @ 7:01 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/66652#sthash.TmxucOAC.dpuf