Wednesday, 4 June 2014

Israel enggan bekerjasama


Presiden Palestin, Mahmoud Abbas (tengah) mengadakan mesyuarat bersama menteri-menteri kerajaan perpaduan baharu di Ramallah, Tebing Barat, kelmarin. - REUTERS
TEL AVIV 3 Jun - Israel semalam mengancam untuk mengenakan sekatan lebih ketat ke atas Tebing Barat selepas pergerakan Fatah membentuk kerajaan perpaduan Palestin dengan Hamas yang memerintah Genting Gaza.
Menurut pejabat Perdana Menteri Israel, satu mesyuarat keselamatan Kabinet turut diadakan bagi berbincang tentang kerajaan baharu Palestin serta memberi kuasa kepada Benjamin Netanyahu untuk mengenakan sekatan tersebut.
Kenyataan itu menambah, Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang menguasai Tebing Barat turut bertanggungjawab di atas semua serangan yang dilancarkan terhadap Israel.
"Presiden Palestin, Mahmoud Abbas telah bekerjasama dengan Hamas, pertubuhan yang diisytiharkan sebagai pengganas di Amerika Syarikat, Eropah dan seluruh dunia.
"Perjanjian dengan Hamas membuatkan Abbas bertanggungjawab di atas semua serangan yang dilancarkan ke Israel," jelas kenyataan tersebut.
Terdahulu, Israel menggesa pemimpin dunia supaya tidak mengiktiraf kerajaan perpaduan Palestin dengan menyifatkan Kabinet baharu itu hanya akan 'memperkuatkan keganasan'.
Dalam pada itu, Barat hari ini menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan kerajaan baharu Palestin selepas majlis angkat sumpah pembentukan kerajaan perpaduan tersebut dilaksanakan semalam.
Beberapa jam selepas majlis tersebut, Setiausaha Negara AS, John Kerry menghubungi Netanyahu bagi menyampaikan kesediaan AS untuk bekerjasama dengan kepemimpin baharu Palestin.
Israel dalam reaksinya meluahkan kekecewaan terhadap kesediaan AS untuk bekerjasama dengan kerajaan perpaduan Palestin.
"Kami amat kecewa dengan kenyataan Jabatan Negara AS yang menyatakan kesediaan mereka bekerjasama dengan kerajaan baharu Palestin.
"Kerajaan Palestin disokong oleh pergerakan pengganas, Hamas yang komited dengan usaha memusnahkan Israel," kata seorang pegawai Israel yang enggan dikenali.
Jelas Israel, sekiranya AS mahu mempercepat proses damai, negara itu patut memanggil Abbas untuk enamatkan pakatan dengan Hamas dan kembali dengan proses rundingan damai Israel. - AFP/AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140604/lu_03/Israel-enggan-bekerjasama#ixzz33cIYSqEl
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Fatah-Hamas bentuk kerajaan


Perdana Menteri Palestin, Rami Hamdallah (kanan) mengangkat sumpah mengetuai kerajaan perpaduan Palestin sambil diperhatikan Presiden, Mahmoud Abbas di Ramallah, semalam. - REUTERS
RAMALLAH 2 Jun - Hampir 10 tahun selepas terlibat dalam pertelagahan, pergerakan Hamas dan Fatah hari ini akhirnya membentuk kerajaan perpaduan baharu Palestin dalam satu majlis angkat sumpah di hadapan Presiden, Mahmoud Abbas.
Majlis ringkas yang diadakan di ibu pejabat Abbas di Tebing Barat itu, turut menyaksikan pembentukan barisan Kabinet baharu yang terdiri daripada 17 anggota dari kalangan teknokrat, diketuai Perdana Menteri, Rami Hamdallah.
Namun begitu, pada saat-saat akhir sebelum majlis mengangkat sumpah dijalankan, berlaku sedikit perselisihan faham di antara Hamas dan Fatah selepas jawatan Menteri Hal Ehwal Penjara dikeluarkan daripada senarai Kabinet.
Beberapa minit sebelum majlis berlangsung, pegawai Hamas berkata, masalah berkenaan sudah diselesaikan melalui pendekatan bertolak ansur, namun tidak menjelaskan lebih lanjut.
Menurut sumber, Hamas bersetuju untuk mengekalkan portfolio itu, yang mana jawatannya akan disandang oleh Rami.
Hamas pada 2007 merampas Genting Gaza menyebabkan pergerakan Fatah pimpinan Abbas hanya mentadbir Tebing Barat.
Penubuhan kerajaan perpaduan tersebut akan menjadi langkah terbaik untuk menamatkan perpecahan politik dalam mencapai pembentukan negara Palestin di Tebing Barat, Gaza dan timur Baitulmaqdis, yang dirampas Israel pada 1967.
Sejak tujuh tahun lalu, rundingan damai antara kedua-dua pergerakan tersebut gagal ekoran Hamas dan Fatah masing-masing enggan mengalah dalam tuntutan mereka.
Hamas mengalami krisis kewangan ekoran sekatan dikenakan di sempadan Israel dan Mesir. - AGENSI/AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140603/lu_03/Fatah-Hamas-bentuk-kerajaan#ixzz33cHTDmnQ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

AS bantu kerajaan Palestin



HAMDALLAH (tengah) mempengerusikan mesyuarat Kabinet Palestin di Ramallah semalam.


WASHINGTON - Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama memberitahu kelmarin, pihaknya merancang untuk mengadakan kerjasama dan menyalurkan bantuan kepada kerajaan perpaduan baharu Palestin.
Keputusan tersebut menyebabkan Israel turut menyuarakan rasa tidak puas hati dengan keputusan AS itu.
Presiden Palestin, Mahmoud Abbas kelmarin menyaksikan majlis mengangkat sumpah kerajaan perpaduan kelmarin.
Perjanjian damai itu ditandatangani antara Pihak Berkuasa Palestin dengan pergerakan Hamas yang menentang Israel.
Selepas penubuhan kerajaan perpaduan itu, Perdana Menteri Hamas, Ismail Haniyeh mengumumkan untuk mengundurkan diri.
Mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri baharu, Rami Hamdallah berlangsung di Ramallah semalam.
AS sebelum ini melihat Hamas sebagai sebuah organisasi pengganas.
Kongres AS sendiri menyekat dana kepada Palestin yang berjumlah kira-kira AS$500 juta (RM1.6 bilion) setahun.
"Ketika ini, Presiden Mahmoud Abbas telah membentuk kerajaan teknokrat yang tidak termasuk menteri-menteri gabungan dengan Hamas," kata jurucakap Jabatan Negara, Jen Psaki kepada pemberita pada sidang media.
"Apa yang kita tahu, kita memang berhasrat untuk bekerja dengan kerajaan itu. Namun, kita juga akan sentiasa melihat dengan teliti bagi memastikan Abbas berpegang kepada apa yang dikatakannya," katanya.
Beliau merujuk merujuk tentang komitmen Abbas untuk berdamai dengan Israel.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, beliau bimbang dengan keputusan AS mahu mengekalkan hubungan dengan kerajaan perpaduan Palestin yang baharu.
Justeru, Netanyahu menggesa dunia supaya tidak bekerjasama dengan kerajaan baharu Palestin kerana Abbas disokong Hamas yang didakwa telah membunuh ratusan rakyat Israel. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0604&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz33cFSqmB5 
Hakcipta terpelihara 

Thursday, 29 May 2014

Palestin mula Kabinet baharu

Kepimpinan Hamas dan Fatah mulakan Kabinet baharu hari ini.
Kepimpinan Hamas dan Fatah mulakan Kabinet baharu hari ini.
RAMALLAH - PALESTIN. Hamas dan Fatah memulakan pentadbiran kerajaan perpaduan hari ini di Palestin.

Timbalan Perdana Menteri, Ziad al-Zaza berkata, kerajaan sudah bersedia menyerahkan tanggungjawab penuh kepada kerajaan perpaduan selepas Kabinet Hamas bersetuju dengan terma dan syarat dalam mesyuarat ke-343 berakhir Selasa lalu di Gaza.

Jurucakap Fatah, Azzam al-Ahmed  berkata, rundingan di Gaza mencapai objektif dengan hala tuju lebih jelas.

April lalu, Hamas dan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) termasuk Fatah berikrar menyelesaikan perbezaan pendapat antara mereka dan bersetuju membentuk kerajaan perpaduan.

Menurut Press TV, di bawah perjanjian itu, Hamas dan Fatah harus menubuhkan kerajaan perpaduan dalam tempoh lima minggu dan mengadakan pilihan raya pada enam bulan kemudian.

Tahanan Palestin dikejarkan ke hospital


BAITULMAQDIS 29 Mei - Perkhidmatan Penjara Israel mengejarkan seramai 40 tahanan Palestin ke hospital semalam selepas mereka enggan makan lebih sebulan lalu sebagai bantahan tahanan terhadap terma-terma pemenjaraan masing-masing.
Jurucakap penjara, Sivan Weizman menyifatkan kesihatan semua tahanan itu dalam keadaan baik, namun dinafikan pegawai Palestin yang mendakwa, nyawa kesemua tahanan tersebut dalam bahaya dan menggesa campur tangan antarabangsa bagi mencari satu penyelesaian.
Kesemua mereka yang melancarkan mogok lapar merupakan tahanan biasa yang enggan makan hampir lima minggu sebagai bantahan mereka kerana ditahan tanpa perbicaraan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140529/lu_02/Tahanan-Palestin-dikejarkan-ke-hospital#ixzz333JBtgjQ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wednesday, 28 May 2014

Flotila : Mahkamah arah komander Israel ditahan


ISTANBUL 27 Mei - Mahkamah Turki mengarahkan penahanan empat bekas ketua tentera Israel yang terlibat dalam terhadap konvoi flotila bantuan kemanusiaan ke Genting Gaza, Palestin pada 2010 yang menyebabkan sembilan aktivis hak asasi manusia terbunuh.
Menurut peguam, Cihat Gokdemir, mahkamah meminta polis antarabangsa, Interpol mengeluarkan waran tangkap antarabangsa ke atas empat komander Israel itu bagi membantu siasatan kes, lapor agensi berita, Al-Jazeera hari ini.
Pendakwa raya Turki mahu hukuman penjara seumur hidup dijatuhkan terhadap bekas Ke­tua Turus Tentera Israel, Gaby Ashkenazi; Panglima Angkatan Tentera Laut, Eliezer Marom, Pengarah Risikan Ketenteraan, Amos Yadlin dan bekas Pengarah Risikan Tentera Udara, Avishai Levy.
Keputusan mahkamah yang di­keluarkan semalam itu adalah se­bahagian daripada proses per­bicaraan yang tidak dihadiri keempat-empat tertuduh yang dikemukakan oleh kumpulan hak asasi, Yayasan Bantuan Kemanusiaan (IHH) dan keluarga mangsa pada 2012.
Perbicaraan itu turut diadakan berikutan rundingan antara bekas sekutu Turki dan Israel bagi menamatkan pertelingkahan di­plo­matik antara dua negara tersebut ekoran kejadian serangan kapal itu.
Keputusan mahkamah berkenaan dilihat boleh menjejaskan usaha perdamaian antara Turki dan Israel.
Seorang pegawai Israel memberitahu, keputusan mahkamah itu adalah hasutan yang tidak boleh diterima, manakala pihak pegawai Turki menjelaskan, usaha untuk mendapatkan bayaran pampasan kematian mangsa sedang dijalankan.
Namun, media tempatan sebe-lum ini melaporkan, Israel berkeras supaya sebarang perjanjian bersyarat dalam dakwaan terhadap tenteranya digugurkan.
Pada 31 Mei 2010, sembilan aktivis warganegara Turki maut selepas kapal Mavi Marmara yang mengetuai konvoi flotila bantuan kemanusiaan ke Genting Gaza diserang komando Israel.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140528/lu_08/Flotila-Mahkamah-arah-komander-Israel-ditahan#ixzz32xaa9rhq
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Palestin perkenal kerajaan perpaduan Khamis


GAZA CITY 28 Mei - Presiden Palestin, Mahmoud Abbas akan memperkenalkan sebuah kerajaan perpaduan yang dibentuk menerusi penyatuan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan pergerakan Hamas, esok sekali gus menamatkan pentadbiran berasingan di Tebing Barat dan Gaza.
"Kami telah selesai membincangkan tentang kerajaan konsensus nasional," kata seorang utusan Mahmoud dari pergerakan Fatah, Azzam al-Ahmed, semalam selepas proses perbincangan di Gaza bersama pemimpin-pemimpin Hamas.
"Pengumuman itu akan dibuat dua hari lagi oleh Presiden,'' tambah beliau. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140528/lu_04/Palestin-perkenal-kerajaan-perpaduan-Khamis#ixzz32xZEWfoE
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Monday, 26 May 2014

Pope Francis sokong negara Palestin


Pope Francis dan Mahmoud (kiri) memeriksa perbarisan kehormat tentera Palestin ketika melakukan lawatan ke Baitullaham di Tebing Barat, semalam. - AFP
BAITULLAHAM 25 Mei - Pemimpin Vatican, Pope Francis selamat tiba di bandar Baitullaham di Tebing Barat, hari ini dalam lawatan yang dilihat sebagai satu simbolik menyokong aspirasi rakyat Pa­lestin untuk mewujudkan negara sendiri.
Pemimpin Vatican sebelum ini sering mengunjungi Tebing Barat selepas pertama kali mendarat di Tel Aviv, Israel, namun bagi Pope Francis, beliau memilih untuk mendarat di Baitullaham dengan menaiki helikopter dari Jordan.
Pada hari kedua lawatannya ke Asia Barat itu, Pope Francis sempat mengadakan pertemuan dengan Pre­siden Palestin, Mahmoud Abbas.
Malah, dalam program rasmi Pope Francis itu, Vatican merujuk Abbas sebagai Presiden ‘negara Palestin’.
Pope Francis dijangka mengulangi pendirian Va­tican perlunya penyelesaian penubuhan dua negara dalam konflik Israel-Palestin, ketika mengadakan pertemuan dengan Abbas sebelum bertolak ke Israel.
Pope Francis memulakan lawatan tiga harinya ke Asia Barat dengan melawat Amman, Jordan dengan pemimpin itu merayu supaya perang saudara di Syria dihentikan dan mengecam penjualan senjata semasa lawatan penuh emosi ke khemah pelarian Syria dan Iraq di Jordan. - AP/AFP
Dalam perkembangan berasingan di Baitulmaqdis, polis menahan 26 pelampau Yahudi yang mengadakan bantahan di kawasan tanah suci di Gunung Zion di luar Old City yang akan dikunjungi Pope Francis.
Menurut jurucakap polis, penahanan itu dibuat beberapa jam sebelum ketibaan pemimpin Vatican tersebut di Baitulmaqdis.
‘‘Penunjuk perasaan di Makam Raja Daud melontar batu dan botol ke arah pasukan keselamatan dan mencederakan dua anggota polis,’’ kata jurucakap polis, Micky Rosenfeld merujuk kepada sebuah tapak yang dianggap suci oleh penganut Islam, Kristian dan Yahudi dengan Pope Francis dijadual menghadiri satu perhimpunan besar-besaran esok. - AGENSI/AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140526/lu_05/Pope-Francis-sokong-negara-Palestin#ixzz32lo1D2yb
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Sunday, 25 May 2014

Rejim Zionis robohkan Masjid Negev

Masjid Negev yang menjadi masjid utama ribuan umat Islam di Negev dirobohkan Israel, kelmarin. Foto:PIC
Masjid Negev yang menjadi masjid utama ribuan umat Islam di Negev dirobohkan Israel, kelmarin. Foto:PIC
NRGEV - Israel mula melancarkan operasi pembersihan etnik termasuk meruntuhkan sebuah masjid di Wadi Al-Na’im, Beersheba, utara Palestin, kelmarin.

Tindakan itu menimbulkan kebimbangan penduduk apabila mendakwa kediaman mereka juga akan dirobohkan susulan operasi tersebut lapor Middleeastmonitor.

Yayasan Negev bagi Hak Tanah dan Manusia mengecam tindakan itu dengan menyifatkan Israel melakukan pencabulan terang-terangan terhadap hak umat Islam di Negev.

“Israel melanggar hak kebebasan beribadah. Mereka juga bertindak keterlaluan apabila menyita harta penduduk dan merosakkan tanaman mereka,” kata jurucakapnya.

Susulan kejadian itu, penduduk di kawasan terbabit bertekad untuk tidak meninggalkan rumah masing-masing.

Pertubuhan Gerakan Islam Negeb mendedahkan tindak an Israel itu bertujuan untuk melakukan pembersihan etnik dengan niat untuk mengusir 60,000 umat Islam di wilayah itu.

Friday, 23 May 2014

Israel roboh Masjid di Naqab, Palestin.

Berita | Israel roboh Masjid di Naqab, Palestin.

23 Mei- Jentolak Israel yang dikawal oleh kumpulan besar mula merobohkan masjid di Wadi Al- Niam di Naqab (Negev, Selatan Israel) Khamis lepas, turut membimbangkan penduduk bahawa mereka juga akan berbuat demikian di kampung mereka. Perintah roboh telah dipaku ke dinding masjid beberapa hari lebih awal.

Yayasan Negev mengecam perobohan itu , menggambarkan tindakan Israel sebagai pencerobohan terang-terangan terhadap kesucian masjid dan mengenai hak Arab untuk hidup di Naqab . Ia juga menyatakan bahawa mereka telah melanggar hak untuk kebebasan beragama serta undang-undang dan konvensyen antarabangsa.

Yayasan itu juga mengutuk serangan polis Israek ke atas penduduk di Wadi Al- Niam , perobohan rumah-rumah mereka, merampas harta mereka dan kemusnahan tanaman mereka. Ia menegaskan bahawa penduduk asli di Gurun Naqab erazam untuk tinggal di rumah mereka dalam menghadapi perancangan Israel dan berkuat kuasa. Ia merayu kepada orang-orang Arab di Israel dan orang-orang Arab Naqab khususnya untuk bersama rakyat Wadi Al- Niam .

Gerakan Islam di Naqab berkata perobohan masjid Wadi Al- Niam adalah perbuatan jenayah oleh Israel. Ia adalah sebahagian daripada pembersihan etnik yang lebih luas mana Israel mahu menggantikan 60,000 orang Arab Palestin dari rumah tradisional mereka di padang pasir supaya peneroka Yahudi dan tentera Israel boleh bergerak masuk.

"Rakyat di Naqab mempunyai hak untuk hidup di tanah mereka sendiri," kata gerakan Islam . "Mereka mempunyai hak untuk membina dan hidup di atasnya dan menyembah padanya. " Kenyataan itu menambah, jenayah ini hanya akan meningkatkan keazaman rakyat untuk tinggal tetap di tanah mereka.

Pergerakan menyeru semua pertubuhan hak asasi manusia dan institusi di Naqab untuk berdiri sebelah menyebelah dengan rakyat Wadi Al Niam , mempertahankan hak-hak sah mereka dan menghadapi pembersihan etnik Israel. [Ph]

sumber: memo
#aqsasyarif #adoptahafiz #mygmj2014 #2014tahunsolidariti
 

Thursday, 22 May 2014

Setiap dua jam, 1 kanak-kanak Palestin ditangkap oleh tentera Zionis

Setiap dua jam, 1 kanak-kanak Palestin ditangkap oleh tentera Zionis

'Kicauan pipit di dalam perut'

'Kicauan pipit di dalam perut'

Pepatah Arab 'kicauan burung pipit di dalam perut' menggambarkan kelaparan yang dialami seseorang.

Lukisan ini mungkin bahasa yang tepat menggambarkan tekanan perasaan dan teriakan menuntut pembebasan dari penjara tahanan Israel oleh warga Palestin yang dipenjarakan.

Wednesday, 21 May 2014

palestin

Pelajar-pelajar sekolah perempuan warga Palestin berlindung dari tembakan gas pemedih mata yang ditembak ke arah mereka oleh askar Israel di Khader Town, selatan Bethlehem, semalam.

Tiada ancaman, tetap ditembak.

Artikel | Tiada ancaman, tetap ditembak.

Pada hari Jumaat lepas iaitu selepas pengebumian di Ramallah, saya keluar bersama seorang wartawan yang mengambil gambar Abu Nuwara, pemuda yang ditembak di dalam video* tersebut. Kami duduk di dalam kereta Samer Nazzal, 28, dan dia menunjukkan beberapa siri gambar yang menunjukkan seorang pegawai perubatan mengangkat Abu Nuwara yang ditembak di bahagian kepala dengan peluru getah. Pegawai tersebut kemudian menanda bahagian yang tercedera.

"Semalam merupakan hari yang sukar - IDF menggunakan peluru hidup dari awal lagi. Mereka seperti dilihat seperti mengawal demonstran, tetapi sebenarnya memang ingin membunuh.", kata Nazzal. "Ini adalah pelik kerana demo tersebut adalah normal seperti hari-hari biasa". "Saya nak anda menulis bahawa demonstran tidak memegang Kalashnikov atau M16 atau RPG, mereka hanya membaling batu dari jauh, dan langsung tidak mengenai IDF tersebut".

Nazzal mengambil gambar semasa demonstran ditembak. Nazzal bersandar di sebalik sebuah bangunan dan melihat Nawara sedang membaling batu. Apabila IDF mula menembak, Nawara berhenti membaling. "Dia masih hidup, tetapi selepas beberapa minit, dia terbaring di jalan dan memegang dadanya.". Nazzal kemudian mengambil gambar yang kini sedang berlegar di internet, iaitu gambar sebaik sebelum Nawara meninggal dunia. Dia terus mengambil gambar beberapa orang remaja dan seorang pegawai perubatan mengangkat Nawara ke arah ambulan. Kemudian, saya perasan sesuatu tentang pegawai perubatan tersebut.

"Saya lihat pegawai itu memegang kepalanya, seperti ditembak. Balik sahaja ke pejabat, ada sebuah peluru getah di mejanya (mengatakan bahawah pegawai tersebut ditembak dengan peluru getah untuk mengelakkan Nawara dibantu) ". Gambar yang diambil oleh Nazzal mengesahkan bahawa IDF memang menembak ke arah mereka.

Sejak permulaan 2014, 10 orang rakyat awam Palestin dibunuh dengan tembakan sahaja. Pada tahun lepas, 22 orang telah ditembak, 14 daripadanya adalah melalui demonstrasi. [Ph]

sumber: mondowies.net

*video [18SG]:http://www.youtube.com/watch?v=CaibEqx2m_k

#aqsasyarif #2014tahunsolidariti #adoptahafiz

Israel tahan ramai kanak-kanak Palestin


Askar Israel menahan seorang kanak-kanak Palestin yang cuba mengambil gambar semasa bantahan terhadap penempatan haram Yahudi di kampung Al Ma'sara, Tebing Barat pada 9 November 2012. - AGENSI
BAITULMAQDIS 20 Mei - Jumlah kanak-kanak Palestin yang dikurung dan didera semasa disiasat oleh pihak berkuasa Israel, dilaporkan semakin meningkat sejak beberapa tahun lalu, kata sebuah pertubuhan kanak-kanak antarabangsa.
Pengarah Program Tanggungjawab Pertubuhan Perlindungan untuk Kanak-kanak Antarabangsa (DCI), Ayed Abu Eqtaish berkata, kaedah pengurungan secara berasingan ke atas kanak-kanak Palestin oleh rejim Zionis semakin membimbangkan dan tindakan itu jelas melanggar hak asasi golongan tidak bersalah tersebut.
Sambil memetik laporan baru-baru ini, Ayed berkata, sebanyak 100 kes penahanan kanak-kanak Palestin dicatatkan di kem tahanan tentera Israel dan 21 peratus daripada jumlah itu dikenakan tahanan berasingan.
Jelasnya, kanak-kanak itu dikurung selama purata 10 hari dan tempoh paling lama yang pernah dicatatkan adalah selama 29 hari pada 2012 dan 28 hari pada tahun berikutnya.
“Setiap laporan direkodkan berdasarkan pengalaman mangsa yang mendakwa mereka dipukul, digari dan dilarang menggunakan tandas ketika dikenakan tahanan berasingan.
“Saya meminta masyarakat antarabangsa memandang serius isu ini dan menjalankan siasatan terhadap kes yang dilaporkan bagi membolehkan kanak-kanak Palestin mendapat keadilan," katanya kepada rangkaian berita Al-Jazeera.
Menurut pertubuhan yang beribu pejabat di Geneva itu, sepanjang tahun lalu, kanak-kanak Palestin berusia antara 12 dan 17 tahun paling ramai ditahan di penjara tentera Israel.
Di kebanyakan negara, tindakan mengasingkan tahanan juvenil dilaksanakan bagi mengelakkan mereka bergaul dengan tahanan dewasa, tetapi di Israel, kaedah berkenaan digunakan sama ada untuk mendapatkan pengakuan atau mengumpul maklumat daripada individu lain.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140521/lu_06/Israel-tahan-ramai-kanak-kanak-Palestin#ixzz32IsB8Ma8
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tuesday, 20 May 2014

Israa al-Mudallal wanita kepercayaan Hamas

Wanita kepercayaan Hamas

KEHADIRAN seorang gadis di dalam pejabat pentadbiran Palestin di Gaza,  bukanlah sebagai penyeri pejabat,  beliau sebaliknya bertanggungjawab sebagai jurucakap yang dilantik oleh pergerakan Hamas.

Israa al-Mudallah, 23, yang fasih berbahasa Inggeris nekad mengambil peluang pekerjaan itu untuk membuktikan dan mendedahkan segala permainan politik Palestin yang selama ini menjadi mangsa rejim Zionis dan sekutunya, Barat.

Tugas sebagai jurucakap Hamas bagi media antarabangsa bukanlah satu tugasan mudah buatnya.

Beliau bertanggungjawab menyampaikan pandangan kerajaan Palestin dengan kata lain, segala perspektif Hamas di Gaza sejak pengusiran Mahmoud Abbas enam tahun lalu.

“Sebenarnya saya tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku kerana saya bukan dari pergerakan Hamas,” katanya.

Latar belakang

Israa anak kelahiran Mesir ini dibesarkan di bumi Gaza. Beliau sekeluarga kemudian berpindah bagi mengikut bapanya yang juga seorang pensyarah sains politik dan sejarah di Universiti Islam Gaza untuk melanjutkan pelajaran di Britain.

Dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan pendidikan, gadis tinggi lampai ini banyak didedahkan dengan budaya Barat.|

Sebelum  melanjutkan pelajaran dalam bidang kewartawanan di Universiti Islam Gaza, Israa mendapat pendidikan di sekolah rendah di bandar  Bradfort.

Dari situ, beliau banyak bergaul dengan kanak-kanak tempatan hingga meningkat remaja.

Sebelum bekerja sebagai juru cakap Hamas, beliau merupakan seorang wartawan penyiaran di salah satu stesen televisyen berbahasa Inggeris di Mesir.

“Masalah manusia adalah paling penting, terutama krisis kemanusiaan. Saya sedih tempat kelahiran saya di sebuah perkampungan berhampiran Pelabuhan Ashdod kini menjadi wilayah Israel selatan.

“Pencabulan terang-terangan rejim Zionis menyebabkan kami sekeluarga hilang tempat tinggal. Kini, kami terpaksa tinggal di Rafah iaitu sempadan Gaza-Mesir,” katanya.

Keadaan itu menyebabkan bekas pelajar Universiti Islam Gaza ini nekad berkhidmat di Gaza bagi memperjuangkan haknya sama seperti penduduk Palestin lain.

Pelantikan

Ketua biro perhubungan kerajaan, Ihab al-Ghussein berkata, keputusan untuk melantik Israa dibuat berlandaskan kefasihan beliau bertutur dalam bahasa Inggeris.

Ia juga merupakan satu strategi buat gerakan itu memudahkan komunikasi secara langsung dengan dunia luar terutama Barat.

“Israa juga adalah seorang aktivis dalam memperjuangkan hak Palestin. Pelantikan beliau juga menyaksikan kebangkitan generasi dalam membarisi kerajaan Hamas.

“Beliau mewakili suara belia. Pandangan beliau amat penting untuk kemajuan Palestin,” katanya.

Pendekatan

Kelantangan beliau berbicara dan melontarkan pandangan dalam wawancara ‘Menangani media Barat dan Israel’ suatu ketika dahulu menjadi kerisauan Barat dan Israel.

Beliau dengan sinis menyatakan Barat dan Israel dengan mudah membeli media untuk menutup pekung dan onar yang mereka lakukan terhadap penduduk Palestin.

“Media Barat dan Israel memberikan gambaran berbeza tentang Palestin dan Gaza. Tugas saya kini adalah membongkar semua fakta yang sebelum ini diputar belitkan oleh mereka untuk mengaburi mata masyarakat dunia. Media Israel selama ini banyak

memalsukan fakta-fakta termasuk menukar sejarah negara mereka sendiri,” katanya.

Pada permulaan pelantikan,  beliau banyak menumpukan pada masalah pencatuan elektik dan menaik taraf pendidikan kanak-kanak di Gaza.

“Kanak-kanak harus diterapkan dengan seberapa banyak ilmu kerana mereka adalah generasi pemimpin masa depan,” katanya.

Kehadiran tepat pada masanya

Kehadiran beliau sebagai sebahagian daripada kerajaan Hamas adalah tepat pada masanya. Ketika pelantikan seorang menteri wanita tunggal dalam kerajaan Jamilla Al Shanti, gandingan dua wanita ini dianggap pelengkap dalam kesaksamaan hak wanita dan lelaki.

Kehadiran wanita dalam pentadbiran menyaksikan wanita Palestin juga layak memegang jawatan tertinggi dalam kerajaan sekali gus melenyapkan tanggapan bahawa pemerintahan Islam sering mengetepikan hak wanita.

Pelantikan Israa di buat tatkala Hamas menghadapi sekatan ekonomi enam tahun oleh Israel. Selain itu, tentera Zionis juga kerap menyerang penduduk Palestin tanpa sebab dan kehadiran beliau juga penuh cabaran apabila pergerakan Ikhwanul Muslim Mesir yang merupakan sekutu kuat Hamas dilabelkan sebagai pengganas.

Cabaran

Kini, tugas Israa semakin berat apabila sekatan ekonomi masih dilakukan Israel sejaka 2007 di Genting Gaza. Tidak hanya itu, beliau juga harus menjadi individu paling penting dalam rundingan konflik antara Fatah dan Hamas. Seperti diketahui, kedua duannya masih berhadapan krisis sejak Hamas meraih kemenangan dalam pilihan raya 2006  dan 2007 hingga menyebabkan pentadbiran Palestin terbahagi kepada dua pentadbiran di mana Hamas menguasai wilayah Gaza dan Fatah mentadbir di Tebing Barat.

Selain itu, genting gaza juga berhadapan kemelut apabila import dan eksport di Genting Gaza dihadkan  hingga  membawa kepada krisis kemanusiaan.

Peningkatan serangan Israel sejak 2008 hingga 2011 yang mengorbankan lebih 1,400 penduduk di Gaza termasuk kemusnahan infrastruktur juga terpikul dibahu beliau.

Tidak gentar

Israa sedar  berada sebaris dengan pemimpin Hamas bukan suatu perkara mudah. selain mengorbankan tenaga beliau juga memperjudikan nyawanya.

“Saya tidak mahu takut dengan perkara yang belum berlaku, jika saya meninggal dunia di tangan Zionis  anggaplah pengorbanan itu adalah untuk negara saya,” katanya.

Baginya, permainan kotor dan kekejaman Israel perlu dibongkar supaya masyarakat dunia tahu mengapa hingga kini Palestin masih memperjuangkan hak negaranya.

“Walaupun saya disekat daripada mengeluarkan pendapat sama seperti wartawan di Gaza, namun pendedahan telus harus disebarkan. Jangan mimpi saya mahu meminta maaf kepada Israel kerana segala yang saya suarakan dari pengalaman dan bukti bukan kerana emosi,” katanya.

Nama baharu kerajaan Palestin


GAZA 19 Mei - Kerajaan pakatan perpaduan Palestin akan diberi nama baharu oleh Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan pergerakan Hamas yang akan dimuktamadkan dalam tempoh beberapa hari lagi, menurut pegawai kanan Hamas semalam.
Penasihat Perdana Menteri Hamas, Bassem Naim berkata, ahli pergerakan Fatah yang memimpin PLO akan bertemu dengan pegawai Hamas di sini minggu ini bagi memutuskan rundingan.
“Pegawai pergerakan Fatah, Azzam al-Ahmad akan tiba di Gaza Rabu dan Khamis ini bagi mengadakan pertemuan dengan delegasi Hamas untuk mencapai kata sepakat.
“Kami menjangkakan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas akan mengumumkan perkara tersebut pada minggu depan," katanya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140520/lu_10/Nama-baharu-kerajaan-Palestin#ixzz32CinZYEb
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Saturday, 17 May 2014

Petaka 66 tahun


Dalam kalangan aktivis Palestin di seluruh dunia, tarikh 15 Mei setiap tahun mengingatkan mereka kepada penghapusan etnik bersistematik dijalankan rejim Zionis sebelum dan pada 1948.

Selepas 66 tahun, Hari Malapetaka (Yawm an-Nakbah) itu terus dikenang - sama ada di Palestin sendiri, atau di serata tempat di dunia - dan keadilan untuk rakyat yang diusir masih belum diperoleh.



Bagi penduduk Palestin sendiri, 15 Mei setiap tahun adalah hari mengenang masa silam dan mengharap masa depan.

Keadaan semasa membuktikan peristiwa Nakbah itu masih berterusan sehingga ke hari ini - dengan penduduk Yahudi terus mengusir warga Palestin dari tanah air sendiri.


Projek petempatan di Baitulmaqdis dan Tebing Barat adalah manifestasi jelas gerakan terancang Tel Aviv mahu membanjirkan tanah Palestin dengan penduduk Yahudi.


Undang-undang kuku besi - dan tembok besi - pula memisahkan keluarga dan saudara-mara di wilayah itu.

Dasar perumahan yang ditetapkan pula sengaja direka untuk menghalang pertumbuhan komuniti Palestin.

Apa yang berlaku ke atas penduduk Palestin dari 1946 hingga 1949 memang tidak dapat diubah.

Program pengusiran terancang militia Israel bermatlamatkan untuk membentuk wilayah Yahudi di atas tanah Palestin secara paksa.

Gerakan fanatik Zionisme dikatakan bermula di Eropah pada akhir 1980-an bertujuan untuk membentuk negara Israel dan Palestin kemudian dipilih untuk merealisasikan impian itu.

Ketika ia bermula, populasi Palestin dianggarkan 96 peratus adalah penduduk bukan Yahudi.

Melalui pelbagai strategi selama beberapa dekad, pemimpin Zionis perlahan-lahan menjayakan perancangan mereka untuk bertapak di situ.

Strategi mereka ialah: * Menggalakkan perpindahan Yahudi ke Palestin Sebahagian daripada kempen itu dijalankan dengan berselindung di sebalik slogan “tanah tanpa penghuni untuk rakyat tanpa tanah.” Hakikatnya, tanah yang dirampas itu sudah berpenghuni.

* Meyakinkan ‘kuasa besar’ menyokong proses migrasi Sesetengah pihak mendakwa, Zionis berpakat dengan British dan AS untuk membantu gerakan berkenaan.

Mereka turut cuba mendapatkan bantuan kerajaan Uthmaniyah, tetapi ditolak.

Pelobi Zionis berjanji untuk memenangkan ahli politik AS yang membantu mereka melaksanakan projek berkenaan.

* Membeli tanah (kadang-kadang melalui penipuan) Selepas mana-mana tanah ditukar milik, orang Yahudi enggan membenarkan ia didiami atau dikerjakan oleh mana-mana individu bukan Yahudi.

* Keganasan Biasanya langkah ini diambil selepas tawaran berbentuk kebendaan gagal atau lambat membuahkan hasil.

Pada 1930-an, pemilikan tanah dalam kalangan penduduk Yahudi meningkat daripada hanya kira-kira 1 peratus menjadi 6 peratus.

Turut meningkat ialah kekerapan keganasan dengan kemunculan beberapa kumpulan samseng Zionis.

Sesetengah daripada mereka kemudian muncul sebagai pemimpin Israel beberapa tahun kemudian.

Antara tempoh 1947 hingga 1949, sekurang-kurangnya 750,000 warga Palestin - termasuk wanita dan kanak-kanak - diusir dari rumah sendiri melalui paksaan.

Kejadian itu dikenali sebagai Yawm an-Nakbah.

Tentera Zionis juga didapati melakukan 33 pembunuhan beramai-ramai dan memusnahkan 531 bandar Palestin.

Penulis, Author Norman Finkelstein melaporkan, seorang bekas pegawai kanan tentera Israel mengakui dalam hampir setiap petempatan yang ditawan, jenayah perang - seperti pembunuhan dan rogol - dilakukan.

Sejarawan Israel, Uri Milstein, malah menyatakan dengan lebih terbuka: “Setiap kali pertempuran berlaku, ia akan berakhir dengan pembunuhan beramai-ramai penduduk Arab.” Bekas pegawai Palang Merah Sweden - yang pernah menyelamatkan ribuan Yahudi ketika Perang Dunia Kedua - Folke Bernadotte berkata, larangan terhadap penduduk Palestin kembali ke tanah sendiri bercanggah dengan prinsip keadilan.

Ternyata nasib Bernadotte tidak lebih baik daripada Palestin.

Dia akhirnya dibunuh ejen risikan Israel diketuai Yitzhak Shamir yang kemudian menjadi Perdana Menteri Israel ketujuh (Oktober 1986 hingga Julai 1992).

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/17

Tentera rejim Zionis tembak mati dua pemuda Palestin



SEKUMPULAN penduduk mengusung jenazah dua pemuda Palestin yang mati ditembak tentera Israel untuk dikebumikan di Ramallah semalam.


RAMALLAH - Tentera Israel menembak mati dua pemuda Palestin dalam satu tunjuk perasaan di Tebing Barat kelmarin yang diadakan sempena ulang tahun ke-66 penubuhan negara Israel.
Sumber keselamatan dan perubatan memberitahu bahawa, dua pemuda tersebut, Musaab Nuwarah, 20, dan Mohammed Udeh, 17, mati selepas ditembak di dada oleh askar Israel.
Dua pemuda itu menyertai berpuluh-puluh penunjuk perasaan berhampiran penjara Ofer bagi mendesak pembebasan beribu-ribu penduduk Palestin yang ditahan pihak berkuasa Israel.
Tunjuk perasaan tersebut juga diadakan sempena 'Hari Nakba' atau Hari Bencana kerana tertubuhnya negara Israel pada 14 Mei 1948.
Ini kerana penubuhan negara Yahudi telah menyebabkan 750,000 penduduk Palestin terpaksa melarikan diri atau diusir dari tanah air mereka selepas tercetusnya perang Arab-Israel pada tahun 1948.
Tentera Israel dalam satu kenyataan mengesahkan pertempuran dengan seramai 150 penunjuk perasaan dan askarnya menggunakan peluru getah untuk menyuraikan tunjuk perasaan.
Kejadian itu menyebabkan jumlah penduduk Palestin yang mati dibunuh tentera Yahudi di Tebing Barat pada tahun ini sahaja meningkat kepada 11 orang.
Beberapa tunjuk perasaan turut diadakan di Nablus di Hebron dan di barat Baitulmuqaddis yang menyebabkan berpuluh-puluh penduduk Palestin ditahan pihak berkuasa Israel. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0517&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz31v3xHMlf 
Hakcipta terpelihara 

Friday, 16 May 2014

Palestin sedang mengajar kita

Palestin sedang mengajar kita

Palestin yang sedang ditindas, diinjak dan dirobek oleh musuh-musuh kita, sebenarnya sedang berbicara dengan kita, menyuruh agar kita melihat dan belajar bagaimana erti tidak menyerah kalah atau tunduk hina.

Perjuangan diteruskan selagi nyawa dikandung badan!