Thursday, 16 June 2016

Baitulmaqdis dikawal ketat


12 JUN 2016

Masjid al-Aqsa


Masjid al-Aqsa
BAITULMAQDIS - PALESTIN.Pihak berkuasa di Baitulmaqdis diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga ketika penduduk Palestin menunaikan solat Jumaat di Haram al-Sharif yang turut menempatkan Masjid al-Aqsa, dua hari selepas insiden serangan tembakan yang meragut empat nyawa di Tel Aviv.

Ribuan polis, pengawal sempadan dan anggota sukarelawan turut dikerah membuat rondaan di sekitar kota lama, kawasan kejiranan dan perkampungan didiami komuniti Arab di Baitulmaqdis Timur.

Terdahulu, jurucakap rejim Zionis memaklumkan mereka tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang cuba menggugat keamanan di wilayah itu.

Sehingga kini, Tel Aviv masih tidak menarik balik penggantungan ke atas puluhan ribu permit masuk penduduk Palestin di Tebing Barat walaupun dikritik banyak pihak. - AFP

Zionis potong bekalan air


16 JUN 2016

Zionis potong bekalan air


Zionis potong bekalan air Tindakan Israel memotong bekalan air terutamanya ketika musim panas dan bulan Ramadan menjejaskan puluhan ribu rakyat Palestin.
TEBING BARAT - PALESTIN. Rejim Zionis dilaporkan memotong bekalan air ke kawasan utama di utara Tebing Barat, sekali gus menyebabkan puluhan ribu rakyat Palestin terputus akses kepada air minuman pada bulan Ramadan.

Antara kelompok sasaran adalah di bandar Jenin, beberapa kampung di kawasan Nablus, bandar Salfit serta kampung di sekitarnya.

Pengarah Eksekutif Hidrologi Kumpulan Palestin, Ayman Rabi berkata, penduduk di sesetengah kawasan tidak menerima air bersih selama lebih 40 hari.

"Orang ramai bergantung kepada pembelian air daripada lori atau mencari dari sumber alternatif seperti mata air atau mana-mana kawasan lain di sekitar mereka. ," katanya.

Sementara itu, menurut Datuk Bandar Jenin, Ragheb Al Haj Hassan, pemotongan air dilakukan tanpa sebarang notis dan penduduk terjejas teruk terutamanya dalam cuaca panas pada bulan puasa.

Jenin yang mempunyai kepadatan penduduk lebih 40,000 orang turut memberi amaran akan meletakkan tanggungjawab sepenuhnya ke atas pembekal air utama Mekorot, jika berlaku sebarang tragedi tidak diingini disebabkan kekurangan air semasa musim panas ini. - Al Jazeera

Sunday, 12 June 2016

Israel dikecam gagal selesai konflik Palestin secara baik


Bapa mangsa tembakan mahu rejim Zionis hentikan pertumpahan darah
12 Jun 2016 12:06 AM
AHLI keluarga dan rakan-rakan meratapi kematian Ido Ben Ari semasa

AHLI keluarga dan rakan-rakan meratapi kematian Ido Ben Ari semasa majlis pengebumian mangsa di Tel Aviv, baru-baru ini. AGENSI
TEL AVIV 11 Jun - Bapa kepada salah seorang mangsa kejadian tembakan di sebuah pasar raya di sini mengecam rejim Israel kerana gagal melakukan usaha secukupnya untuk menyelesaikan konflik Israel-Palestin.
Menurut Jewish Telegraphic Agency, lelaki tersebut iaitu bapa kepada mangsa, Ido Ben Ari, yang tidak mahu namanya disiarkan turut mengkritik tindak balas rejim itu terhadap Palestin.
Malah menurutnya, pemimpin-pemimpin Israel yang dilantik secara demokrasi perlu mencari jalan penyelesaian strategik, bukannya melemparkan kenyataan yang menimbulkan kebencian.
“Selepas serangan tersebut, Perdana Menteri (Benjamin Netanyahu) dan dua orang mente­ri tiba di lokasi kejadian tetapi dalam masa yang sama seorang anggota Kabinet mengeluarkan arahan untuk tidak memulangkan jenazah rakyat Pa­lestin, me­ngadakan sekatan, memusnahkan rumah-rumah rakyat Palestin dan menjadikan keadaan lebih sukar,” katanya.
Lelaki berusia 42 tahun itu berkata, penyelesaian yang dibuat itu mewujudkan penderitaan, kebencian dan kesedihan malah mendorong lebih banyak penduduk untuk menyertai keganasan.
“Apa yang diperlukan ialah penyelesaian daripada hanya me­ngatakan sepanjang masa bahawa tiada siapa yang perlu berdamai. Kami memilih kamu untuk menghentikan pertumpahan darah dan sekarang sudah 49 tahun kamu cuba menyelesaikan masalah namun gagal. Sudah tiba masanya untuk mencari penyelesaian strategik,’’ katanya semasa menghadiri pengebumian anaknya itu di Yavne dekat sini.
Ben Ari dari Ramat Gan merupakan antara empat mangsa yang terbunuh dalam kejadian tembakan oleh dua rakyat Palestin di pasar Sarona di tengah Tel Aviv, kelmarin.
Dalam kejadian tersebut, Ben Ari sedang makan malam bersama-sama isteri dan dua anaknya di Restoran Benedict dan dalam kejadian itu isterinya turut cedera.
Susulan itu, Israel bertindak memba­talkan permit 83,000 penduduk Palestin dari Baitulmaqdis untuk pergi ke Gaza sepanjang Ramadan ini.
Penyelaras Aktiviti-Aktiviti Kerajaan di Tebing Barat (COGAT) dalam satu kenyataan berkata, langkah itu menjejaskan ramai penduduk Palestin manakala permit 500 penduduk Gaza untuk melawat ahli keluarga mereka dan Masjid al-Aqsa sepanjang Ramadan ini juga dibekukan.
Dalam pada itu, Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melihat tindakan Israel itu sebagai ‘hukuman kolektif’, yang dilarang di bawah undang-undang antarabangsa.
Biarpun mengutuk serangan oleh warga Palestin itu, beliau turut melahirkan kebimbangan mendalam terhadap tindakan susulan Israel.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/israel-dikecam-gagal-selesai-konflik-palestin-secara-baik-1.341306#sthash.EY1ISX24.dpuf

Saturday, 11 June 2016

Rejim Zionis enggan serah mayat penduduk Palestin


11 Jun 2016 1:04 AM



JERUSALEM 10 Jun – Menteri Hal Ehwal Ketenteraan Israel, Avigdor Lieberman yang baharu dilantik ke jawatan itu mengarahkan mayat penduduk Palestin yang terkorban di tangan tentera Israel ketika cuba melancarkan serang­an tikaman atau rem­puhan kereta, tidak akan diserahkan kepada keluarga Palestin terbabit untuk urusan pengebumian, ekoran insiden serangan tembakan di Pasar Sarona, Tel Aviv, kelmarin.
Lieberman mengeluarkan arah­an itu, semalam selepas mesyu­arat Kabinet Israel membincangkan pendekatan yang perlu diambil ekoran insiden tembakan di Pasar Sarona itu, yang mengorbankan empat penduduk Israel dan mencederakan enam yang lain, lapor harian Haaretz.
Menteri Keselamatan Awam Israel, Gilad Erdan turut mencadangkan supaya Israel menghentikan sepenuhnya penghantaran mayat penduduk Palestin dan urusan penge­bumian penduduk Palestin yang terkorban kerana melancarkan serangan ke atas Israel semasa Intifada Kedua, yang bermula dari September 2000 sehingga Februari 2005 dan meragut kira-kira 3,000 nyawa.
Seorang pegawai kanan Israel yang memaklumkan tentang keputusan mesyuarat Kabinet Israel itu, turut berkata, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu telah mengarahkan Majlis Keselamatan Negara membuat persiapan untuk urusan pengebumian penduduk Palestin yang terbunuh itu dan meneliti kesan yang bakal berlaku ekoran keputusan Kabinet Israel itu,
Laporan itu dikeluarkan ketika Timbalan Menteri Hal Ehwal Ketenteraan, Eli Ben-Dahan, awal semalam berkata bahawa pegawai Israel tidak akan menunjukkan belas kasihan kepada penduduk Palestin yang tinggal di bandar Yatta yang merupakan tempat kelahiran dua penduduk Palestin yang melakukan serangan ke atas Pasar Serona.
“Kehidupan di Yatta tidak akan berjalan seperti biasa lagi,” kata­nya, sambil menambah kata, tentera Israel telah mengepung bandar itu.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/rejim-zionis-enggan-serah-mayat-penduduk-palestin-1.340989#sthash.vO6GwRwR.dpuf

Friday, 10 June 2016

Kahwin Pilihan Sendiri, Ibu Bakar Anak Hidup-Hidup


Diterbitkan: Khamis, 9 Jun 2016 8:17 AM

Zeenat dibakar hidup-hidup oleh ibunya kerana mengahwini lelaki pilihan sendiri yang tidak direstui keluarga.

DIKEMASKINI
LAHORE (Pakistan): Seorang ibu warga Pakistan membakar anak perempuannya berusia 16 tahun hidup-hidup kerana mengahwini seorang lelaki pilihan sendiri.
Dia kemudian bertindak keluar rumah sambil menjerit ke arah jiran-jiran dengan memberitahu bahawa dia telah membunuh anaknya yang memalukan mereka sekeluarga.
Menurut polis, mangsa, Zeenat, 16 dibakar oleh ibunya sendiri, Perveen di Lahore selepas lebih seminggu remaja itu memperoleh kad pengesahan perkahwinannya.
"Perveen telah membunuh anak perempuannya, Zeenat dengan membakarnya hidup-hidup pada pukul 9 pagi (waktu tempatan) Rabu," kata seorang pegawai kanan polis, Haidar Ashraf kepada AFP.
Tambah Haidar Ashraf, mangsa berkahwin dengan seorang lelaki bernama Hasan Khan pada 29 Mei lalu.
Menurut keluarga mangsa, perbezaan etnik Khan dari etnik Pashtun manakala Zeenat seorang Punjabi merupakan punca utama perkahwinan mereka tidak direstui. - AFP

Empat Maut Serangan Lelaki Bersenjata Di Kafe Tel Aviv


Diterbitkan: Khamis, 9 Jun 2016 7:04 AM

Rakaman kameran kitar tertutup (CCTV) menunjukkan dua lelaki bersenjata berpakaian sut melancarkan serangan di sebuah restoran di Tel Aviv.

SEKUMPULAN lelaki bersenjata yang berpakaian sut melancarkan serangan di Tel Aviv, mengakibatkan sekurang-kurangnya empat maut.
Kira-kira enam orang lagi cedera dalam insiden tembakan di sebuah restoran di tengah bandar Israel.
Seorang mangsa dipercayai merupakan kanak-kanak berusia empat tahun dalam keadaan kritikal.
Pasukan perubatan berusaha untuk menyelamatkan salah seorang mangsa yang cedera.
Polis Israel menyifatkan insiden tembakan tersebut sebagai serangan yang menyasarkan rakyat negara itu.
Pegawai mengesahkan dua lelaki bersenjata terlibat dalam serangan itu, di mana salah seorang telah ditahan manakala seorang lagi dilaporkan cedera.
Jurucakap polis, Luba Samri dalam satu kenyataan berkata, kumpulan pengganas yang melancarkan serangan itu merupakan hubungan sepupu dari daerah Hebron.
Difahamkan, pihak polis sedang memburu suspek ketiga dipercayai melarikan diri.
Polis menahan salah seorang suspek.
Menurut polis, mangsa yang cedera merupakan mereka yang berada di kafe di sebuah kompleks.
Tambah mereka, senjata yang digunakan penyerang telah ditemui.
Insiden berlaku di kawasan yang dipenuhi dengan pelbagai kafe dan restauran popular, dekat dengan ibu pejabat ketenteraan dan kawasan Kementerian Pertahanan. - Mail Online

Israel hukum Palestin


Tentera rejim Zionis meningkatkan pemeriksaan di laluan masuk perkampungan Yatta yang dihuni penduduk Palestin di Tebing Barat.
TEL AVIV - PALESTIN. Israel, semalam, mengumumkan telah menggantung permit masuk puluhan ribu penduduk Palestin susulan insiden tembakan yang menyebabkan empat maut dan 16 cedera.
Unit pengendali hal ehwal orang awam di Tebing Barat (Cogat) memaklumkan kesemua permit Ramadan terutamanya melibatkan lawatan keluarga dari Judea dan Samaria ke Tel Aviv telah dibekukan.
Menurut jurucakapnya, kira-kira 83,000 penduduk Palestin termasuk ratusan penduduk Genting Gaza akan terkesan akibat langkah itu.
Difahamkan, keputusan mengejut itu dibuat selepas serangan berhampiran ibu pejabat tentera Israel, kelmarin, yang disifatkan sebagai insiden terburuk setelah wilayah itu dilanda gelombang keganasan sejak beberapa Oktober lalu.
Tel Aviv turut membekukan permit 204 ahli keluarga salah seorang penyerang dalam kejadian itu.
Minggu lalu, Israel mengumumkan ia akan melonggarkan sekatan terhadap pergerakan penduduk Palestin di Tebing Barat dan wilayah Gaza sepanjang Ramadan.
Ia juga merancang untuk membenarkan kira-kira 500 penduduk Genting Gaza menunaikan solat Jumaat di pekarangan Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur. - AFP

Serangan di Tel Aviv, 
4 penduduk Israel maut


BEBERAPA orang anggota polis Israel berkawal di hadapan pintu

BEBERAPA orang anggota polis Israel berkawal di hadapan pintu masuk sebuah restoran berhampiran Pasar Sarona di Tel Aviv, semalam berikutan serangan penduduk Palestin di kawasan itu yang mengorbankan sekurang-kurangnya empat penduduk Israel dan mencederakan enam yang lain. AP
TEL AVIV 9 Jun – Israel memba­talkan permit 83,000 penduduk Palestin dari Baitulmaqdis untuk pergi ke Gaza sepanjang Ramadan ini, berikutan insiden serangan ke atas sebuah pasar raya di sini malam tadi, yang menyaksikan empat penduduk Israel terbunuh dan enam yang lain cedera.
Dalam kejadian itu, dua penduduk Palestin melepaskan tembakan rambang di Pasar Sarona berhampiran ibu pejabat tentera Israel, mencetuskan situasi panik dengan kedua-dua penyerang berkenaan yang berasal dari Hebron berjaya diberkas.
Menurut Facebook Aman Palestin, seorang penyanyi Israel, Sharon Holzman turut terbunuh dalam serangan itu.
Penyelaras Aktiviti-Aktiviti Kerajaan di Tebing Barat (COGAT) dalam satu kenyataan berkata, sebanyak 83,00 penduduk Palestin terjejas dengan langkah itu, manakala permit 500 penduduk Gaza untuk melawat ahli keluarga mereka dan Masjid al-Aqsa sepanjang Ramadan ini juga dibekukan sejak Isnin lalu.
Selain itu kata agensi berkenaan, permit kepada 204 orang saudara mara penyerang yang terbabit dalam serangan di Tel Aviv turut dibekukan.
“Kesemua permit untuk Ramadan terutamanya permit untuk melawat keluarga dari Judea dan Samaria ke Israel, dibekukan,” kata Cogat.
Dalam pada itu, pegawai kanan Hamas di Gaza, Mushir al-Masri berkata, pergerakan itu merestui serangan di Tel Aviv dan menyifatkan ia sebagai tindak balas terhadap jenayah Israel ke atas penduduk Palestin di Tebing Barat dan Gaza.
“Operasi ini dilakukan selepas satu tempoh masa dengan ada yang percaya intifada terhenti selepas penahanan dan kerjasama keselamatan, namun insiden itu menunjukkan intifada sedang berlaku,” katanya. – AFP/DPA
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/serangan-di-tel-aviv-8232-4-penduduk-israel-maut-1.340575#sthash.eGz1W1v6.dpuf

Tuesday, 7 June 2016

Provokasi Israel menjelang Ramadan

Provokasi Israel menjelang Ramadan
7 JUN 2016

Peserta perarakan itu turut berhimpun di Tembok al-Buraq atau Tembok Barat di kawasan al-Aqsa. 

BAITULMAQDIS - PALESTIN. Ribuan penduduk Israel, kelmarin menyertai perarakan kontroversi di kota lama Baitulmaqdis yang dilihat sebagai tindakan provokasi menjelang ketibaan Ramadan.
Insiden pergelutan turut berlaku antara peserta protes dan beberapa penduduk Palestin ketika perhimpunan yang sengaja diadakan serentak sempena ulang tahun ke-49 pencerobohan Israel ke atas Baitulmaqdis.
Menurut saksi, kejadian itu tercetus selepas kumpulan ekstremis Yahudi itu bertindak melaungkan slogan provokatif mengancam untuk membakar Masjid al-Aqsa yang menjadi pertikaian di wilayah tersebut.
Selain itu, arahan yang dikeluarkan supaya peniaga Palestin di laluan tersebut supaya menutup kedai mereka juga tidak dihiraukan.
"Saya tidak takut. Ini kedai saya dan Baitulmaqdis milik kami," kata tukang jahit di Pintu Damsyik, Ahmed Dandes. 
Khamis lalu, mahkamah Israel menolak petisyen dikemukakan organisasi bukan berasaskan keuntungan Ir Amim dan Amir Cheshin untuk melarang perarakan itu sebagai langkah mengelakkan sebarang pertempuran tercetus.
Dalam insiden berasingan, kira-kira 208 pelampau Yahudi menceroboh pekarangan al-Aqsa dengan diiringi rejim Zionis,
 Difahamkan, pengawal turut bertindak menghalang perbuatan biadab mereka yang cuba untuk melakukan upacara keagamaan di masjid ketiga paling suci orang Islam itu. - Press TV

Netanyahu akui terima sumbangan 1 juta Euro daripada lelaki Perancis


BAITULMAQDIS 6 Jun - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengaku telah menerima sumbangan daripada seorang hartawan Perancis yang kini dibicarakan atas dakwaan menipu.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu
BENJAMIN NETANYAHU
Bagaimanapun, Netanyahu mendakwa sumbangan tersebut bukan untuk politik sebaliknya bertujuan mempromosikan Israel.
Dalam pada itu, hartawan berkenaan, Arnaud Mimran dalam satu perbicaraan di Perancis memberitahu, dia telah menyerahkan satu juta Euro (RM4.65 juta) untuk membantu kempen Netanyahu pada 2001.
Dakwaan itu kemudian tersebar ke seluruh Israel dan peguam negara tersebut mula meneliti keterangan Mimran. - AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/netanyahu-akui-terima-sumbangan-1-juta-euro-daripada-lelaki-perancis-1.339389#sthash.qHB89CUY.dpuf

Wednesday, 1 June 2016

Mahu dakwa isteri Netanyahu


Sara Netanyahu.
TEL AVIV - Polis Israel bercadang untuk mengenakan tuduhan jenayah ke atas isteri Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu yang disyaki menyalahgunakan dana negara dan perbelanjaan isi rumah yang melambung tinggi.
Kelmarin, jurucakap pihak berkuasa memaklumkan mereka telah merumuskan siasatan ke atas Sara Netanyahu dan mengemukakan laporan tersebut kepada pendakwa raya.
Difahamkan, tuduhan ke atas isteri pemimpin itu melibatkan penyalahgunaan dana bagi menjaga bapanya yang uzur sebelum dia meninggal dunia selain berbelanja besar untuk makanan mewah.  
Bagaimanapun, Netanyahu menafikan dakwaan tersebut melalui Facebook selain turut mempertahankan isterinya. - Press TV

Muslihat Netanyahu?


Lieberman (kiri) bercakap ketika sidang media bersama Netanyahu selepas majlis mengangkat sumpah di Knesset, kelmarin.
TEL AVIV - ISRAEL. Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu membuat pengumuman mengejutkan dengan menyatakan ia bersedia untuk mengadakan rundingan damai berdasarkan Inisiatif Arab sejurus Avigdor Lieberman mengangkat sumpah sebagai Menteri Pertahanan baharu.
"Saya tetap komited untuk berdamai dengan Palestin dan negara lain di rantau ini. Inisiatif Arab tersebut merangkumi elemen positif yang dapat membantu memulihkan rundingan membina dengan Palestin," katanya.
Bagaimanapun, beberapa pihak melihat ia mungkin muslihat terbaharu Netanyahu selepas Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi berjanji untuk memulihkan semula hubungan dengan Tel Aviv jika ia menerima usaha menyambung semula rundingan damai pada minggu lalu.
Pemimpin tersebut turut menyambut baik tawaran al-Sisi untuk memperluaskan keselamatan dan keamanan di rantau terbabit.
Lieberman yang sebelum ini pernah mengkritik Mesir juga bersetuju dengan kenyataan Netanyahu selain mengulangi sokongan parti pimpinannya, Yisrael Beitenu terhadap penyelesaian dua negara itu.   
Pada 2013, Netanyahu menyatakan kesediaannya untuk mempertimbangkan inisiatif tersebut selepas syaratnya termasuk pertukaran tanah antara Israel dan Palestin dilonggarkan. - Reuters

Monday, 30 May 2016

1,000 hadiri pengebumian mangsa kekejaman Israel


Kebumi
Kira-kira 1,000 orang menghadiri majlis pengebumian Abdel-Fattah al-Sharif, semalam. - AP
TEBING BARAT 29 Mei - Lebih 1,000 orang menghadiri pengebumian seorang warga Palestin yang ditembak dan dibunuh oleh seorang tentera Israel ketika dia terbaring selepas melancarkan melancarkan serangan ke atas rejim Israel pada Mac lalu.
Sebuah rakaman video menunjukkan mangsa, Abdel-Fattah al-Sharif ditembak oleh tentera berkenaan dan tentera itu kini sedang menghadapi perbicaraan kerana membunuh.
Kejadian itu menjadi perhatian dunia, apabila beberapa pegawai pertahanan mengutuk tindakan tentera berkenaan. - AP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/1-000-hadiri-pengebumian-mangsa-kekejaman-israel-1.335925#sthash.k0mpY6Vm.dpuf

Israel rejim autokrasi, diskriminasi perkauman


Perdana Menteri Perancis, Manuel Valls (kanan) dan Perdana Menteri
Perdana Menteri Perancis, Manuel Valls (kanan) dan Perdana Menteri Palestin, Rami Hamdallah bertemu di Ramallah, Tebing Barat baru-baru ini bagi membincangkan pelan damai Asia Barat anjuran Perancis. AFP
KAHERAH 29 Mei – Liga Arab mengutuk Israel sebagai satu-satunya rejim berfahaman autokrasi dan pengamal diskriminasi perkauman yang masih wujud di dunia ini susulan tindakan rejim Zionis menangguhkan rundingan damai dengan Palestin yang diusahakan oleh Perancis.
Ketua pertubuhan itu, Nabil al-Araby dalam kenyataannya selepas mengadakan pertemuan dengan menteri luar negara Arab berkata, pihak­nya menyokong penuh usaha yang dilaksanakan Paris bagi mencari jalan perdamaian di Asia Barat apabila resolusi berhubung perkara tersebut diluluskan.
Namun tindakan Israel mahu mengadakan rundingan secara langsung dengan Palestin ditolak oleh Nabil, menyebabkan rejim Zionis menangguhkan perbincangan tersebut.
“Israel menjadi kubu terakhir penyebaran fahaman autokrasi, penjajahan dan diskriminasi perkauman di dunia ini,” katanya.
Semalam, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas turut menyalahkan Israel kerana menangguhkan rundingan damai yang dijadualkan bermula pada pertengahan tahun ini antara beberapa negara termasuk Amerika Syarikat (AS).
“Palestin berusaha bersungguh-sungguh untuk menjayakan perjanjian damai ini, tetapi Israel tidak menghormati komitmen yang ditunjukkan oleh kami,” katanya.
Usaha Perancis melibatkan perbincangan antara menteri-menteri luar beberapa buah negara pada 3 Jun ini tanpa dihadiri oleh wakil Palestin dan Israel.
Kemudian persidangan antarabangsa akan diadakan dengan melibatkan penyertaan Palestin dan Israel dengan harapan konflik di Asia Barat itu akan ditamatkan menerusi perjanjian damai kedua-dua pihak.
Kali terakhir rundingan antara Palestin dan Israel diadakan pada 2014 yang diusahakan oleh AS, tetapi usaha terbabit menemukan kegagalan kerana kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/israel-rejim-autokrasi-diskriminasi-perkauman-1.336406#sthash.lOWJYfJa.dpuf

Sunday, 29 May 2016

Belanda terus boikot Zionis



Aktivis Palestin melekat risalah menggesa untuk memboikot produk Israel di sebuah pasar raya di Tebing Barat. - Foto: AFP
AMSTERDAM - BELANDA . Belanda telah menolak permintaan Israel untuk mengisytiharkan pengharaman kempen antarabangsa yang semakin meningkat berhubung perkara memboikot produk Israel.
Menteri Luar Bert Koenders berkata, kerajaannya telah menerangkan kepada Tel Aviv bahawa rakyat Belanda mempunyai hak untuk menyertai kempen boikot, lupus dan sekat (BDS) itu kerana ia adalah satu bentuk kebebasan bersuara yang diamalkan di negara tersebut.
Belanda merupakan negara kedua di Kesatuan Eropah (EU) yang mengumumkan sokongannya terhadap hak rakyat untuk menyertai kempen BDS menentang rejim Zionis. - Press TV

Friday, 27 May 2016

Kekejaman Israel didedah


Kekejaman Israel didedah
Rakaman video perbuatan tidak berperikemanusiaan rejim Zionis itu turut dikongsi di laman sosial.
TEL AVIV - Dua anggota polis sempadan Israel bersama beberapa pejalan kaki didakwa telah memukul seorang pemuda Palestin di luar pasar raya di Tel Aviv.
Rakaman video yang turut dikongsi di laman sosial itu memaparkan mangsa diminta menunjukkan kad pengenalan diri dan permit penduduk selepas dihampiri dua lelaki berpakaian preman ketika dia sedang membuang sampah di luar premis tersebut.
Menurut saksi, pemuda Palestin berkenaan ditumbuk dan ditendang dengan kejam selepas dia memberitahu kesemua dokumen tersebut berada di dalam pasar raya terbabit.
Mac lalu, rakaman video menunjukkan tentera rejim Zionis menembak penduduk Palestin yang terbaring akibat cedera di bandar Hebron, Tebing Barat, turut mencetuskan kemarahan masyarakat antarabangsa. - Press TV

Tuesday, 24 May 2016

Kekejaman Israel didedah


Kekejaman Israel didedah
Rakaman video perbuatan tidak berperikemanusiaan rejim Zionis itu turut dikongsi di laman sosial.
TEL AVIV - Dua anggota polis sempadan Israel bersama beberapa pejalan kaki didakwa telah memukul seorang pemuda Palestin di luar pasar raya di Tel Aviv.
Rakaman video yang turut dikongsi di laman sosial itu memaparkan mangsa diminta menunjukkan kad pengenalan diri dan permit penduduk selepas dihampiri dua lelaki berpakaian preman ketika dia sedang membuang sampah di luar premis tersebut.
Menurut saksi, pemuda Palestin berkenaan ditumbuk dan ditendang dengan kejam selepas dia memberitahu kesemua dokumen tersebut berada di dalam pasar raya terbabit.
Mac lalu, rakaman video menunjukkan tentera rejim Zionis menembak penduduk Palestin yang terbaring akibat cedera di bandar Hebron, Tebing Barat, turut mencetuskan kemarahan masyarakat antarabangsa. - Press TV

Sunday, 22 May 2016

Zionis bebaskan wartawan, aktivis Palestin


Zionis bebaskan wartawan, aktivis Palestin
al-Qeeq (kiri) disambut oleh ahli keluarganya sebaik sahaja dibebaskan. - Foto EPA
BAITULMAQDIS - Aktivis dan juga wartawan Palestin yang mengadakan mogok lapar selama tiga bulan selepas ditahan rejim Zionis tanpa dakwaan sejak 21 November lalu akhirnya dibebaskan.
Mohammed al-Qeeq, 33, melancarkan mogok selama 94 hari sebagai protes terhadap layanan pihak berkuasa Israel terhadapnya, sebelum mencapai perjanjian pada Februari yang membawa kepada pembebasannya, kelmarin.
Sebelum ini, dia pernah dipenjara tiga kali kerana didakwa mempunyai kaitan dengan aktiviti pejuang Hamas.
Sepanjang penahanannya, Qeeq menuntut Israel supaya mendakwa atau membebaskannya dari pusat tahanan tentera tersebut.  - Al Jazeera

Wednesday, 18 May 2016

68 tahun selepas peristiwa Nakba


Peristiwa Nakba menyaksikan antara 750,000 dan sejuta penduduk Palestin diusir dari kampung halaman mereka pada 1948.
“PERISTIWA Nakba tidak pernah berakhir, malah ia berterusan. Ia masih belum sampai ke penghujung”. Kenyataan itu dikeluarkan oleh Issa Amro, Penyelaras Youth Againts Settlements (YAS), sebuah pertubuhan berpusat di Hebron, Tebing Barat yang menyaksikan sendiri kekejaman rejim Zionis pada setiap hari.
Rancangan jahat Israel yang merampas tanah milik penduduk Palestin dengan tujuan untuk menghapuskan identiti mereka telah bermula sejak peristiwa Nakba dan perlanggaran asas tersebut jelas tidak berakhir 68 tahun lalu.
Ia berterusan sehingga hari ini dalam pelbagai bentuk seperti tindakan diskriminasi, rampasan tanah dan air, perobohan rumah penduduk, penahanan pentadbiran, insiden keganasan didalangi pelampau dan projek penempatan haram Yahudi.
Penduduk Palestin diusir
Nakba dalam bahasa Arab yang bermaksud ‘malapetaka’ menandakan peristiwa yang berlaku pada 1947-49 selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memutuskan untuk membahagikan Palestin kepada dua negara, sekali gus menyaksikan pengusiran antara 750,000 dan sejuta penduduk Palestin dari wilayah mereka (kira-kira satu pertiga telah diusir sebelum perang tercetus antara Israel dan negara Arab).
Ketika itu, tentera separa rejim Zionis turut melakukan pembersihan etnik melalui pembunuhan beramai-ramai, memusnahkan perkampungan dan kediaman selain mengusir penduduk Palestin secara berterusan di bawah rancangan jahat untuk menubuhkan negara Israel.
Lebih dua juta hektar tanah milik Palestin dirampas sehingga penubuhan Israel pada 1948.
Selain itu, lebih 400 bandar Palestin dimusnahkan antara 1948 dan 1950.
Kira-kira 150,000 penduduk Palestin yang tinggal di sempadan juga terpaksa menjadi pelarian.
Pada hari ini, penduduk Palestin di Israel mencecah kira-kira 1.6 juta orang, namun mereka diiktiraf hanya sebagai warga kelas kedua.
Golongan itu turut berdepan sekatan lebih 50 undang-undang yang secara langsung dan tidak langsung adalah satu bentuk diskriminasi terhadap mereka.
Beberapa pemerhati melihat ‘benih’ Nakba yang ditanam oleh kerajaan mandatori Britain di Palestin telah membina ‘sangkar besi’ yang menyekat sebarang usaha kepimpinan di wilayah itu untuk memperoleh kemerdekaan hingga kini.
Dasar tersebut diikat di bawah Deklarasi Balfour pada 1917 yang menjanjikan wilayah Palestin untuk penduduk Yahudi dan Tel Aviv menganggap ia  telah memudahkan lagi tuntutan mereka bagi merampas tanah Palestin.
Gerakan bawah tanah rejim Zionis dikatakan memainkan peranan penting dalam melakukan pembersihan etnik melalui pembunuhan beramai-ramai, jenayah rogol dan pengusiran.
Perbuatan jahat terancang itu telah menyebabkan tiga perempat daripada sejuta penduduk Palestin terpaksa menjadi pelarian.
15 Mei, simpan kisah duka
Hari memperingati peristiwa Nakba telah disambut secara rasmi oleh bekas Presiden dan Pengerusi Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Yasser Arafat pada 1998.
Tarikh 15 Mei tersebut adalah hari untuk generasi baharu Palestin memperingati bagaimana bencana pada 1947-49 itu memberi impak besar sehingga kini.
Selain itu, ia juga menjadi tanda usaha berterusan Palestin untuk menuntut keadilan dan hak asasi mereka di wilayah terbabit.
Situasi berbeza bagi penduduk Palestin yang tinggal di Tel Aviv, tindakan menyambut Nakba membawa padah kepada mereka kerana bakal berdepan tindakan undang-undang yang serius.
Populasi penduduk Palestin di seluruh dunia kini mencecah hampir 12 juta orang dengan lebih 5.3 juta tinggal di Israel, Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqdis.
Jutaan lagi turut tinggal di negara Arab dan majoritinya adalah di Jordan, Lubnan dan Syria.
Bagi mereka, Nakba masih segar dalam ingatan sebagai kisah duka dan derita generasi terdahulu yang tidak mungkin akan dilupakan.
Generasi baharu dalam diaspora Palestin terus menyimpan kenangan kesan daripada peristiwa Nakba.
Sehingga kini, penduduk Palestin masih berdepan sekatan haram Israel, peperangan dan penindasan secara berterusan yang jelas menunjukkan 'malapetaka' itu sememangnya tidak pernah berakhir, lapor huffingtonpost.

Monday, 16 May 2016

Israel bunuh 25 kanak-kanak Palestin dalam tempoh 3 bulan


Dua kanak-kanak perempuan Palestin memakai anting-anting bernombor
Dua kanak-kanak perempuan Palestin memakai anting-anting bernombor 68 dan klip rambut berbentuk kunci sebagai memperingati Hari Nakba di Ramallah, Tebing Barat, kelmarin. AFP
NEW YORK 15 Mei – Israel didakwa membunuh 25 orang kanak-kanak Palestin dalam tempoh tiga bulan terakhir tahun lalu sahaja, sekali gus mencetuskan persoalan tentang penggunaan kekerasan melampau terhadap kanak-kanak Palestin.
Yayasan Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) memberi amaran tentang keadaan tersebut, yang menyaksikan tentera rejim Zionis sering menjadikan kanak-kanak Palestin sebagai sasaran sera­ngan atas alasan kumpulan tersebut cuba menyerang anggota ke­selamatan mereka.
“Kami amat bimbang dengan peningkatan kekerasan terutamanya insiden yang menyaksikan kanak-kanak Palestin ditembak mati oleh tentera Israel,” jelas agensi itu semalam.
Laporan UNICEF pada masa sama mendakwa, lebih 1,300 kanak-kanak Palestin cedera semasa peningkatan keganasan itu yang kebanyakannya berlaku di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.
Tempoh sama turut menyaksikan tiga kanak-kanak Israel cedera di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Barat.
UNICEF memetik contoh kejadian pada 25 Oktober lalu di Hebron, Tebing Barat, melibatkan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang ditahan tentera Israel bagi tujuan pemeriksaan, namun dia ditembak mati de­ngan lima das tembakan.
“Pihak berkuasa Israel men­dakwa remaja itu cuba menikam seorang anggota polis. Namun, menurut saksi, remaja berkenaan tidak menunjukkan sebarang ancaman pada masa dia ditembak, malah menjerit menyatakan dia tidak memiliki pisau,” jelas agensi PBB itu.
Jumlah korban yang direkodkan bagi tempoh dari Oktober hingga Disember lalu amat tinggi, jika dibandingkan antara Julai dan September lalu yang me­nyaksikan hanya empat kanak-kanak Palestin dibunuh, manakala 165 lagi cedera.
UNICEF pada masa sama me­lahirkan kebimbangan tentang jumlah kanak-kanak Palestin berusia antara 12 dan 17 tahun yang ditahan tentera Israel de­ngan mendakwa jumlah itu me­ningkat kepada 422 orang pada penghujung Disember lalu, rekod tertinggi sejak Mac 2009.
Undang-undang Israel membenarkan kanak-kanak Palestin berusia dari umur 12 tahun dibicarakan.
Sejak gelombang keganasan meningkat di wilayah Palestin sejak Oktober lalu, sebanyak 204 penduduk Palestin dan 28 penduduk Israel terkorban. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/israel-bunuh-25-kanak-kanak-palestin-dalam-tempoh-3-bulan-1.326564#sthash.okJYCyo7.dpuf