Monday, 27 October 2014

Polis Israel tahan lima penduduk Palestin


SEKUMPULAN remaja Palestin melontar batu ke arah polis Israel dalam satu bantahan di Silwan berhampiran Ramallah kelmarin.


BAITULMUQADDIS – Polis Israel menahan lima penduduk Palestin dalam pertempuran terbaharu dengan kumpulan penunjuk perasaan di Baitulmuqaddis Timur di sini semalam.
Keadaan di Baitulmuqaddis Timur semakin tegang selepas beratus-ratus penduduk Palestin berhimpun sebelum majlis pengebumian seorang remaja Palestin, Abdelrahman Shaludi semalam.
Shaludi ditembak mati polis Israel pada Rabu lalu selepas dia memandu sebuah kereta sebelum melanggar sekumpulan penduduk Yahudi yang menyebabkan seorang bayi terbunuh.
Ketegangan semakin memuncak selepas tentera rejim Zionis menembak mati seorang remaja Palestin yang juga warganegara Amerika Syarikat, Orwah Hammad dalam satu tunjuk perasaan di Tebing Barat pada Jumaat lalu.
Jurucakap polis Israel, Micky Rosenfeld berkata, keadaan semakin tidak terkawal di kawasan kejiranan Silwan di Baitulmuqaddis Timur di mana majlis pengebumian Shaludi diadakan.
Katanya, beratus-ratus polis tambahan ditempatkan bagi menangani kumpulan tunjuk perasaan Palestin yang membaling batu dan membakar tayar di jalan raya.
“Polis Israel menyuraikan kumpulan penunjuk perasaan yang membaling batu dan menahan seramai lima penduduk Palestin.
“Seramai 400 hingga ke 500 polis tambahan telah dikerahkan ke kawasan tersebut bagi menghalang sebarang kejadian tidak diingini,” katanya. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1027&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3HHvU1TAm 
Hakcipta terpelihara 

India beli peluru berpandu Israel Melibatkan urus niaga bernilai RM1.7 bilion

Peluru berpandu antikereta kebal, Spike buatan Israel. – AGENSI
Peluru berpandu antikereta kebal, Spike buatan Israel. – AGENSI
NEW DELHI 26 Okt. - India, hari ini memilih untuk membeli peluru berpandu antikereta kebal jenis ‘Spike’ dari Israel, sekali gus menolak tawaran pembelian peluru berpandu Javelin dari Washington dalam usaha untuk meningkatkan pertahanan negara ini yang bersempadan dengan China dan Pakistan.
Sumber Kementerian Pertahanan melaporkan, India akan membeli sekurang-kurangnya 8,000 peluru berpandu ‘Spike’ dan lebih 300 pelancar peluru berpandu dalam urusan jual beli bernilai 32 bilion rupee (RM1.7 bilion) itu.
Menteri Pertahanan, Arun Jaitley yang menguruskan portfolio kewangan urus niaga tersebut berkata, keselamatan negara adalah keutamaan kerajaan.
“Segala rintangan dalam proses pembelian perlu diuruskan secara pantas bagi membolehkan urus niaga ini tidak terhalang,” katanya.
Menurut sumber tidak rasmi, urus niaga yang dibincangkan oleh panel kementerian berkenaan adalah termasuk permohonan untuk menyediakan sebanyak enam kapal selam.
Peluru berpandu antikereta kebal ‘Spike’ merupakan senjata buatan Sistem Pertahanan Lanjutan Rafael di Israel, manakala pesaingnya, sistem peluru berpandu Javelin merupakan senjata keluaran syarikat Lockheed Martin Corp dan Raytheon Co dari Amerika Syarikat (AS).
Pegawai tertinggi AS memaklumkan, perbincangan tentang pembelian Javelin dilakukan ketika Perdana Menteri India, Narendra Modi melawat Washington pada September lalu.
Perbincangan itu dilakukan sebagai satu langkah mengeratkan hubungan industri pertahanan As dan India melalui perkongsian pengeluaran senjata yang diperbuat di AS. – REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/india-beli-peluru-berpandu-israel-1.17085#sthash.bnW72axj.dpuf

Sunday, 26 October 2014

Larangan jual hartanah kepada pendatang Israel


Polis Israel menahan seorang remaja Palestin yang menyertai bantahan di timur Jerusalem,
kelmarin. - Foto AFP
Polis Israel menahan seorang remaja Palestin yang menyertai bantahan di timur Jerusalem, kelmarin. - Foto AFP
BAITULMAQDIS - PALESTIN. Biro Fatwa Palestin diketuai Sheikh Mohammad Hussein mengeluarkan larangan kepada penduduk di Tebing Barat supaya tidak menjual tanah dan hartanah mereka kepada pihak Israel.

Larangan itu dikeluarkan selepas insiden polis Israel merampas dua kediaman di kawasan kejiranan Silwan di Timur Baitulmaqdis, baru-baru ini.

Menurut Jawatankuasa Fatwa, mana-mana penduduk yang didapati menjual tanah kepada Israel adalah pengkhianat agama, tuhan dan kaumnya.

Dalam perkembangan berasingan, seorang remaja lelaki Palestin maut ditembak polis Israel di sebatang jalan di Silwad berhampiran Ramallah.

Laporan media menyebut, remaja berusia 14 tahun itu ditembak di kepala.

Memetik laporan Middle East Monitor, insiden itu berlaku beberapa jam selepas penduduk Palestin bertempur dengan polis Israel di Jerusalem. 

Remaja Palestin mati kena tembak tentera Israel


RAMALLAH 26 Okt. – Seorang remaja Palestin maut akibat ditembak di bahagian kepala oleh tentera Israel selepas membaling bom petrol ke arah pasukan tentera di sebatang jalan di kampung Silwad, Tebing Barat di sini, semalam.
Jurucakap tentera Israel berkata, pasukan tentera lain yang menyaksikan serangan tersebut terpaksa campur tangan bagi melindungi beberapa buah kenderaan di jalan raya.
Di timur Baitulmaqdis, berpuluh-puluh remaja yang menutup muka mereka dengan topeng membaling batu ke arah polis menyebabkan tentera Israel terpaksa melemparkan bom tangan ke arah mereka, selepas pihak berkuasa Israel menghadkan kemasukan ke Masjid al-Aqsa, semalam.– DPA
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/remaja-palestin-mati-kena-tembak-tentera-israel-1.16795#sthash.mGjVKxLq.dpuf

Saturday, 25 October 2014

Dunia aman jika Israel dihapuskan



Oleh Mohd Shauki Abd Majid

KEMUSNAHAN bangunan di Gaza dan jutaan rakyat Palestin menjadi korban akibat bedilan bom dan roket tentera Israel. - Foto hiasan
HUBUNGAN Islam (lebih tepatnya Muslim) dan Kristian secara umumnya adalah sejarah yang amat panjang dalam tamadun dunia. Dalam ajaran Islam, agama Kristian adalah agama yang cukup istimewa seperti juga al-Quran dengan jelas memberi gambaran positif terhadap sosok Maryam, ibu kepada Jesus (Nabi Isa).
Begitu juga sebaliknya di mana orang pertama yang melihat ciri kenabian dan mengakui Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul adalah ahli kitab, Waraqah Ibn Nawfal, yang juga sepupu Khadijah, isteri Nabi Muhammad. Keyakinan dan pengakuan Waraqah ini adalah interaksi awal yang menandai hubungan Islam dan Kristian pada awal-awal kelahiran Islam.
Pada peringkat awal, hubungan Islam dan Kristian tidak pernah menjadi masalah. Telah berlaku dialog dan hubungan yang cukup rapat antara agama samawi itu. Malah, Nabi Muhammad menandatangani perjanjian dengan golongan Kristian (dikenali sebagai Testamentum) bagi melindungi pihak Kristian pada awal perkembangan Islam.
Kandungan perjanjian ada menyebut bahawa Nabi Muhammad SAW dan umat Islam akan mempertahankan agama mereka daripada diserang dan dimusnahkan oleh mana-mana pihak, bebas menjalankan agama dan bebas pergi ke gereja dan tidak ada paksaan dalam memeluk agama Islam. Sekiranya mereka disakiti, Nabi juga akan terasa sakitnya dan akan membela mereka daripada disakiti mana-mana pihak.
Bagaimanapun, hubungan Islam dan Kristian memasuki fasa kedua yang mula dicemari dengan konflik terutama pasca Rasulullah SAW wafat. Ini selepas Islam mula berkembang dan tersebar ke berbagai tempat, bermula dari tanah jazirah Arab ke Afrika, Parsi hingga mencapai kawasan lautan Mediterranean dan kawasan Eropah (Sepanyol), hubungan Muslim dan Kristian mula bermasalah. Orang Kristian yang menguasai dataran Eropah mula tercabar dengan perkembangan Islam dan memberi reaksi negatif.
Stigma Islam agama keganasan, peperangan
Pada masa itu Islam muncul menjadi penguasa baharu dan ini membuat orang Kristian berasa terancam. Mereka mula mempersoalkan dan menghina Islam khasnya ajaran yang terkandung dalam al-Quran dan mula memberi stigma Islam sebagai agama keganasan dan peperangan.
Penguasa Kristian di Eropah mula membuat rancangan untuk memperluaskan kuasa mereka. Hubungan Muslim dan Kristian semakin tegang dan semakin memuncak dengan tercetusnya Perang Salib. Padahal, kalau diteliti secara lebih mendalam, isu sebenar daripada punca peperangan ini adalah isu kuasa. Bukan kerana adanya pertentangan ajaran agama (secara teologi).
Mereka menggunakan agama sebagai modal untuk mereka terus berkuasa dan memberi justifikasi melancarkan Perang Salib terhadap Islam. Dalam Perang Salib, mereka tidak hanya membunuh askar Islam yang menjadi musuhnya, tapi mereka turut membunuh orang Yahudi di Baitulmaqdis. Malah, jumlah mangsa bunuh orang Yahudi oleh askar Kristian lebih besar berbanding jumlah askar Islam.
Begitu juga halnya dengan perkembangan semasa di mana kuasa-kuasa besar melancarkan peperangan di Iraq dan Afghanistan adalah semata-mata berpunca kepada perebutan kuasa. Peperangan ini seolah-olah mengulang episod sejarah perang Salib dengan kuasa sebagai punca peperangan dan didorong oleh keinginan untuk menjajah negara Islam.
Akan tetapi, isu utama hari ini dalam melihat hubungan Muslim dan Kristian adalah isu kewujudan Israel. Isu ini tidak wujud ketika perang Salib dan mereka berperang bukan kerana membela Yahudi. Jika dahulu orang Kristian berperang kerana agama mereka, maka hari ini peperangan di Iraq adalah kerana kepentingan Israel. Selain kerana ingin menguasai sumber minyak di Iraq, Amerika Syarikat menggulingkan Saddam Hussein kerana Saddam dianggap kuat menentang Israel.
Israel telah menjadi pertimbangan utama dalam strategi dan agenda penguasaan Barat terhadap dunia hari ini. Begitu juga dengan apa yang berlaku di Syria. Penentangan Amerika terhadap Syria adalah berkaitan dengan keinginan Israel untuk menguasai Bukit Golan. Tempat itu kawasan yang strategik dari beberapa aspek. Salah satunya adalah bagi membekalkan air kepada Israel di mana satu pertiga keperluan air Israel berasal dari Bukit Golan.

ISRAEL miliki peluru berpandu dan senjata nuklear. - Foto EPA
Pertahan Bukit Golan daripada diceroboh Israel
Pada masa kepemimpinan Hafez al Assad dan diteruskan oleh anaknya, Bashar al Assad, Syria mempertahankan Bukit Golan daripada sebarang cubaan pencerobohan Israel di kawasan itu. Perkara sama juga berlaku terhadap Iran ketika Israel dengan sokongan Amerika cuba untuk menyerang negara mullah itu dengan alasan isu nuklear. Padahal Israel adalah negara yang memiliki 400 senjata nuklear.
Dalam konteks dunia hari ini, peperangan yang berlaku di beberapa tempat punca utamanya adalah Israel. Sejak penubuhan negara haram Israel inilah, konflik dan perang berlaku disebabkan Israel. Oleh itu, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa dunia akan aman dan konflik akan berkurangan sekiranya Israel tidak wujud di dunia. Isu Israel ini yang dilihat menjadi penghalang kepada terciptanya hubungan dan dialog antara Islam dan Kristian yang positif. Ini terutama dengan kewujudan sebuah kumpulan yang disebut sebagai Zionis Kristian. Kumpulan ini percaya bahawa dunia ini akan dikuasai oleh Kristian dengan syarat Israel menguasai kawasan Asia Barat.
Penistaan ke atas Muslim
Hubungan Muslim dan Kristian memasuki fasa ketiga dengan perkembangan semakin mengarah ke arah pertikaian ideologi berikutan penjajahan Barat terhadap negara Islam. Penjajahan ini tidak hanya bermotifkan penguasaan kepada sumber kekayaan, akan tetapi penjajahan boleh dikatakan sebagai titik permulaan kepada era penghinaan, pengaiban dan penistaan ke atas Muslim. Buku-buku dan karangan sarjana penjajah dengan sengaja memutarbelitkan sirah Nabi, al-Quran dan ajaran Islam. Pada zaman penjajahan inilah kemuncak penghinaan terhadap Islam.
Selepas era penjajahan, keadaan hubungan Muslim dan Kristian agak baik. Bagaimanapun, hubungan ini masih dibayangi oleh cabaran yang masih mengintai berikutan hasrat dan matlamat pihak Kristian Barat tetap ingin menguasai dunia melalui penjajahan bukan fizikal sama ada melalui penguasaan ekonomi, pemikiran, budaya dan sebagainya. Mereka mula menjajah negara-negara Islam secara tidak langsung atau apa yang dikenali dalam sains politik sebagai neo-kolonialisme. Melalui ekonomi, mereka menguasai lembaga kewangan dunia seperti Bank Dunia, Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) dan WTO.
Melalui politik, mereka menubuhkan PBB. Perkara ini dapat dilihat secara jelas dengan sistem veto di mana mereka mempunyai kuasa mengawal organisasi itu untuk kepentingan mereka. Meskipun kemudian hari, kuasa-kuasa besar dunia (negara yang mempunyai kuasa veto) pecah kongsi dan tidak menjadi pak turut Amerika, akan tetapi dominasi dan penguasaan terhadap negara Islam masih terus berjalan.
Islam masih dianggap sebagai cabaran bagi mereka terutama selepas berakhirnya perang dingin. Meskipun sebahagian besar daripada mereka sudah tidak percaya kepada agama (ateis), tetapi mereka masih menginginkan agama mereka menjadi anutan kepada penduduk seluruh dunia. Itulah sebabnya mereka masih memperkecil dan menghina Islam.

ISRAEL menguasai tanah Palestin dengan membina penempatan. - Foto AP
Cabaran umat Islam
Cabaran berikutnya adalah meskipun negara Islam sudah merdeka, namun umat Islam berdepan dengan realiti di dunia ini yang masih menggunakan dan melaksanakan idea dan pemikiran Barat sama ada dalam bidang ekonomi, politik dan budaya. Kita (umat Islam) hidup dalam alam yang dikuasai oleh mereka. Minda kita masih dijajah dan dikuasai oleh pemikiran Barat.
Ruang dialog antara Islam dan Kristian juga boleh dimainkan menerusi kerangka bahawa berlakunya penjajahan ini tidak berkaitan dengan dogma dan doktrin keagamaan. Namun, isunya adalah soal dominasi dan hegemoni pihak tertentu kepada pihak lain. Bagi mereka yang mengetahui punca yang sebenar, mereka akan bersedia berdialog seperti antara Barat dan Timur, Islam dan Kristian. Malangnya, kumpulan dan ahli fikir yang menentang dasar penjajahan ini adalah golongan minoriti, yang tidak mempunyai kuasa menghentikan penjajahan tersebut. Begitu juga halnya dengan golongan mengetahui punca sebenar konflik Muslim-Kristian yang bersedia untuk dialog adalah segelintir dalam masyarakat.
Penulis ialah Setiausaha Penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)

Pendatang Yahudi bakar pokok zaitun di Nablus


HARAKAHDAILY | .
PENDATANG Yahudi telah membakar pokok-pokok zaitun penduduk Palestin di sebelah barat kampung Hawara, selatan bandar Nablus, pada tengah hari Rabu yang lepas, lapor laman web Al-Qassam.

Ketua kampung Hawara, Mu'een Dumeidi memberitahu wartawan PIC bahawa sejumlah pendatang Yahudi telah memakai topeng menyamar sebagai rakyat Palestin, membakar kira-kira 200 pokok zaitun.

Beliau berkata, anggota bomba dari Kampung Burin berdekatan tiba di tempat kejadian lalu memadam api dengan bantuan pihak perbandaran tempatan dan pengawal awam, yang membantu menghalang api merebak ke dusun berdekatan.

Datuk Bandar itu berkata, petani tidak menuai pokok-pokok terbakar kerana mereka masih mendapat kebenaran daripada pejabat perhubungan.

Penduduk Yahudi secara berterusan mengganggu petani di desa dan menyerang tanaman mereka terutama di kawasan-kawasan barat dan pada musim-musim menuai zaitun.

Friday, 24 October 2014

Parlimen Ireland sokong negara Palestin

Senator Averil Power ketika membentangkan usul di Parlimen menggesa
Senator Averil Power ketika membentangkan usul di Parlimen menggesa kerajaan Ireland mengiktiraf negara Palestin. – AGENSI
Dewan Senat Parlimen Ireland, semalam meluluskan satu usul menggesa kerajaan Ireland untuk mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara, satu tindakan simbolik yang tidak akan me­ngubah polisi negara ini berhubung isu Palestin.
Kelulusan itu merupakan sokongan terbaharu kepada pihak berkuasa Palestin untuk mendapat pengiktirafan antarabangsa, selepas tindakan sama dilaksanakan oleh Dewan Rendah Britain dan Sweden.
Usul itu menggesa kerajaan Ireland mengiktiraf Palestin secara rasmi dan mengambil pendekatan untuk membantu memastikan pembentukan dua negara sebagai penyelesaian kepada konflik Israel-Palestin, supaya penduduk kedua-dua wilayah tersebut boleh hidup secara aman dan selamat.
Anggota Parlimen daripada semua parti menyatakan soko­ngan penuh dan usul itu diluluskan tanpa sebarang pengundian dibuat.
Ketika membentangkan rang undang-undang itu, seorang senator daripada parti pembangkang, Averil Power berkata, Ireland perlu menyatakan pendirian bahawa pembentukan sebuah negara merupakan hak penduduk Palestin, dan bukan menjadi bahan tawar menawar untuk digunakan oleh Israel dalam rundingan damai palsu pada masa depan.
“Melalui tindakan ini, kita akan membantu meningkatkan tekanan ke atas Israel bagi mencapai proses damai yang sahih dan mencapai keamanan serta keadilan untuk penduduk Palestin dan Israel,’’ katanya.
Kerajaan Ireland tidak terikat daripada segi undang-undang untuk melaksanakan keputusan usul itu yang dikemukakan oleh seorang anggota Parlimen daripada parti pembangkang di Dewan Senat.
Power berkata, Menteri Luar Ireland, Charlie Flanagan akan hadir di Dewan Senat pada November ini untuk membincangkan isu tersebut. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/parlimen-ireland-sokong-negara-palestin-1.16313#sthash.0x1eyDbV.dpuf

Thursday, 23 October 2014

Isu Israel-Palestin: AS dakwa Sweden tidak matang


Stefan Lovfen
Stefan Lovfen
NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Amerika Syarikat (AS) menyifatkan masih terlalu awal untuk mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara, selepas Sweden merancang untuk mengambil bahagian dalam menyelesaikan konflik Israel-Palestin.

Menurut jurucakap Jabatan Negara AS, Jen Psaki , tindakan Sweden itu dilihat sebagai tidak matang. Malah memberitahu, AS hanya memberi sokongan kepada Palestin melalui hasil rundingan, resolusi isu-isu akhir dan pengiktirafan bersama oleh kedua-dua pihak.

Dalam pada itu, Perhimpunan Agung PBB telahpun meluluskan untuk memberi pengiktirafan kepada Palestin pada tahun 2010, namun kebanyakan negara Kesatuan Eropah (EU) masih belum memberi pengiktirafan rasmi.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Sweden, Stefan Lofven mengumumkan Sweden sebagai negara Eropah pertama yang mengiktiraf Palestin, baru-baru ini.

“Konflik Israel-Palestin boleh diselesaikan menerusi pengiktirafan bersama untuk mewujudkan keamanan,” katanya dalam ucapan di parlimen negara itu.

Sementara itu, langkah yang dibuat oleh Sweden dengan reputasi baik dalam hal ehwal antarabangsa dan mempunyai pengaruh kepada dasar luar EU, memberi harapan baru kepada rakyat Palestin.

Dewan Persefahaman Arab-British (Caabu) dalam satu kenyataan memberitahu, Britain telah menerima prinsip kenegaraan Palestin, malah negara tersebut telah lulus kesemua ujian untuk membentuk sebuah negara.

Oleh itu, tindakan terakhir adalah dengan memberi pengiktirafan kepada Palestin dan menyokong rakyatnya untuk menentukan nasib mereka.

Selain itu, Caabu turut menggesa UK dan negara-negara EU lain untuk mencontohi langkah yang dibuat oleh Sweden.

“Tindakan tersebut mampu memberi mesej yang kuat kepada Israel dan gerakan-gerakan antiPalestin yang lain sebagai simbolik menyokong kebebasan ke atas negara Palestin,” kata Pengarah Caabu, Chris Doyle dalam satu kenyataan.

Rakyat Palestin mahukan negara mereka diiktiraf dalam wilayah Tebing Barat dan Gaza dengan ibu kota di timur Baitulmuqaddis.

Walaupun sempadan Gaza telah ditakrifkan dengan jelas, namun wilayah yang tepat untuk menentukan sempadan Palestin di Tebing Barat dan timur Baitulmuqaddis hanya boleh ditentukan menerusi rundingan dengan Israel.

Israel mahu bahagikan al-Aqsa


Pihak berkuasa Israel mengasari penduduk Palestin yang cuba untuk memasuki al-Aqsa.
Pihak berkuasa Israel mengasari penduduk Palestin yang cuba untuk memasuki al-Aqsa.
TEL AVIV - ISRAEL.  Knesset akan mengundi untuk meluluskan draf undang-undang bagi membahagikan Masjid al-Aqsa pada bulan hadapan.

Ahli Parlimen Israel, Masoud Ghanayim memberitahu draf undang-undang tersebut bertujuan untuk membenarkan penganut Yahudi melakukan upacara keagamaan mereka di al-Aqsa tanpa sebarang sekatan.

"Tel Aviv mahu orang Islam dan penganut Yahudi mendapat hak sama untuk memasuki masjid tersebut. Selain itu, draf tersebut juga melarang sebarang protes diadakan di sekitar al-Aqsa dan mereka yang melanggar arahan itu bakal berdepan hukuman berat," katanya lagi.

Sementara itu, anggota kanan Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Ahmed Qurei menggesa negara Islam mengadakan sidang kemuncak tergempar untuk berbincang mengenai rancangan jahat Israel tersebut.

"Tindakan mencemari kesucian al-Aqsa itu hanya akan mencetuskan kemarahan orang Islam dan menyebabkan keganasan lebih buruk di Baitulmaqdis," tegasnya menurut laporan Middle East Monitor.
Menurutnya lagi, Israel semakin berani meneruskan agenda untuk menceroboh al-Aqsa kerana kebanyakan negara di rantau Arab hanya diam membisu dan tidak mengambil sebarang tindakan ke atas mereka.

Dalam perkembangan lain, Palestin dan Israel akan menyambung semula rundingan bagi melaksanakan gencatan senjata bagi tempoh jangka panjang di Kaherah pada Isnin depan.

PBB tubuh badan siasatan bebas untuk Gaza


Palestin: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon berkata, pihaknya akan menyiasat serangan terhadap kemudahan milik badan itu ketika peperangan antara Israel dengan Hamas di Semenanjung Gaza selain penggunaan lokasi di bawah seliaannya untuk menyimpan senjata.

Badan dunia itu berkata, puluhan ribu kediaman musnah atau rosak dalam pertempuran selama 50 hari antara pejuang Palestin dengan tentera Israel yang turut mengakibatkan 108,000 orang hilang tempat tinggal.

Dalam satu kejadian, puluhan terbunuh di sebuah sekolah PBB ketika serangan Israel.

Israel mendakwa menyasarkan lokasi berkenaan kerana pejuang Hamas menggunakannya sebagai tempat simpanan roket.

Bercakap pada mesyuarat bulanan Majlis Keselamatan PBB mengenai Timur Tengah, Ban menceritakan pengalamannya ketika melawat sekolah di kem pelarian Jabalia yang menjadi tempat perlindungan orang awam sepanjang pertempuran itu.

“Saya harap Israel mengkaji kejadian ini serta serangan lain terhadap kemudahan PBB yang mengakibatkan ramai kematian disiasat secara teliti,” katanya. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Oktober 2014 @ 5:04 AM
DISYORKAN
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/3520#sthash.3XwSzkYC.dpuf

Israel bahagi Masjid Al-Aqsa

Wanita Palestin beragama Islam mengadakan tunjuk perasaan membantah
Wanita Palestin beragama Islam mengadakan tunjuk perasaan membantah kehadiran penganut Yahudi di pekarangan Masjid Al-Aqsa pada 14 Oktober lalu. – REUTERS
Israel dilapor akan membentangkan rang undang-undang bertujuan untuk membahagikan kawasan Masjid Al-Aqsa antara penduduk Islam dan Yahudi.
Seorang anggota Parlimen (Knesset) Israel berketurunan Arab, Masoud Ghanayim yang dipetik oleh akhbar Palestin, Felesteen, kelmarin berkata, rang undang-undang itu disediakan oleh Jawatankuasa dalaman Parlimen, yang menetapkan penduduk Yahudi turut boleh bersembahyang di dalam Masjid Al-Aqsa.
“Perkara ini merujuk kepada cadangan untuk memberi hak sama rata kepada umat Islam dan Yahudi, serta akses untuk menggunakan tempat suci itu.
“Ia juga menetapkan beberapa lokasi tertentu yang boleh digunakan orang Yahudi untuk bersembahyang,’’ katanya yang dipetik portal Middle East Monitor.
Pada masa ini, undang-undang Israel dan Rabbinical melarang penduduk Yahudi bersembahyang di Masjid Al-Aqsa.
Kebanyakan Yahudi yang melobi untuk bersembahyang di Masjid Al-Aqsa merupakan pendatang haram Yahudi yang terdiri daripada pelampau kumpulan berhaluan kanan yang mempunyai agenda.
Kota Lama di Baitulmaqdis yang menempatkan masjid itu diiktiraf oleh antarabangsa sebagai tanah yang dijajah Israel. Pihak berkuasa Israel sering menghalang penduduk Islam bersembahyang di masjid itu.
Menurut Ghanayim, undang-undang yang digubal itu termasuk melarang penganjuran demonstrasi awam dan demontrasi di perkarangan Al-Aqsa termasuk menetapkan hukuman kepada sebarang pencabulan.
Katanya, tindakan meluluskan undang-undang itu merupakan satu `pencerobohan terang-terangan terhadap hak asasi penduduk Islam di seluruh dunia’ termasuk menyifatkannya sebagai sebahagian daripada rancangan Israel menyebarkan fahaman Yahudi di bandar Baitulmaqdis.
“Undang-undang itu semata-mata untuk mewajarkan pembinaan berdasarkan mitos sejarah dan agama yang disokong Israel,’’ katanya ketika mengulas tentang rang undang-undang itu.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/israel-bahagi-masjid-al-aqsa-1.15772#sthash.ixSgSmI3.dpuf

Wednesday, 22 October 2014

Kediaman penduduk Palestin dirampas


Penduduk Palestin dan pasukan keselamatan berdiri di atas serpihan runtuhan bangunan sambil menanti ketibaan Perdana Menteri Rami Hamdallah. - Foto: AFP
Penduduk Palestin dan pasukan keselamatan berdiri di atas serpihan runtuhan bangunan sambil menanti ketibaan Perdana Menteri Rami Hamdallah. - Foto: AFP
BAITULMAQDIS - PALESTIN. Sekumpulan penduduk Yahudi bertindak menyerbu dan merampas dua bangunan kediaman di kejiranan Silwan di Timur Baitulmaqdis, menurut pegawai Palestin, semalam.

Penasihat Hal Ehwal Baitulmaqdis untuk Pejabat Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, Ahmed al-Ruweidi memberitahu, penduduk Yahudi memasuki dua daripada tiga bangunan di Silwan dengan dilindungi polis Israel.

"Rampasan unit kediaman di Silwan adalah sebahagian daripada politik Israel yang bertujuan untuk menjadikan kejiranan tersebut sebagai kejiranan Yahudi," katanya kepada Middle East Monitor.

Menurutnya lagi, daerah itu merupakan usaha intensif Israel untuk merampas rumah milik penduduk Palestin dan beliau juga tidak bersetuju tindakan sesetengah penduduk Palestin yang bersetuju menjual harta mereka kepada Yahudi.

Sementara itu, Palestin menuduh Israel melancarkan kempen agresif untuk 'Yahudisasi' dengan tujuan melenyapkan identiti Arab dan Islam yang akhirnya mengusir penduduk Palestin. Perunding Palestin menegaskan bahawa pembangunan penempatan Israel perlu dihentikan sebelum rundingan damai dengan Israel yang terhenti disambung semula.

Penempatan Yahudi punca konflik Tindakan Israel ceroboh wilayah Palestin cetus banyak masalah kepada penduduk Palestin – PBB

Pasukan keselamatan Israel mengawal sebuah rumah yang dibeli oleh
Pasukan keselamatan Israel mengawal sebuah rumah yang dibeli oleh pendatang haram Yahudi di kawasan penempatan Silwan di wilayah Palestin di Baitulmaqdis Timur. – REUTERS
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan tindakan Israel memperluaskan penempatan haram Yahudi di wilayah Palestin sebagai punca utama banyak masalah yang tercetus antara kedua-dua pihak, ketika ratusan pendatang haram Yahudi menghuni dua bangunan kediaman di kawasan Palestin di Baitulmaqdis Timur, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hak Asasi Manusia PBB (UNHCR), Nigel Rodley mengecam tindakan Tel Aviv yang sering memusnahkan rumah penduduk Palesin, meluaskan kawasan penempatan haram Yahudi dan mengehadkan kemudahan air kepada peladang Palestin.
Jelasnya, pembinaan bangunan kediaman secara haram oleh Israel untuk menempatkan pendatang haram Yahudi telah mencetuskan banyak masalah termasuk pencabulan hak asasi dan kebebasan penduduk Palestin, katanya dalam satu kenyataan.
Seorang lagi anggota jawatankuasa UNHCR, Cornelis Flinterman berkata, penduduk Palestin juga sering ditindas dan dizalimi oleh pendatang haram Yahudi yang tinggal di penempatan haram yang baharu dibuka.
“Penduduk Palestin dilayan seperti orang asing di tanah air mereka sendiri,” katanya, sambil menambah kata, pembinaan penempatan haram baharu di wilayah Palestin menjadi penghalang terbesar bagi menjamin keamanan di rantau Asia Barat itu.
Lebih setengah juta pendatang haram Yahudi tinggal di lebih 120 kawasan penempatan haram Yahudi di tanah milik Palestin sejak Israel menjajah kawasan di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.
Dalam perkembangan terbaharu, pasukan keselamatan Israel yang lengkap bersenjata mengiringi 500 pendatang haram Yahudi yang memasuki 10 pangsapuri di dua bangunan di Salwin selepas mereka membeli aset itu daripada ejen hartanah tempatan.
Israel menyediakan kawalan keselamatan yang ketat, dipercayai sebagai cara mengelakkan berlakunya kekecohan dan konfrontasi dengan kira-kira 50,000 penduduk Palestin yang tinggal di daerah Silwan. – REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/penempatan-yahudi-punca-konflik-1.15395#sthash.Qkb6x5Eg.dpuf

Tuesday, 21 October 2014

Perjuangan rakyat Palestin bukannya militan

Musa Hassan
Musa Hassan
SHAH ALAM - Perjuangan rakyat Palestin tidak boleh disifatkan sebagai militan kerana mereka mempertahankan diri daripada diserang Israel.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, penduduk Palestin teraniaya dengan serangan kejam dan perbuatan ganas oleh tentera Israel itu tidak boleh digelarkan sebagai militan kerana mereka mempertahankan diri.

"Di Palestin mereka dianiaya dan perbuatan ganas itu dilakukan tentera Israel. Adakah kita mahu meletakkan bahawa mereka ini kumpulan militan sedangkan mereka mahu mempertahankan diri?

"Kita kena letakkan pada tempatnya iaitu perbuatan keganasan tanpa jihad sebenar itu adalah militan," katanya pada Wacana Sinar Harian ke-32 yang bertajuk 'Kumpulan Islamic State (IS): Jihadis atau Militan?' di Auditorium Sultan Muhammad V, Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di sini hari ini.

Ancaman kumpulan IS yang lebih cenderung kepada pemberontakan dan keganasan kini giat digerakkan di Iraq dan Syira dengan berselindung di sebalik kalimah jihad dan Islam.

Mengulas lanjut, Musa berkata lagi, kumpulan keganasan itu tidak pernah disokong oleh pihak kerajaan sejak zaman komunis lagi di negara ini.

"Kerajaan tidak menyokong kumpulan itu (jihad) termasuk tindakan Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM) pada awal 1967 yang mengeluarkan 'fatwa' bahawa boleh merompak orang kafir, ini sebenarnya ajaran songsang," ujarnya.

Tambahnya, negara Islam yang ditindas oleh kuasa negara Barat menjadi mangsa dan sebarang pergerakan yang menentang mereka dilabelkan sebagai Islamis yang militan.

Bagaimanapun kumpulan militan IS telah bertindak ganas, walaupun mereka Islam namun kumpulan itu turut membunuh orang Islam sendiri.

Dalam pada itu, katanya kerajaan kena pantau kandungan internet kerana rakyat Malaysia yang terlibat dengan kumpulan militan ini direkrut melalui internet.

“Oleh kerana Malaysia tiada ISA, polis tidak boleh membuat pencegahan kerana kesalahan yang melibatkan keselamatan memerlukan kebenaran mahkamah untuk penahanan.

“Kini polis kena membuat penyiasatan dan mengumpulkan bukti yang cukup sebelum boleh mendakwa mereka yang terlibat di mahkamah,” katanya.

Katanya lagi, kerajaan perlu ada undang-undang yang lebih berkesan, supaya polis dapat menjalankan tugas mereka dengan efektif supaya pencegahan dapat dilakukan agar rakyat kita tidak terlibat dengan kegiatan ini.

Kanak-kanak Palestin jadi mangsa langgar lari


21 Oktober 2014
 Inas meninggal dunia selepas berada dalam keadaan koma selama beberapa jam.
Inas meninggal dunia selepas berada dalam keadaan koma selama beberapa jam.

RAMALLAH - PALESTIN. Seorang kanak-kanak maut manakala rakannya cedera parah selepas dirempuh pelampau Yahudi di laluan utama berhampiran bandar Sinjil di Tebing Barat.

Menurut saksi, Toleen Omar Asfour dan Inas Shawkat Khalil masing-masing berumur lima tahun dalam perjalanan pulang dari tadika ketika insiden tragis itu berlaku.

Sementara itu, Pengarah Kompleks Perubatan Ramallah, Ahmed Bitawi memaklumkan kedua-dua mangsa berada dalam keadaan koma ketika dihantar ke hospital.

"Toleen kini berada dalam keadaan stabil, namun Inas meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialaminya," katanya.

Israel masih berdiam diri mengenai kejadian itu.

Menurut laporan Middle East Monitor, minggu lalu, Perdana Menteri Palestin, Rami Hamdallah menyelar Tel Aviv kerana gagal mengenakan tindakan tegas terhadap pelampau Yahudi yang melakukan vandalisme ke atas harta benda penduduk Palestin. -

Hamas tetap gali terowong


Baitulmaqdis

Laman sesawang sekutu Hamas mendedahkan sayap bersenjata pergerakan itu terus menggali terowong tanpa mempedulikan kesan Operasi Protective Edge dilaksanakan tentera Israel.

Laman itu melaporkan, laporan risikan bertajuk “Kassam’s Shovels Continue to Dig Tunnels after the War” (Penyodok Kassam Terus Menggali Terowong Selepas Perang) mendedahkan anggota Briged Izzudin al-Qassam meneruskan kerja-kerjanya sambil mengumpamakan hasilnya seperti sarang lebah.

Menurut laman al-Resalah, anggota Hamas “melihat setiap ruang digali sebagai lokasi yang mampu mengakibatkan tentera Israel diculik atau dibunuh.”

Wartawan al-Resalah Mahmoud Foda berkata, dia melawat satu daripada terowong berkenaan di sebuah lokasi rahsia di Semenanjung Gaza dan menceritakan bagaimana anggota briged itu berkumpul setiap pagi untuk memulakan kerja.

Ketua mereka, Abu Khaled dilaporkan berkata, banyak kerja perlu dilakukan dan setiap detik berharga.

“Kerja ini memerlukan tenaga dan kesabaran tinggi.

“Kerja menggali di terowong ini tidak akan berakhir. Syukur kepada Tuhan kerana kami tentera yang begitu mahir menggali terowong,” katanya.

Memang kerjanya berat, katanya, namun mereka menanti ganjaran daripada Allah.

Menurut laporan itu, Tentera Udara Israel menyasarkan terowong-terowong berkenaan ketika peperangan baru-baru ini selepas melihat pejuang Hamas keluar dari situ.

Terowong berkenaan diubah suai ketika gencatan senjata antara Hamas dengan Israel.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Oktober 2014 @ 5:03 AM


Lelaki Palestin duduk mengelilingi unggun api di kejiranan mereka di Shejaiya yang musnah akibat perang 50 hari antara Israel dan Hamas.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/3185#sthash.Y94Ub48H.dpuf

Monday, 20 October 2014

Jangan benar Yahudi masuk al-Aqsa

SEORANG penduduk Palestin menunaikan solat di depan polis Zionis di jalan raya di Bandar Lama, timur Baitulmaqdis, kelmarin selepas rejim Yahudi melarang penduduk berusia bawah 50 tahun memasuki Masjid Al-Aqsa untuk bersolat.

Ramallah: Presiden Mahmoud Abbas semalam menggesa rakyat Palestin menghalang pendatang Israel memasuki Masjid Al-Aqsa.

Beliau juga menggesa mereka mengguna apa juga cara untuk melindungi masjid ketiga paling suci umat Islam itu.

Mahmoud berkta demikian beberapa hari selepas polis Israel bertempur dengan penunjuk perasaan Palestin yang membantah lawatan penganut Yahudi melawat perkarangan masjid itu.

“Mereka (Yahudi) mesti dihalang daripada memasuki pekarangan Masjid Al-Aqsa dengan apa cara sekalipun. Ini Aqsa kita dan mereka tidak berhak untuk memasuki dan mencemarnya,” kata Mahmoud.

Presiden Palestin itu bercakap di satu persidangan di Ramallah, Tebing Barat.

Mahmoud menegaskan, mempertahankan Al-Aqsa adalah sama dengan mempertahankan Baitulmaqdis yang rakyat Palestin hendak jadikan ibu negara mereka.

“Baitulmaqdis amat berharga kepada kita. Ia adalah ibu negara Palestin. Tanpanya tidak akan ada sebuah negara Palestin.

“Adalah penting bagi kita bersatu bagi mempertahankan Baitulmaqdis,” kata Mahmoud.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Oktober 2014 @ 5:02 AM



- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/2738#sthash.2yphcJgH.dpuf

5,000 sertai perhimpunan


Penduduk Palestin melaungkan slogan mengutuk kebiadaban polis Israel dalam perhimpunan anjuran Hamas, kelmarin.
Penduduk Palestin melaungkan slogan mengutuk kebiadaban polis Israel dalam perhimpunan anjuran Hamas, kelmarin.
GAZA CITY - PALESTIN. Kira-kira 5,000 penduduk Palestin menyertai perhimpunan anjuran Hamas, kelmarin.

Perhimpunan itu bertujuan mengutuk tindakan polis Israel yang berterusan menceroboh Masjid al-Aqsa.

Penduduk mula berhimpun selepas solat Jumaat sambil melaungkan slogan berjanji untuk membela masjid berkenaan lapor Arab News.

Jurucakap Hamas, Ismail Radwan dalam ucapannya berkata penduduk Palestin di Jerusalem dan Tebing Barat perlu mempertahankan al-Aqsa.

Baru-baru ini, satu pertempuran tercetus antara penduduk Palestin dan polis Israel di pekarangan Masjid al-Aqsa.

Insiden itu dipercayai berlaku selepas sekumpulan pemuda Palestin membantah rancangan rejim Zionis yang membenarkan penganut Yahudi Ortodoks memasuki al-Aqsa untuk melakukan upacara keagamaan mereka. 

Mahmoud pertahan al-Aqsa


Seorang penduduk Palestin memegang plakad tertera 'Baitulmaqdis dalam bahaya' ketika menyertai protes di pekarangan al-Aqsa. Gambar kecil: Mahmoud
Seorang penduduk Palestin memegang plakad tertera 'Baitulmaqdis dalam bahaya' ketika menyertai protes di pekarangan al-Aqsa. Gambar kecil: Mahmoud
RAMALLAH - PALESTIN. Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, menegaskan bahawa langkah tegas akan diambil bagi mengelakkan pendatang haram Yahudi memasuki pekarangan Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis untuk sengaja membuat kacau.

Kenyataan itu dikeluarkan beberapa hari selepas pertempuran tercetus antara pemuda Palestin dan pihak berkuasa rejim Zionis selepas penganut Yahudi Ortodoks dibenarkan masuk al-Aqsa dipetik laporan Al-Arabiya.

"Kepimpinan Palestin akan mengambil tindakan undang-undang yang perlu di peringkat antarabangsa jika berlaku pencerobohan sama pada masa depan. Kami tidak akan membiarkan pendatang Yahudi mencetuskan kekacauan di al-Aqsa," tegasnya.

Jumaat lalu, Mahmoud berikrar untuk mempertahankan al-Aqsa dengan apa jua cara untuk memastikan kesucian masjid yang pernah menjadi kiblat pertama orang Islam itu tidak dicemari sewenang-wenangnya.

"Penganut Yahudi tidak mempunyai hak untuk masuk ke al-Aqsa kerana ia adalah salah satu tempat suci orang Islam," jelasnya.

Difahamkan, penganut Yahudi dilarang melakukan sebarang upacara keagamaan di masjid terbabit dan hanya dibenarkan berada di kawasan Tembok Barat. 

Saturday, 18 October 2014

palestin

palestin

Tentera Zionis tembak mati remaja Palestin

PENDUDUK Palestin mengusung jenazah Bahaa untuk dikebumikan di Beit Laqiya.
Ramallah: Tentera Israel menembak mati seorang remaja lelaki Palestin di sebuah kampung yang dikuasai mereka di Tebing Barat semalam.
Anggota perubatan berkata, Bahaa Badr, 13, ditembak di dada ketika tentera rejim Zionis memasuki Beit Liqya yang bersempadan dengan wilayah dijajah Israel.
Saksi berkata, tentera Zionis itu disambut dengan lontaran batu oleh remaja setempat.
Mereka juga didakwa dilontar koktel molotov ketika meninggalkan kawasan berkenaan.
Tidak dapat dipastikan sama ada Bahaa menyertai tentangan itu yang dianggap tentera Zionis sebagai ‘rusuhan haram.’
Jurucakap tentera pula berkata, askar Israel membalas tindakan penduduk Palestin itu dengan peluru hidup.
“Kami akan menyiasat laporan kematian itu,” katanya. - Reuters
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Oktober 2014 @ 5:05 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/2544#sthash.xjcc1bQd.dpuf

Friday, 17 October 2014

palestin

Israel makin biadab!


17 Oktober 2014

Pihak berkuasa rejim Zionis turut menahan beberapa penduduk selepas pertempuran tercetus.
Pihak berkuasa rejim Zionis turut menahan beberapa penduduk selepas pertempuran tercetus.


Seorang penduduk Palestin cedera akibat tindakan kekerasan pihak berkuasa Israel.
Seorang penduduk Palestin cedera akibat tindakan kekerasan pihak berkuasa Israel.
Aktivis menunjukkan beberapa bom tangan pegun dan kelongsong peluru getah yang digunakan pihak
berkuasa Israel dalam insiden serangan di masjid itu.
Aktivis menunjukkan beberapa bom tangan pegun dan kelongsong peluru getah yang digunakan pihak berkuasa Israel dalam insiden serangan di masjid itu.
Penduduk Palestin melaungkan slogan mengutuk penindasan Israel ketika berhimpun berhampiran al-Aqsa.
Penduduk Palestin melaungkan slogan mengutuk penindasan Israel ketika berhimpun berhampiran al-Aqsa.
TENTERA rejim Zionis berterusan mencabuli hak penduduk Palestin dengan mengetatkan sekatan di pekarangan Masjid al-Aqsa, Baitulmaqdis hingga mencetuskan pertempuran ganas di sekitar kawasan tersebut.

Menurut Kementerian Maklumat Palestin, insiden serangan ke atas orang Islam itu berlarutan sejak enam bulan lalu, namun hanya dipandang sepi oleh masyarakat dunia.

"Mereka membuat peraturan baharu dengan melarang penduduk Palestin berumur di bawah 50 tahun daripada memasuki masjid tersebut.

Situasi di al-Aqsa semakin membimbangkan kerana Israel membuat rancangan jahat untuk membenarkan penganut Yahudi Ortodoks masuk ke masjid suci ketiga orang Islam tersebut," jelas kementerian itu dalam laporan Agensi.

Tentera Israel turut menggempur al-Aqsa dan menggunakan kekerasan untuk mengusir penduduk Palestin dari kawasan yang kononnya dianggap sebagai Temple Mount oleh penganut Yahudi.

Tindakan mereka jelas mencemari kesucian masjid yang menjadi kiblat pertama orang Islam itu dan ia sememangnya melanggar undang-undang antarabangsa.

Susulan daripada peningkatan serangan itu, ribuan penduduk Palestin di Ramallah, Tebing Barat bertindak mengadakan protes membantah pencerobohan pendatang haram Yahudi dan pihak berkuasa Israel di al-Aqsa.

Aktivis, Esam Baker menggesa masyarakat antarabangsa supaya melindungi kedaulatan dan mempertahankan masjid itu daripada jatuh ke tangan rejim Zionis.

Sebelum ini, beberapa cubaan untuk mencemari al-Aqsa telah dirancang Israel  termasuk kunjungan bekas perdana menteri, Ariel Sharon di al-Aqsa pada 28 September 2000 yang mencetuskan Intifada Kedua selepas tindakan provokasi itu membangkitkan kemarahan penduduk Palestin.